Pas jatuhkan PH Kedah, usah bersandiwara lagi jadikan Covid-19 perisai

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Menjelang 10 akhir Ramadan — masa yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam untuk tulus beribadah — sempurnalah komplot menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Harapan di Kedah.


Parti Islam Pas jadi penggerak utamanya dan bakal jadi menteri besar serta mendominasi pentadbiran kerajaan (Pas ada 15 Adun daripada 36 kerusi). Tahniah Pas. Sudah ada tiga negeri di bawah Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Hebat… hebat.

Ada orang tanya saya, bagaimana sebuah parti Islam boleh terlibat secara proaktif untuk menumbangkan kerajaan pilihan rakyat. Bukankah tindakan Pas itu khianati amanah rakyat dan langsung tidak berakhlak? Bagi saya, itu semua tidak pelik.

Pas sebuah parti politik yang mengejar kuasa, macam parti-parti lain juga. Apabila ada peluang dan kesempatan, pasti tidak akan dibiarkan begitu sahaja, mesti direbut. Soal pertimbangan moral atau mandat rakyat, tidak penting. Bukankah ia dibenarkan oleh peruntukan undang-undang?

Lagipun, bukankah Pas juga merupakan salah satu aktor penting yang menjatuhkan kerajaan Persekutuan PH akhir Februari lalu? Lulus jarum lulus kelindan.

Pas menyumbang 18 kerusi Parlimen yang penting. Tanpa kerjasama dan sokongan Pas, kerajaan PH boleh ditubuhkan semula.

Jadi, apa nak dihairankan. Pas macam parti-parti lain juga, yang sentiasa mengintai dan menghidu peluang untuk berkuasa. Boleh melenturkan prinsip perjuangan untuk diserasikan dengan kepentingan kuasa.

Jadi, tidak usahlah jika terkena kepada “bukan parti kita”, maka rujukan moral dan kepentingan rakyat dijadikan dalih. Apabila melibatkan parti sendiri, maka segalanya diharuskan. Bukankah pelbagai argumen dan alasan boleh dicari, termasuk hujah agama?

Berkumpul rapat-rapat di kompleks Pas itu boleh pula, walaupun musim Covid-19. Ya, mungkin mereka bukan mengatur langkah politik yang Muhyiddin kata “rakyat sudah muak” itu; bagi Pas ini mungkin adalah soal survival umat dan demi menyelamatkan Islam yang sedang terancam di bawah PH.

Pas adalah penyelamat buat rakyat Kedah! Pas Kedah pun sudah banyak pengalaman mentadbir negeri Jelapang Padi itu (2008-2013) dan mempunyai calon MB yang hebat.

Justeru, mari kita buka gelanggang yang adil dan sama rata, termasuk pada sidang Parlimen nanti. Banyak urusan negara yang perlu diperhalusi. Usah bersandiwara menjadikan wabak maut ini sebagai perisai lagi.

Silakan saja berpencak silat untuk menang dan menewaskan musuh politik. Jangan hipokrit dan bersikap munafik lagi. Jadilah anak jantan.

Mungkin insiden Kedah ini memberi kelebihan besar buat Muhyiddin di Parlimen nanti. Usaha PH untuk merebut balik Putrajaya seakan bertambah sukar.

Seolah-olah kehilangan sokongan moral? Bermakna, langkah Pas itu boleh menyelamatkan PM dan kerajaan Perikatan Nasional?

Sesungguhnya impian Pas selama ini untuk jadi king maker sudah tercapai. Impian untuk melaksanakan Islam sudah boleh direalisasikan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan