Maafkan The Star, jangan belasah

Oleh Rahman Imuda

Hari ini lebih kurang seminggu umat Islam di negara ini menerima kunjungan bulan Ramadan yang dipenuhi dengan rahmat dan pengampunan tuhan.

Saya menjangkakan negara kita akan “berehat” sebentar daripada isu-isu yang kontrovesi untuk memberi laluan kepada rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam untuk beramal. Ternyata tanggapan saya itu jauh meleset. Syaitan mungkin sedang dirantai, tapi hawa nafsu manusia masih boleh menguasai diri.

Belum pun genap seminggu umat Muhammad berpuasa, sudah terlalu banyak berita yang “tidak tercapai” dek akal berlaku di negara ini.

Mungkin ada baiknya jika rakyat di negara ini kembali kepada asas seruan Ramadan, selain menahan lapar dan dahaga, yakni menahan hawa nafsu dan daripada perbuatan yang sia-sia. Saya percaya setiap manusia yang berakal tanpa mengira agama dan kepercayaan pasti bersetuju dengan seruan ke arah kebaikan ini.

Isu lelaki dipukul sehingga mati

Sayu saya membaca cerita ini, terutamanya apabila membaca respon ibu kepada mangsa yang terkorban. Kemudian, saya membaca satu berita yang menyatakan ada saksi yang berkata mangsa tersilap masuk tandas dan tidak mempunyai niat untuk mencabul.

Untuk berlaku adil kepada mangsa yang mendakwa dirinya dicabul, kita perlu berdukacita kerana dalam bulan yang mulia ini, masih ada insan yang gagal menahan nafsunya untuk mencabul.

Namun, insan itu telah tiada, agama mengajarkan kita untuk tidak bercerita tentang aib mereka yang telah pergi. Bersalah atau tidak bukan isu utama yang perlu diberikan tumpuan, kerana isunya ada seorang lelaki yang belum dibicarakan maut dipukul.

Ternyata semangat Ramadan yang datang gagal untuk menghalang pelaku-pelaku (sedang berada dalam siasatan polis) untuk menahan diri daripada “meletakkan hukum” di tangan mereka.
Akibatnya, pelaku-pelaku ini pula mendapat masalah kerana sedang menjadi suspek utama kepada kes pembunuhan.

Moga kejadian ini boleh dijadikan pengajaran kepada kita untuk bersabar dan berfikiran rasional sebelum ingin melakukan apa-apa tindakan. Bersabar dan menahan emosi merupakan komponen penting bagi mereka yang sedang berpuasa.

Janganlah disia-siakan ibadah puasa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang dilandasi emosi dan amarah semata-mata, bimbang nanti akan menyesal di kemudian hari.

Laporan muka depan The Star

Saya ingin memberi teguran umum kepada semua wartawan dan editor akhbar, tidak kiralah akhbar bercetak atau maya. Jangan kerana ingin memastikan naskhah surat khabar terjual, etika kewartawanan diletakkan di tepi.

Tajuk utama yang hangat pasti akan mengundang pembaca yang ramai, namun tajuk yang mengelirukan dan menyentuh isu-isu sensitiviti rakyat Malaysia pasti akan membawa bala kepada syarikat akhbar tersebut.

Bukan akhbar The Star sahaja yang sebenarnya memaparkan tajuk berita yang mengelirukan, pada hari yang sama saya mendapati ada dua lagi akhbar popular yang menggunakan tajuk hampir serupa, namun dua akhbar lagi meletakkan satu garis sebagai pembahagi.

Saya melihat hanya The Star yang mendapat perhatian meluas, faktornya saya rasa para pembaca boleh meramal. Ramadan mengajar semua orang untuk berlaku adil dan jujur.

Seruan ini termasuklah kepada para wartawan, editor dan para pembaca. Akhbar The Star telah melakukan permohonan maaf secara terbuka khususnya kepada umat Islam di Malaysia, mungkin ramai yang tidak bersetuju jika saya katakan ada baiknya jika mereka dimaafkan.

Kebimbangan utama golongan yang tidak bersetuju pastinya kerana bimbang kejadian yang sama akan berulang. Saya fikir ini merupakan tugas kementerian yang berkaitan untuk bertegas dengan semua akhbar dalam hal etika menerbitkan berita. Memaafkan yang memohon kemaafan juga merupakan elemen yang perlu ada dalam Ramadan, ia akan mewujudkan suasana yang harmoni.

Bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa

Rakyat Malaysia beruntung kerana hidup dalam masyarakat majmuk. Apabila tiba bulan Ramadan, kemeriahannya dirasai oleh seluruh rakyat. Aktiviti yang paling popular ketika bulan yang mulia ini berkunjung adalah berbelanja di bazar Ramadan.

Banyak peniaga di bazar yang jujur, beretika dan menawarkan harga yang berpatutan, ia seperti rahmat kepada mereka yang datang membeli. Malangnya, masih ada sebilangan kecil peniaga yang tidak menjaga kebersihan dan menggunakan taktik penipuan dalam urusan jual beli.

Sekiranya anda seorang yang banyak menghabiskan masa di media sosial, sudah tentu gambar-gambar makanan yang bersalut “haiwan tidak diundang” sering mencuri perhatian anda. Bulan Ramadan seharusnya mengajarkan peniaga untuk menjadi lebih pembersih, kerana kebersihan mempunyai nilai yang penting di sisi agama.

Beberapa hari yang lepas, menteri belia dan sukan kita dalam akaun Twitternya mempersoalkan lambakan program-program berbuka puasa yang membazir, sedangkan Ramadan mengajarkan kita untuk berjimat cermat. Saya setuju dengan kenyataan ini.

Saya juga berpandangan kebanyakan majlis-majlis berbuka puasa yang menelan kos yang tinggi adalah tidak rasional sama sekali. Biasanya program ini diletakkan nama yang sedap untuk didengar. Sebagai contoh, majlis berbuka puasa dan meraikan kaum fakir dan miskin.

Hakikatnya, yang sedang diraikan bukanlah golongan yang dinyatakan, tetapi para VIP yang menjamah makanan yang istimewa.

Peserta-peserta terpaksa berbaris panjang untuk mendapat makanan yang telah “ditapau”. Kelakuan seperti ini bukan sahaja satu bentuk pembaziran yang jelas, tetapi turut mengeksploitasi golongan yang kurang bernasib baik. Bulan Ramadan bukanlah bulan pembaziran, apatah lagi bulan mengeksploitasi golongan tidak bernasib baik.

Bukan sekadar menahan lapar

Kita seharusnya mempunyai kefahaman yang jelas tentang bulan Ramadan, ia bukan sekadar bulan yang menuntut umat Islam untuk menahan lapar dan dahaga semata-mata. Pada bulan ini, umat Islam digesa untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada bulan-bulan lain.

Terdapat banyak elemen penting yang “tidak terlihat dek mata” perlu dihayati untuk menjadikan Ramadan kita lebih bernyawa. Moga-moga tiga minggu yang mendatang tidak dicemari dengan kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya.

* Rahman Imuda seorang aktivis mahasiswa yang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan