KEMELUT Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mungkin hampir
selesai dengan pertukaran kepimpinan, tetapi masalah majoriti peneroka
Felda masih membelenggu mereka.
Walaupun menyambut baik perubahan kepimpinan dalam FGV, tetapi
keyakinan peneroka dan anak peneroka Felda agak sukar untuk
dikembalikan.
Peneroka Felda Sungai Sibol di Johor Esa Atan, 71, berkata sepatutnya
ahli politik tidak dilantik untuk menjadi pengerusi Felda dan FGV.
“Biarlah ia diuruskan orang korporat. Barulah Felda dan FGV boleh berjaya,” katanya
Esa bagaimanapun enggan mengulas sama ada pengganti Isa, Dr Sulaiman
Mahbob mampu menguruskan FGV dengan lebih baik tetapi memberikannya 100
hari untuk melihat apa idea dan caranya menyelesaikan masalah.
Beliau berkata Sulaiman perlu mengembalikan keyakinan orang ramai dan
peneroka Felda dalam FGV yang sebelum ini kurang telus dan tidak
diuruskan dengan baik.
“Bagaimana keyakinan boleh dikembalikan? Sulaiman boleh mulakan dengan membetulkan kelemahan pengurusan tanah peneroka Felda.
“Mulakan dengan itu, selepas itu bab kewangan. Isu hutang terkumpul
disebabkan skim penanaman semula dan caj tersembunyi yang dimasukkan
dalam kos yang membebankan peneroka. Kita mahukan mereka lebih telus,”
katanya.
Semalam, media melaporkan kemungkinan bekas pengarah urusan Kumpulan Malakoff Corp Azhar Abdul Hamid bakal menggantikan Zakaria Arshad sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) FGV.
“Kalau benar seperti dilaporkan media, CEO FGV Zakaria akan
digantikan, kami mahu beliau digantikan dengan anak peneroka Felda
juga,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Ke 2 Felda
Zulkefli Nordin
“Kita perlu ingat, hampir 113,000 peneroka Felda merupakan pemegang
saham dalam FGV. Jadi pengganti kepada Zakaria kena ada roh Felda juga.”
Zakaria merupakan anak peneroka Felda pertama dilantik menerajui
konglomerat perladangan dan syarikat pengeluar minyak sawit mentah utama
dunia itu.
Anak kepada peneroka Felda Palong 1, Negeri Sembilan itu sebelum ini
memegang jawatan sebagai naib presiden eksekutif/ketua Kluster Hiliran
Sawit di FGV.
Felda tidak uruskan ladang dengan baik
Zulkefli berkata apa yang paling penting ialah Putrajaya perlu segera
menyelesaikan isu melanda peneroka Felda seperti penyata kewangan tidak
diberi.
“Ada yang setiap bulan bayar hutang dengan Felda tetapi penyata hutang sudah 10 tahun tak dapat,” katanya.
Katanya, apabila beliau dan kumpulannya menyiasat mengapa begitu
sukar Felda mengeluarkan penyata kewangan, rupa-rupanya ada ladang
peneroka tidak diuruskan dengan baik.
“Setiap bulan, ibu bapa kami yang serahkan ladang untuk diuruskan
Felda akan diberi elaun sara hidup RM1,500. Tetapi ini hutang termasuk
dengan kos penanaman semula, kos meracun dan sebagainya.
“Bila kami desak Felda, penyata kewangan diberi, semua kos dipotong,
tetapi apabila kami pergi ke ladang ibu bapa kami, tiada apa yang
dibuat, semak sudah macam hutan, gajah pun boleh duduk,” katanya.
Bagaimanapun, katanya tidak semua peneroka Felda sedar mereka mempunyai masalah hutang yang besar.
“Masalah ibu bapa kami di kampung ini, mereka seronok dapat elaun RM,1500. Tapi tidak tahu hutang bertimbun.
“Siapa nak bayar? Sebab hasil ladang langsung tak ada apabila Felda tak uruskan ladang mereka dengan baik.
“Kami bukan nak lawan kerajaan, tapi kami marah mengapa Felda buat ibu bapa kami begini?,” soalnya.
Zulkefli berkata penyingkiran Isa Samad sebagai pengerusi FGV dan
digantikan dengan Sulaiman merupakan langkah tepat kerana anak syarikat
Felda itu tidak seharusnya dipimpin orang politik.
“FGV ni macam anak kepada Felda. Felda sudah dipimpin Sharir Samad
yang merupakan orang politik dan FGV pula kini dipimpin orang yang
mempunyai pengalaman dalam perniagaan seperti Sulaiman.
“Sekarang Shahrir boleh fokus jaga Felda dan Sulaiman pula fokus dengan perniagaan Felda iaitu FGV,” katanya.
Sementara itu, peneroka generasi kedua Felda Sungai Sibol Zulkifli Md
Top agak skeptikal dengan pelantikan Sulaiman sebagai pemangku
pengerusi FGV.
“Susah nak cakap. Mungkin beliau boleh lakukan akan etapi masalah dalam FGV ni bukan kecil,” katanya
Oleh
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan