Isa Samad sepatutnya tolak pelantikan di SPAD

SEBUAH persatuan sivil hari ini menggesa kerajaan menyemak semula amalan pelantikan individu kontroversi memegang jawatan penting dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Centre For A Better Tommorow (Cenbet) berkata pelantikan individu berkenaan boleh memberikan maksud yang salah mengenai kebertanggungjawaban umum.

“Pelantikan jawatan penting dalam agensi kerajaan dan GLC tidak patut dianggap seperti permainan kerusi muzikal.

“Kami sangat bimbang mengenai bagaimana Isa Samad boleh dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD), sedangkan kontroversinya di Felda Global Ventures (FGV) belum berakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Rabu, Isa dan isterinya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama empat jam selepas secara sukarela meletak jawatan sebagai pengerusi FGV pada Isnin, susulan pelantikannya ke SPAD.

SPRM sedang menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dalam FGV selepas ketua pegawai eksekutifnya Zakaria Arshad dan tiga pegawai kanan syarikat itu digantung tugas sehingga selesai siasatan dalaman berhubung anak syarikat FGV Delima Oil Products Sdn Bhd dan Safitex.

Zakaria mendakwa berlaku rasuah dan salah laku korporat dalam FGV dan turut ditemu bual SPRM selama enam jam di Putrajaya.

SPRM turut menyerbu ibu pejabat FGV dan merampas beberapa kotak fail dan dokumen syarikat, awal bulan ini.

Cenbet berkata walaupun Isa tidak disabitkan atas mana-mana kesalahan jenayah, beliau tidak seharusnya menerima pelantikan itu sehingga SPRM selesai menjalankan siasatan.

“Tindakan seperti itu bukannya pengakuan salah. Sebaliknya, ia akan menunjukkan komitmen untuk menegakkan integriti dan urus tadbir baik,” katanya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan