Oleh Kamarudin Mohd Husain
Kenapa pemandu teksi tidak dikenakan cukai? Ini pertanyaan salah
seorang pemandu teksi beraplikasi Uber dan Grab, Syed Rosli Jamalullail
baru-baru ini. Dalam tulisannya yang dibawa FMT, Syed Rosli dipetik
berkata, “kalau pemandu teksi tidak dikenakan cukai pendapatan kenapa
pemandu Uber dan Grab hendak dikenakan cukai?”
Ya, saya setuju soalan yang dibangkitkan oleh Syed Rosli itu ada asasnya. Tetapi saya ingin berkongsi pandangan.
Kebanyakan pemandu Uber dan Grab telah memiliki pekerjaan tetap,
mereka menjana pendapatan sampingan mereka dengan memandu Uber dan Grab.
Sedangkan keadaan itu amat berbeza jika dibandingkan dengan pemandu
teksi – pemandu teksi tidak memiliki sebarang pekerjaan tetap ataupun
pekerjaan sampingan seperti pemandu Uber dan Grab.
Ini realiti yang kita semua tahu. Kebanyakan pemandu Uber dan Grab
menjadikan kerja menyediakan perkhidmatan teksi sebagai kerja sampingan,
di mana mereka sudah ada kerja lain dan berpendidikan tinggi berbanding
kami yang hanya bergantung pada kerja memandu teksi semata-mata.
Kebanyakan pemandu teksi normal bergantung 100% kepada pemanduan
teksi. Malah pendapatan mereka tidak sampai RM2,000 sebulan. Kini mereka
terpaksa pula berkongsi sumber pendapatan dengan pemandu-pemandu Uber
dan Grab.
Keputusan kerajaan untuk mengkaji dan mengenakan cukai pendapatan ke
atas pemandu Uber dan Grab adalah wajar kerana tidak mustahil dengan
melakukan 2 pekerjaan pendapatan pemandu Uber dan Grab mampu melebihi
RM3,000 sebulan. Bermakna dalam setahun mereka boleh menerima sehingga
RM36,000 ataupun lebih.
Jika kita membaca kenyataan LHDN di mana jika pendapatan tahunan
melebihi RM30,000, mereka perlu membayar cukai. Memang kita tahu sesiapa
sahaja berpendapatan melebihi had itu perlu membayar cukai pendapatan.
Ia bukan sesuatu yang keterlaluan atau luar biasa.
Sebelum ini kita dapat melihat syarikat aplikasi Uber dan Grab
menghebahkan skim perkongsian sebagai peluang pendapatan sampingan yang
lumayan.
Malah saya mendapati pemandu-pemandu Uber dan Grab sering membuat
pengakuan menerusi laman sosial yang pendapatan mereka mampu mencecah
sehingga RM2,000 dalam masa seminggu. Bukankah begitu?
Jadi kenapa kini apabila LHDN ingin mengenakan cukai pendapatan, mereka tidak bersetuju?
Pemandu-pemandu teksi Uber dan Grab perlu menjadi warganegara yang
bertanggungjawab dengan membayar cukai pendapatan. Jangan hendak lari
daripada membayar cukai apabila tertakluk kepada undang-undang negara.
Kewajipan ini juga sebahagian daripada peraturan cukai yang bakal
dikenakan ke atas mereka yang menjalankan bisnes atas talian.
Ledakan ICT menyebabkan persekitaran berubah. Jadi sudi-sudilah
menerima pembaharuan sistem percukaian negara. Setiap tindakan ada
kelebihan dan kekurangan. Begitu juga risiko. Anda pemandu teksi Uber
dan Grab perlu menerima perubahan ini.
Kamarudin Mohd Husain adalah Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M))
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan