Janganlah malukan Wan Azizah lagi!

Oleh Timmy Say

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sering diletak dalam keadaan yang serba-salah.
Sepatutnya beban politik Wan Azizah sudah mencapai tahap minima pada 31 Julai 2008 apabila beliau melepaskan jawatan wakil rakyat Permatang Pauh untuk membuka laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun beliau kekal sebagai presiden PKR, tapi beliau terlepas beban daripada menjadi wakil rakyat.

Namun, nasib tidak menyebelahi beliau.

Beliau terpaksa bertanding di Kajang apabila Langkah Kajang yang dirancang pengarah strategik PKR ketika itu, Rafizi Ramli, hancur berkecai.

Wan Azizah terpaksa menjadi calon ganti apabila suaminya hilang kelayakan bertanding pada saat akhir sebelum penamaan calon, selepas disabit bersalah atas satu tuduhan daripada staf PKR sendiri.

Selepas memenangi PRK Kajang, Wan Azizah diletak di dalam situasi yang menegangkan di mana nama beliau diangkat sebagai calon tunggal menteri besar Selangor oleh DAP dan PKR.

Ia bertujuan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang disingkir partinya sendiri menggunakan tuduhan yang terbukti tidak berasas di mahkamah 2 tahun kemudian.

Namun, rancangan untuk menjadikan Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor gagal. Di peringkat negeri, beliau terpaksa duduk di bawah menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meskipun kedudukan beliau di dalam parti lebih tinggi berbanding Azmin.

Tugas sebagai Adun sangat asing bagi Wan Azizah. Ada sekali, beliau terpaksa menanggung malu apabila kesemua 10 soalan bertulis beliau ditolak di DUN Selangor kerana tidak mematuhi prosedur.

Nasib terus tidak menyebelahi beliau.

Wan Azizah terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya kecil, iaitu Permatang Pauh apabila suaminya dipenjarakan.

Selain menjadi Adun, Wan Azizah perlu menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh. Bukan itu sahaja, beliau turut diangkat menjadi ketua pembangkang.

Ketika Pakatan Harapan ditubuhkan, ketiga-tiga parti komponen iaitu PKR, DAP dan Amanah bersetuju Anwar akan menjadi perdana menteri sekiranya mereka menang.

Sebagai pengganti, Anwar sebagai Adun Kajang, ahli Parlimen Permatang Pauh dan ketua pembangkang di Parlimen, sudah tentu Wan Azizah juga PM peralihan kepada Anwar untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Oleh itu, tidak perlu sesiapa untuk melahirkan rasa hairan apabila Wan Azizah berkata beliau tiada masalah menjadi “pemanas kerusi” untuk suaminya ketika ditemuramah oleh Al-Jazeera bulan lepas. Dan perkara ini turut disarankan di dalam konvesyen PKR baru-baru ini dan disokong penuh oleh Rafizi.

Tapi kini semuanya hampir berubah selepas kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ke dalam Pakatan Harapan.

Ada beberapa pihak yang mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi musuh ketat keluarga Wan Azizah berbelas tahun lamanya, sebagai calon PM bagi PH, meskipun Wan Azizah adalah ketua pembangkang.

Dr Mahathir yang sudah berulang kali berkata beliau sudah terlalu tua untuk menjadi PM sudah mula sedikit menunjukkan satu lagi pusingan U bakal dilakukan.

“Saya tidak boleh belakangkan kawan-kawan saya dalam parti Pakatan Harapan. Kalau mereka mempunyai cadangan yang seperti itu dan ini pula dipersetujui, mungkin saya terpaksa pertimbang,” kata beliau.

Difahamkan di mesyuarat Majlis Presiden PH yang terbaru, timbul pertikaian hangat terhadap cadangan untuk meletakkan Wan Azizah sebagai pengerusi PH di dalam surat permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) sehingga menyebabkan mesyuarat itu tertangguh tanpa satu keputusan dibuat.

Apakah Wan Azizah akan “ditampar” sekali lagi? Sebagai presiden PKR, beliau tidak dapat menjadi menteri besar Selangor sebaliknya jawatan itu jatuh pada timbalannya.

Apakah kali ini, beliau akan dimalukan sebagai ketua pembangkang apabila nama orang lain yang baru menyertai pembangkang pula yang diangkat sebagai calon PM?

Tolonglah jangan malukan Wan Azizah lagi, hanya kerana beliau seorang isteri yang sanggup menjadi PM peralihan untuk suaminya.

Cukup-cukuplah dalam menghimpit beliau ke arah keadaan yang serba-salah sekali lagi.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan