BN, SPR. PH dan Gagasan Sejahtera

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

BN
 
Menteri BN Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kos sara hidup menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pengundi Malaysia dan dijangka menjadi satu topik pada kempen pilihan raya umum.

Sebenarnya itu adalah kebimbangan BN sebenar. Segala statistik ekonomi yang dilihat memberangsangkan mahupun berita-berita positif bahawa ekonomi Malaysia sedang berkembang tidak dapat dirasai rakyat Malaysia secara umum.

Mata rakyat sedang menyaksikan banyaknya kedai yang terpaksa ditutup kerana suasana ekonomi yang lembap, mengalami keadaan sukar untuk menyimpan wang kerana segala jenis kos barangan dan makanan rata-rata sudah meningkat tinggi dan penggangguran di kalangan mahasiswa semakin bertambah. GST terus dirasai sebagai cakar tajam yang sedang mencengkam bahu rakyat setiap saat.

Untuk mengalihkan pandangan rakyat, seperti biasa akan tetiba timbul pelbagai drama yang melibatkan kaum dan bangsa yang menyebabkan rakyat bertelagah sesama sendiri. Sebagai contoh, satu insiden tampar sudah cukup untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada masalah kos sara hidup.

Bagi rakyat yang peka, sudah tentu mereka dapat menghidu taktik yang telah diulang-ulang ini setiap kali pilihanraya menjelang.

*SPR*
 
Sepatutnya sebagai pengadil, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyenangkan tugas-tugas parti politik.

Antara keluhan utama hari ini ialah pemindahan pengundi secara besar-besaran (persempadanan semula secara halus) dan larangan pengedaran Rang Daftar Pemilik Tambahan yang dipamerkan setiap tiga bulan oleh SPR kepada parti politik.

Tindakan-tindakan SPR ini akan memburukkan lagi pandangan rakyat terhadap mereka. Yang jelasnya, BN tidak membantah malah dilihat selesa dengan keputusan-keputusan SPR ini. Mengapa?
Apakah soalan ini masih perlu dijawab?

*PH*

Perbalahan daripada pilihanraya negeri Sarawak yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri sehingga perebutan antara siapa yang layak menjadi PM ke 7 hari ini adalah bukti Pakatan Harapan lebih sibuk bertarung sesama sendiri.

PAS dituduh kononnya menjadi punca kepada percanggahan di dalam Pakatan Rakyat dahulu. Tanpa PAS, pelbagai percanggahan juga berlaku dalam pelbagai isu yang kini melanda Pakatan Harapan. Jadi jelasnya, tuduhan terhadap PAS tidak benar.

Pertarungan di dalam PH dijangka lebih hangat apabila tibanya masa untuk berebut kerusi.
PKR telah mengisytiharkan bahawa kerusi PKR tidak boleh diserahkan kepada sesiapa. DAP dijangka akan menggunakan logik yang sama untuk mempertahankan kerusi yang sudah ditandinginya.

Peliknya pengumuman ini sama seperti apa yang diisytihar PAS.

Cuma ketika PAS umum, PAS dituduh sebagai bongkak oleh parti-parti komponen PH manakala mereka yang sama ini kini terpaksa berdiam diri terhadap pendirian PKR.

PAS juga telah isytihar bahawa mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon di kerusi tradisi PAS bermakna memberi tongkat kepada Umno-BN. Percayalah PKR dan DAP akan turut membuat pengisytiharan yang sama tidak lama lagi. Itu tidak pelik, kerana itulah realitinya, dan PAS telah mendepani realiti tersebut lebih awal.

*Gagasan Sejahtera*

Sementera pihak lain terus bercelaru dan bertelagah, ini masa terbaik untuk PAS akan terus memajukan Gagasan Sejahtera.

Tumpuan utama Gagasan Sejahtera ialah untuk melawan BN, dan menjadi satu wadah alternatif bertunjangkan Islam kepada rakyat.

Gagasan Sejahtera akan mementingkan kedamaian; dan mengambil peranan semak dan timbang yang sepatutnya dan bukannya bantah atau sokong melulu terhadap satu-satu isu.

Gagasan Sejahtera akan menjadi pengimbang antara kedua-dua belah yang terlalu mengejar kuasa sehingga matlamat menghalalkan cara. Insha-Allah.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan