Perbahasan secara meluas boleh dijalankan jika tempoh sidang Parlimen dilanjutkan

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dilihat harus memikirkan tentang kepentingan dan keperluan untuk melanjutkan tempoh persidangan Dewan Rakyat dari satu hari kepada lapan hari.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar sebagai merujuk kepada usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong berkaitan pelanjutan tempoh persidangan.

Menurut Mahfuz, perbahasan secara meluas dapat dijalankan sekiranya tempoh persidangan Parlimen dilanjutkan kepada lapan hari.

“Kalau majoriti memberikan sokongan kepada usul yang dibawa oleh Datuk VK Liew ini, bermakna sidang Parlimen perlu dilanjutkan selama lapan hari.

“Jadi, mereka perlu memberikan ruang kepada usul tersebut. Barulah kita boleh membahas secara lebih meluas seperti isu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan juga membahaskan hal berkaitan Covid-19 seperti Pakej Rangsangan Ekonomi umpamanya.

“Bagaimana pengurusan kewangan daripada sudut integriti dan sebagainya. Ini bukan soal iri hati, tetapi ini soal integriti. Jadi yang ini saya fikir bahawa Ahli Parlimen PN juga harus memikirkan persoalan ini untuk melihat tentang kepentingan dan keperluan untuk kita melanjutkan persidangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang usul yang dikemukan oleh VK Liew yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) menerusi FB Live AMANAH Negeri Kedah, hari ini.

Jumaat lalu, media tempatan melaporkan, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima satu usul tergempar berkenaan gesaan agar sidang Parlimen pada 18 Mei ini, yang dijadual berlangsung sehari sahaja, dilanjutkan kepada lapan hari.

Dalam satu kenyataan, Ariff berkata beliau telah menerima usul daripada Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong, dan memutuskan untuk menerima sebahagian daripadanya.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, jika sidang Parlimen kali ini tidak dilanjutkan, beliau berpendapat, usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin tiada kepentingan sekiranya mahu dibahaskan.

Namun katanya, sekiranya mahu sesi perbahasan, ia juga boleh dilakukan dan prosesnya ialah Tun Dr Mahathir akan diminta oleh Speaker (jika diberikan laluan) untuk membentangkan.

“Selepas dibentangkan, kemudian dibuka untuk dibahaskan. Bila sudah habis dibahaskan, ditentukan beberapa orang dibahaskan, maka undian dibuat.

“Tetapi kalau tiada orang bangun berbahas, terus mengundi dan ia memerlukan sokongan kepada usul (seorang saja). Contohnya, saya sendiri akan bangun dan menyokong usul dari Ahli Parlimen Langkawi, cukup saya tidak mahu bahas, saya nak undi terus.

“Dalam situasi tersebut, Speaker boleh menggunakan kuasa beliau untuk terus membuat pengundian dan ia memakan masa yang singkat.

“Kita akan dapat keputusan tentang jumlah undi, sama ada memihak kepada Tan Sri Muhyiddin atau Tun Mahathir dan jika memihak kepada Tun Mahathir, bermakna memang tiada kepercayaan kepada Muhyiddin,” jelasnya
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan