Mogok Lapar Sekali Lagi, Jika SPR Putrajaya Terus Membisu !

Oleh Kesavan Subramaniam


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Putrajaya didesak untuk memberikan jawapan balas dalam tempoh 48 jam selepas tiada sebarang respon diberikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah setelah surat yang telah dihantar pada 2 Jun lalu.

Jika tiada jawapan diterima, saya sekali lagi akan mengadakan mogok lapar 48 jam pada hari Khamis ini di Pejabat SPR Putrajaya sebagai tanda protes setelah ketidakadilan berlaku dengan pemindahan dan pendaftaran pengundi berlaku di Dun Hutan Melintang.

Sebelum ini saya telah mengemukakan sebanyak 336 bantahan dan membayar RM3360 kepada SPR Perak untuk menyemak semula Rang Daftar Pemilih Tempatan (RDPT) bagi suku tahun pertama 2017.

Setelah semakan lanjutan dilakukan lagi, saya mendapati terdapat banyak lagi pengundi yang bukan berasal dari Hutan Melintang tetapi telah didaftarkan di sini. Bagaimana ia boleh berlaku?

Sebab itu, saya telah mengemukakan 200 bantahan lagi melalui Borang C untuk diserahkan kepada Pengarah SPR Perak tetapi enggan diterima atas alasan tempoh bantahan sudah tamat pada 22 Mei 2017.

Selepas tidak diendahkan, saya telah membuat mogok lapar di hadapan pejabat SPR Perak di Ipoh sehingga didakwa di bawah Akta Hasutan dan Perhimpunan Awam.

Saya tidak gentar untuk mendepani pelbagai pihak kerana saya hanya menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat, malah saya akan berjuang habis-habisan demi rakyat setempat.

Saya tidak akan membenarkan pengundi luar untuk sewenang-wenangnya mengundi di kawasan Dun Hutan Melintang. Adakah terdapat penglibatan secara langsung Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membolehkan penukaran alamat kad pengenalan dilakukan di kediaman sesiapa sahaja?
Pihak saya juga telah membuat lebih 30 report polis namun sehingga kini tiada sebarang tindakan telah dilakukan.

Oleh sebab itu, saya akan ke SPR Putrajaya untuk menyelesaikan permasalahan ini bagi menuntut keadilan dan seterusnya pilihan raya yang adil dan bersih bagi PRU14 nanti.

YB Kesavan Subramaniam
ADUN Hutan Melintang
Parti KEADILAN Rakyat
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan