Khalil: ‘Matang, adil’ label bekas pemimpin PAS ‘pengkhianat’

KUALA LUMPUR, — Menggelar “pengkhianat” kepada bekas pemimpin PAS yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) itu “matang dan adil,” kata ketua Pemuda PAS.

Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tindakan itu malah sejajar dengan ciri berpolitik secara “matang dan sejahtera” yang diperkenalkan PAS pada 2016.

“Politik matang dan sejahtera ini adalah politik yang bertindak dengan adil, itu [antara] ciri-cirinya.

“Adil di sini, dalam Islam, ialah meletakkan sesuatu kena pada tempat. Saya kira, PAN [Amanah] adalah sebuah parti yang khianat kepada PAS.

“Jadi kenyataan-kenyataan pedas pimpinan PAS yang menyerang PAN, saya kira ia satu tindakan yang matang kerana ia adil untuk mereka.

“Khususnya wakil rakyat, dan ahli parlimen dan DUN, yang mana mereka bertanding atas tiket PAS, yang engkar bai'ah kepada parti.

“Dan pada masa yang sama mereka khianat kepada ahli, penyokong PAS yang memberikan undi kepada mereka,” katanya


Muhammad Khalil diminta mengulas sama ada melabel pemimpin Amanah dengan pelbagai gelaran termasuk "pengkhianat" dianggap budaya politik matang dan sejahtera (BPMS).

Sepanjang wawancara di ibu pejabat PAS di sini, beliau lebih suka menyebut kumpulan bekas pemimpin PAS itu sebagai PAN, bukannya Amanah.

Tujuh ciri BPMS yang dibentang PAS: politik bertunjang prinsip, politik dakwah dan amar makruf nahi mungkar, politik penyelesaian berasaskan Islam, politik utamakan rakyat, politik damai dan diplomasi, politik benar bukan persepsi dan politik rasional dan profesional.

Sedang menyiapkan ijazah kedoktoran dalam bidang Islam kontemporari, Muhammad Khalil melihat Amanah sebagai “serpihan” sahaja dan bukan "perpecahan" serius.

Baginya, pergeseran dua kumpulan pemimpin itu berbeza dengan perpecahan sewaktu ia dipimpin Tan Sri Mohd Asri Muda sehingga melahirkan Berjasa dan Hamim.

“Melahir serpihan PAN, ia lebih menguatkan PAS, bukan melemahkan PAS. [...] kerana masyarkat melihat PAS memutuskan [dengan] DAP, PKR kerana mempertahankan prinsipnya, [...] kerana tidak mahu diperkudakan oleh DAP.

“Sebaliknya apabila PAN ditubuh dan menyertai Pakatan Harapan, masyarakat dapat melihat bagaimana PAN diperkudakan oleh DAP,” katanya.

Menurut Muhammad Khalil, anak sulung presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, DAP kini parti dominan dalam Pakatan Harapan, kemudian diikuti PKR dan Amanah.

“Jadi macam mana PAN hendak menguasai dua parti lebih besar pengaruhnya, berbeza semasa PAS dalam Pakatan.

“Walaupun jumlah kerusi lebih kecil daripada DAP dan PKR, tetapi PAS mempunyai kekuatan akar umbi di cawangan dan memenangi kerusi DUN di Kedah dan Kelantan,” katanya.

Sebelum pilihan raya 2013, PAS menguasai dua negeri itu selain bekerjasama dalam Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Perak.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan