Tahaluf semula di Selangor? PAS lihat dulu PRU14

KUALA LUMPUR, 6 Jun — PAS sedia meneliti langkah menyambung semula kerjasama politik dengan PKR di Selangor jika “menguntung Islam,” kata ketua Pemuda PAS.

Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tahaluf siyasi “boleh berlaku” dan parti itu akan “melihat dari semasa ke semasa” termasuk selepas pilihan raya umum nanti.

“(Kami) tidak tahu apa benda yang akan berlaku. Kita akan lihat (selepas pilihan raya umum ke-14),” katanya dalam temubual  baru-baru ini.

Tambahnya, kerjasama politik itu sesuatu yang bersifat anjal, bergantung pada keadaan tertentu selagi menguntungkan “agenda Islam” parti itu.

“Kita PAS [akan] melihat dari semasa ke semasa. PAS parti yang ada pendirian yang jelas dalam soal persefahaman.

“Kita boleh kerjasama [dengan] mana-mana parti politik, yang penting, ia mestilah menguntungkan Islam,” katanya, anak sulung presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau ditanya sama ada PAS boleh bekerjasama semula dengan PKR jika masih mengekalkan penguasaan 13 atau 15 kerusi pada pilihan raya umum ke-14.

Ditanya lagi sama ada PAS tidak menolak kemungkinan kerjasama semula di Selangor, Muhammad Khalil berkata “kita akan lihat apa yang akan berlaku.”

PAS menjalin kerjasama selama 17 tahun dengan PKR sejak parti baru itu ditubuhkan menjelang pilihan raya umum 1999.

Namun bulan lalu, PAS membatalkan kerjasama politik dengan PKR antaranya dengan alasan bekas sekutunya tidak menyokong agenda Islam yang dibawanya.

Tiga exconya bagaimanapun masih kekal dalam pentadbiran Selangor. PKR pula mengarahkan semua ahlinya yang memegang jawatan di Kelantan agar berundur.

Muhammad Khalil sebelum ini mengakui walau PAS “tidak lebih kuat” dengan perpisahan dua parti itu tetapi keputusan parti tersebut “benar.”

Mengulas peluang PAS di Johor pula, selepas serpihannya Parti Amanah Negara (Amanah) dikatakan semakin kuat, beliau berkata PAS telah menyelesaikan masalah kepemimpinan cawangan dan kawasan yang keluar parti.

“Kita boleh atasi balik dengan berlakunya pemilihan kepimpinan baru. Ini menunjukkan kita tidak ada masalah yang besar di Johor,” katanya.

Parti baru itu — Muhammad Khalil suka menyebutnya PAN, bukan Amanah — bergantung pada bekas sekutunya DAP.

“Kekuatan PAN bergantung kepada kekuatan DAP, bukan kekuatan sendiri. Tempat PAN kuat adalah tempat DAP kuat,” katanya.

PAS kini mempunyai dua kerusi negeri selepas Aminolhuda Hassan, wakil rakyat Parit Yaani, menyertai Amanah.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan