Oleh
RANTAI berlian merah jambu bernilai RM117.1 juta yang dibeli untuk
isteri "Malaysian Official 1" dengan wang didakwa dicuri daripada 1MDB,
tidak akan memberi banyak kesan terhadap kubu kuat Barisan Nasional (BN)
pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Penganalisis berkata rakyat Malaysia pada asasnya tidak diyakinkan
sepenuhnya mengenai isu 1MDB dan tuntutan saman Jabatan Kehakiman (DoJ)
Amerika Syarikat (AS) untuk merampas aset dibeli dengan wang didakwa
dicuri daripada syarikat pelaburan negara itu.
Sementara ada yang percaya skandal menyelubungi 1MDB, ada juga yang
langsung tidak mempercayainya, kata Timbalan Pengerusi Institut Darul
Ehsan Prof Mohammad Redzuan Othman.
“Daripada kaji selidik kami sebelum ini, pandangan keseluruhan rakyat
mengenai 1MDB dan saman DoJ ialah – rakyat masih berfikir sama ada ia
semua betul atau palsu.
“Rakyat terima banyak maklumat mengenai skandal itu. Kalau betul
impaknya kuat, kita pasti akan lihat rakyat bangkit memprotes sekarang.
“Itu tidak berlaku, seperti apa yang kita pernah lihat dalam isu Anwar Ibrahim,” katanya
Penyingkiran dan pemenjaraan Anwar, ketua umum PRK dan bekas timbalan
perdana menteri, memberi inspirasi kepada kebangkitan gerakan reformasi
pada penghujung 1990-an terhadap pentadbiran BN.
Kurang impak di bahagian akar umbi
Redzuan berkata walaupun ahli politik pembangkang Pakatan Harapan
(PH) bercakap mengenai bagaimana kerugian 1MDB menyebabkan rakyat
merana, kesukaran itu tidak begitu dirasai di akar umbi.
“Melihat kepada sambutan Aidilfitri, rasanya hidup tidak begitu
sukar. Rakyat tetap sibuk berhari raya. Jalan sesak dengan kenderaan,”
katanya.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar juga berpendapat
saman DoJ termasuk berlian merah jambu yang disebut dalam permohonannya,
tidak akan mampu memberi kesan buruk kepada Perdana Menteri Najib Razak
dan BN kerana skandal itu menjadi terlalu rumit untuk difahami rakyat
di kawasan luar bandar.
Pengundi Melayu di kawasan luar bandar ialah bank undi terbesar BN.
Untuk bercakap mengenai rantai berlian merah jambu itu, seseorang
perlu menjelaskan keseluruhan skandal 1MDB, bagaimana duit itu
diperoleh, aset jana kuasa yang terlebih bayar, hutang berbilion
ringgit, dan bagaimana wang itu akhirnya digunakan untuk membeli
hartanah mewah, hotel, pesawat jem Bombardier, lukisan karya pelukis
terkenal seperti Monet dan Van Gogh serta membiayai filem Hollywood.
Dan kemudian ada tiga saman DoJ yang difailkan tahun lalu dan bulan ini.
Dalam saman DoJ terbaru bulan ini menyatakan hampir AS$30 juta
(RM128.7 juta) didakwa dicuri daripada 1MDB untuk membeli barang kemas
termasuk set berlian merah jambu 22 karat dengan rantai leher bernilai
AS$27.3 juta, untuk isteri "Malaysian Official 1" pada 2013.
Menteri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan MO1 ialah Najib.
Saman DoJ tidak menyenaraikan rantai berlian merah jambu itu sebagai
barang yang hendak dirampas.
Hisomuddin berkata isu 1MDB-DoJ hanya berkesan kepada pengundi yang
aktif dalam mendapatkan dan berkongsi maklumat menerusi media sosial.
“Isu itu tidak mendapat banyak perhatian kerana ia terlalu rumit
untuk diterangkan dan difahami oleh masyarakat tradisional Melayu,”
katanya.
Isu kehidupan
Hisomuddin berkata kenaikan kos sara hidup dan kesukaran daripada
segi ekonomi yang dialami masyarakat perlu kekal menjadi naratif utama
pada PRU akan datang.
Beliau berkata untuk PH menggunakan isu 1MDB-DoJ dengan berkesan
dalam kempen PRU mereka, cabarannya ialah dalam menjelaskan keseluruhan
skandal dalam bahasa mudah dan cuba mengaitkannya dengan kesukaran
kewangan pada masa ini di kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, bagi mereka di kawasan luar bandar, contohnya pada musim
perayaan, isu yang kekal menjadi kebimbangan ialah kenaikan harga
barang, seperti bagaimana daging tempatan kini kosnya RM35 sekilogram.
“Rakyat merungut ikan merah RM45 sekilogram, bawal emas RM43 dan kembung RM9 sekilogram.
“Berlian merah jambu ialah isu untuk golongan menengah dan atasan,” kata Hisomuddin.
Kontroversi lama
Isu 1MDB sudah terlalu lama dikaitkan dengan Najib, yang sebelum ini
mempengerusikan lembaga penasihat syarikat itu. Beliau menafikan tuduhan
rasuah, salah guna kuasa atau salah laku berkaitan 1MDB.
Pada Januari tahun lalu, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membebaskan
Najib daripada sebarang salah laku berkaitan RM2.6 bilion yang
dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib pada awal 2013. Wang itu
dilaporkan sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi, bukannya 1MDB.
Sementara beberapa negara termasuk AS, Switzerland, Singapura dan
Luxembourg memulakan siasatan dan prosiding undang-undang untuk sama ada
merampas aset didakwa dibeli dengan wang 1MBD atau dengan mendakwa
individu terbabit atas kesalahan penggubahan wang haram, tidak ada
sesiapa didakwa di Malaysia.
Kerajaan juga menolak tiga saman DoJ yang difailkan di AS, iaitu
untuk merampas hampir RM7.3 bilion dalam bentuk aset dan menjadi
tindakan terbesar pernah dibawa DoJ di bawah program Inisiatif Pemulihan
Aset Kleptokrasi.
Pemimpin negara menolak saman DoJ yang dianggap sebagai campur tangan asing.
Semalam, Apandi menuduh DoJ bertindak atas dorongan politik.
Hanya untuk bahan lawak
Kartunis Zunar yang terkenal dengan komik kontroversi mengenai
politik dan skandal Malaysia, baru-baru ini memberi penekanan terhadap
saman terbaru DoJ dengan menghasilkan beberapa lukisan hasil inspirasi
daripada rantai berlian merah jambu.
Seorang karakter wanita berambut besar dalam kartunnya kini memakai
rantai leher dan cincin dengan berlian besar. Sebelum ini, Zunar hanya
melukis karakter itu dengan cincin besar.
Tetapi Redzuan berkata PH tidak sepatutnya berharap berlian merah
jambu itu, atau skandal 1MDB akan memberi kesan lebih besar daripada
hanya lawak pada PRU akan datang.
“Mungkin hanya menjadi bahan lawak ketawakan BN. Tetapi untuk menarik
pengundi beralih daripada BN, impaknya tidak besar,” katanya
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan