Oleh Ahmad Syamil Mohd Esa
Apabila kita dirundung masalah tertentu dan melibatkan perihal
hukum-hakam dalam perbuatan, sering kali kita akan merujuk orang yang
lebih arif atau ustaz untuk menentukan apakah hukumnya dalam
keadaan-keadaan tersebut.
Lalu apabila kita mendapat jawapan, adakah kita akan beramal dengan
"fatwa" orang yang lebih arif tadi atau tidak? Jawapannya kembali kepada
keimanan kita. Jika niat di hati memang bertanya untuk patuh kepada
wahyu, maka kita akan ikut. Tetapi jika niat di hati untuk memenangkan
kehendak peribadi, maka kita mungkin akan mencari pandangan lain yang
kononnya lebih ringan untuk memenuhi tuntutan nafsu kita.
Atas sebab itu Imam Asy-Syatibi menyebut: Memberi pilihan kepada orang
yang bertanyakan fatwa adalah bercanggahan dengan maqasid syarak.
Ini kerana orang awam yang tidak mempunyai ilmu akan memilih pandangan
yang lebih disukai hawa nafsunya, bukan atas dasar disiplin ilmu.
Seperti mana beliau juga menyebut ciri-ciri 'alim rabbani adalah orang yang:
1. Menjawab soalan bersesuaian dengan kondisi orang yang bertanya,
2. Melihat kepada 'ma'aalaat' (natijah/penghujung) terhadap perkara yang ditanya, sebelum menjawab persoalan.
Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas pernah ditanya:
“Apakah hukum orang yang membunuh? Adakah baginya taubat? Beliau RA
menjawab: Tidak ada taubat baginya. Lalu orang yang bertanya itu pun
beredar. Mendengarkan jawapan itu, sahabat-sahabatnya bertanya, bukankah
semalam (pada majlis semalam) engkau katakan ada taubat bagi pembunuh?
Beliau RA menjawab: Aku katakan demikian pada hari ini kerana aku dapati
dia yang bertanya sedang dalam keadaan marah. Cuba ekori langkahnya.
Apabila sahabat-sahabatnya mengekorinya ternyata orang yang bertanya itu
memang ada masalah dengan jirannya dan mahu membunuhnya, namun jawapan
Ibnu Abbas RA telah menghalangnya daripada melakukan dosa besar itu.”
Kalaulah Ibnu Abbas RA seorang yang lurus bendul, pasti beliau akan
menjawab bahawa berdasarkan semua nas al-Quran dan hadis semua dosa itu
akan diampunkan Allah SWT apabila si pelaku benar-benar bertaubat dan
ikhlas, atau rahmat Allah lebih besar daripada dosa hamba-Nya, atau
pembunuh 100 orang pun dimasukkan ke dalam syurga seperti dalam satu
hadis, atau penzina pun masuk syurga hanya kerana bagi minum air kepada
anjing, atau sebagainya yang hanya menjadikan si penanya soalan lebih
cenderung untuk menuruti nafsunya dalam mentakwil jawapan-jawapan penuh
ilmiah itu dan nescaya tertumpahlah darah seorang muslim akibat jawapan
lurus bendulnya itu.
Namun beliau RA cukup memahami waqi' dan realiti semasa hinggakan
beliau memberikan jawapan tepat yang boleh menjadikan seseorang itu
sentiasa tetap di atas landasan syariah, bukan dijawab dengan jawapan
literal dan tidak pula menjadi lurus bendul semata-mata berpegang dengan
teks tanpa perkiraan-perkiraan lain yang tidak kurang pentingnya dalam
sesuatu fatwa.
Asy-Syatibi menyebut: Maqasid syarak dalam penurunan syariat adalah
mengeluarkan seseorang mukallaf daripada runtunan hawa nafsunya,
hinggalah dia menjadi hamba Allah secara "pilihan" (by choice) seperti
mana dia adalah hamba Allah secara terpaksa (by chance).
Isu asas dalam "tadayyun" (beragama) adalah kepatuhan kepada Tuhan.
Mana-mana masalah jika tidak didasarkan kepada ketundukan dan kepatuhan
kepada Tuhan akan cacamarba dan saling bertentangan kerana ia didasari
nafsu yang tabiatnya berbolak-balik dan tidak tetap walaupun dia
mendakwa perbuatannya itu ada sudut pandangan ulama' yang
membenarkannya.
Manakala tujuan utama pensyariatan fatwa adalah melorongkan manusia
untuk kekal atas landasan syarak, bukan semata-mata memberitahu maklumat
atau perselisihan para ulama’ dalam satu-satu masalah lalu memeningkan
masyarakat terhadap isu yang lebih utama.
Isu memiliki anjing tanpa sebab syarie baru-baru ini telah mendapat
respon daripada ramai pihak, banyak yang mengkritiknya, sesuai dengan
saranan fiqh Syafie, namun ada juga yang cuba memberikan helah dengan
menaqalkan pandangan ulama' semata-mata mahu melegalisasikan perbuatan
itu dalam syarak.
Isu ini sepatutnya ditanggapi secara menyeluruh dan teliti, jangan
bermudah-mudah dalam memberikan pandangan ulama' yang khusus kepada
masyarakat awam yang tidak pun memahami asas-asas fiqh apatah lagi
disiplin ilmu syarak. Memberikan pandangan yang syaaz dalam ruangan yang
penuh syubhat dan fitnah hanya menggalakkan masyarakat untuk melakukan
perbuatan yang salah berbanding mengikut landasan syarak yang betul.
Masyarakat perlu dilorongkan atas landasan yang memenuhi citarasa
syariat dan menambahkan kepatuhan kepada Tuhan, bukan lorong gelap yang
dihiasi kesesatan hawa nafsu dan perhiasan syaitan.
Walaupun kita mungkin tidak memiliki cop pengesahan ahli syurga atau
neraka, atau surat mendapat pahala dan dosa, tapi janganlah kita pula
yang membuka pintu helah bagi orang yang mahu melakukan dosa kerana
seburuk-buruk manusia adalah yang menjadi kunci pembuka kepada keburukan
dan penutup kepada kebaikan. Wallahu a'lam.
* Ahmad Syamil Mohd Esa adalah ahli Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan