Oleh Muhyiddin Yassin
Saya
membaca dengan tekun kenyataan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota
Johor mengenai keadaan Malaysia hari ini. Apa sudah jadi dengan
Malaysia? Walaupun hakikatnya amat perit untuk diakui, namun terasa
sedikit terhibur hati saya apabila hal yang saya sering perkatakan dan
perjuangkan turut disuarakan oleh seorang tokoh istana.
Saya
secara peribadi menjunjung kasih dan merafakkan sembah tahniah di atas
keberanian Tunku Mahkota Johor menyatakan kebenaran. Ini membayangkan
keprihatinan beliau terhadap keadaan negara dan nasib bukan sahaja
rakyat negeri Johor tetapi rakyat Malaysia seluruhnya.
Keluhan Tunku
Mahkota Johor mengenai keadaan negara pernah disuarakan oleh institusi
Raja-Raja Melayu sebelum ini. Selepas itu, Tunku Mahkota Johor sendiri
menjadi antara tokoh istana yang lantang menegur pimpinan negara dan
menyeru mereka melakukan perubahan segera untuk kebaikan rakyat jelata.
Namun,
teguran-teguran ini dipandang sepi oleh pimpinan negara. Titah
Raja-Raja Melayu dan suara istana seolahnya tidak diendah oleh
kerajaan.
Dalam
sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, kerajaan
sepatutnya menjalankan urusan negeri dan negara bagi pihak Duli Yang
Maha Mulia Tuanku dan sudah semestilah setiap pandangan dan teguran
institusi raja-raja dipandang serius oleh kerajaan.
Apa yang
diluahkan oleh Tunku Mahkota Johor bukan sahaja suara hati beliau,
tetapi juga suara hari rakyat terbanyak. Ramai orang yang saya temui
bertanyakan soalan yang sama iaitu apa sudah jadi dengan Malaysia?
Mereka termasuklah sahabat handai, kenalan dan orang ramai yang saya
temui di Malaysia dan juga orang asing di luar negara.
Mereka
berasa cukup hairan bagaimana Malaysia yang amat dihormati oleh dunia
suatu ketika dahulu boleh berubah dengan sekelip mata menjadi bahan
cemuhan masyarakat antarabangsa.
Saya diberitahu ada rakyat
Malaysia yang pergi ke luar negara malu untuk mengaku mereka adalah
rakyat negara ini kerana tidak sanggup dipandang sinis oleh orang luar.
Berlainan
sekali keadaannya sebelum ini apabila kita biasanya dengan bangga
mengatakan bahawa kita adalah rakyat Malaysia dan rakyat asing dengan
pantas memuji Malaysia.
Malaysia tidak lagi dihormati
Pokoknya,
Malaysia hari ini bukan seperti dahulu lagi. Malaysia tidak lagi
menjadi kebanggaan rakyat. Tidak lagi dihormati oleh dunia.
Puncanya
tidak lain kerana pimpinan negara terpalit dengan skandal rasuah,
penipuan dan penyelewengan yang berada di tahap yang paling memalukan.
Lebih menyedihkan, institusi negara yang sepatutnya berfungsi untuk
mengawal kuasa eksekutif, memelihara hak rakyat dan menjamin keadilan
gagal berfungsi sama sekali (totally dysfunctional).
Kita
tidak dapat bayangkan seorang Perdana Menteri mempunyai wang berbilion
ringgit di dalam akaun peribadinya dan wang ini adalah wang yang
dicuri daripada syarikat milik negara.
Namun, Peguam Negara
tidak mendakwa Perdana Menteri atas alasan Perdana Menteri tidak
mengetahui wang itu ada di dalam akaunnya. Sedangkan terdapat bukti
yang jelas wang ini telah dibelanjakan untuk kegunaan peribadi.
Undang-undang
apakah yang dirujuk oleh Peguam Negara? Di manakah kedaulatan
undang-undang? Sudah hilangkah keluhuran perlembagaan?
Jadi bahan jenaka antarabangsa
Tidak hairanlah Malaysia telah berubah menjadi bahan lawak jenaka masyarakat antarabangsa dan dicemuh oleh rakyat sendiri.
Lebih
mendukacitakan kita, ketika rakyat berasa amat terbeban untuk membayar
harga sekilo ikan kembung dan menanggung GST untuk barangan keperluan
harian, isteri Malaysian Official 1 dihadiahkan kalung berlian merah
jambu berharga RM117 juta menggunakan wang yang dicuri daripada
syarikat milik negara. MasyaAllah!
Dalam
sejarah 40 tahun penglibatan saya dalam politik, saya tidak pernah
menyaksikan perkara seperti ini berlaku. Orang-orang ini sudah tidak ada
sekelumit rasa malu dengan perbuatan curang mereka terhadap rakyat dan
negara. Seolahnya mereka boleh terlepas daripada hukuman undang-undang
negara dan balasan Allah s.w.t.
Itulah keadaan negara kita.
Kedaulatan undang-undang tercalar. Institusi negara dirobek. Hak rakyat
sedikit demi sedikit dirampas. Yang curang menjadi kaya-raya. Yang
lemah menanggung derita.
Masanya sudah tiba untuk kita melakukan
perubahan dan reformasi institusi secara besar-besaran untuk memulihkan
negara. Kuasa di tangan rakyat. Apatah lagi jika rakyat dipayungi
institusi raja.
Bak kata pepatah, rakyat dan raja berpisah tiada.
Bangkitlah bersama selamatkan Malaysia!
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN Presiden BERSATU dan bekas timbalan perdana menteri.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan