Cukai Pelancongan 2017: Malaysia syurga cukai

Oleh Adly Zahari 

 PENGUMUMAN Cukai Pelancongan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz menambah koleksi cukai baharu kepada rakyat sekali gus menjadikan Malaysia syurga cukai.

Melaka sudah hampir pasti menjadi antara negeri yang bakal terkesan dan berisiko dengan Cukai Pelancongan yang diluluskan pada April 2017 lalu melalui Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 yang dibentangkan Nazri sendiri.

Pembentangan itu mendapat undian majoriti ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat.

Risiko kekurangan pelancong sudah tentu akan dirasai terutama pengusaha hotel tempatan. Apabila perusahaan hotel mula merosot maka ia akan menjejaskan peluang pekerjaan dan risiko untuk mereka kehilangan pekerjaan adalah tidak mustahil. Maka sudah tentu pengenalan cukai ini bakal melihatkan lambakan pengangguran tenaga muda.

Pengenalan cukai ini juga berisiko melembapkan aktiviti ekonomi dan menjejaskan pendapatan rakyat Melaka terutamanya peniaga Industri Kecil Sederhana (IKS). Apakah kerajaan dipimpin BN tidak memikirkan nasib mereka ini hanya kerana mahu cukai ini terlaksana?

Ini juga bebanan terbaru kepada rakyat tempatan yang hendak berkunjung ke Melaka. Bayangkan selepas dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Cukai Warisan (Caj Warisan) dan kini bakal ditambah dengan Cukai Pelancongan, sudah pasti ia cukup membebankan rakyat.

Dianggarkan kerajaan bakal mengutip RM654.62 juta setahun hasil Cukai Pelancongan tetapi ke mana wang itu akan dibelanjakan masih kabur. GST boleh dijadikan contoh untuk melihat kegagalan kerajaan mengurus wang kutipan cukai. Kutipan GST berjumlah lebih RM41 bilion setahun masih gagal dipastikan ke mana ia dibelanjakan.

CIMB Research dalam laporan pada April 2017 berkata, mereka melihat cukai itu sebagai perkembangan yang negatif kepada sektor perhotelan dan menyebabkan ketidakadilan antara pengendali hotel.

Amanah Melaka berharap Cukai Pelancongan ini tidak dilaksanakan walaupun Nazri mengumumkan 1 Julai 2017 sebagai tarikh ia mula berkuat kuasa. Ini kerana perkara utama yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan ialah menutup ketirisan dan amalan rasuah yang semakin berleluasa.

* Adly Zahari ialah pengerusi Amanah Melaka.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan