Oleh Hishamuddin Rais
Pada hari Selasa 14 Julai 1789 warga kota Paris telah mengangkat
senjata, keluar ke jalan raya untuk menggempur Kota Bastille yang
terletak di pinggir kota Paris. Kota lama ini telah dijadikan penjara -
memenjarakan para intelektual, ahli politik dan kaum tani yang berani
bangun menentang Raja Louise ke-14.
Pada hari itu Kota Bastille telah dirempuh dan dipecahkan. Tahanan
politik dibebaskan. Ini adalah detik sejarah yang paling penting, bukan
sahaja mengubah Perancis menjadi republik, malah 14 Julai 1789 telah
mengubah dunia.
Puluhan tahun kaum tani Perancis telah diinjak-injak oleh kaum feudal
yang bekerjasama dengan agamawan dan gereja. Bertahun-tahun kaum tani
bangun menunjuk perasaan. Kaum tani rakyat biasa bangun menentang kaum
feudal dan agamawan. Berpuluh-puluh dan beratus-ratus pak tani dibakar
hidup-hidup. Tanah dan hasil panen mereka dirampas oleh raja.
Gereja dan kaum agamawan bersekongkol dan bersubahat dengan kaum feudal
untuk menindas kaum tani. Ayat-ayat suci dan fatwa fatwi digunakan untuk
menghalalkan rampasan tanah. Mana-mana pak tani yang berani melawan
dibakar hidup-hidup sebagai contoh apa yang akan terjadi di neraka.
Dengan runtuhnya Bastille maka lahirlah konsep dan ideologi -
kebebasan, kesaksamaan dan persaudaran. Keruntuhan Kota Bastille membawa
konsep kebebasan untuk semua umat manusia. Bastille membawa konsep
kesaksamaan antara kita sesama manusia. Bastille membawa konsep
persaudaran antara kita semua - anak semua bangsa - umat manusia.
Di Kuala Lumpur pada Jumaat 14 Julai 2017 di Malaysia, telah meledak dengan berita wujudnya perserikatan baru - Pakatan Harapan.
Ini adalah penggabungan kerjasama parti BERSATU, PKR, DAP dan AMANAH.
Sama seperti Bastille, tarikh ini juga bersejarah. Tarikh 14 Julai 2017
ini melahirkan satu garis politik baru untuk Malaysia.
Pada 14 Julai 1789 warga Perancis bangun angkat senjata untuk
membidani kelahiran dunia baru. Pada 14 Julai 2017 Pakatan Harapan
membidani kelahiran politik baru pendemokrasian untuk Malaysia.
Penggalangan satu barisan bersatu yang dikenali sebagai Pakatan
Harapan ini satu kerja yang sulit. Ia sama seperti warga Perancis
bertahun-tahun bangun melawan kaum feudal. Di Malaysia, anak semua
bangsa juga telah bertahun-tahun bangun melawan kaum pemerintah suku
sakat dan kaum kerabat United Malays National Organisation.
Di Perancis pada tahun 1789 kaum feudal dan agamawan telah
bekerjasama. Di Malaysia pada tahun 2017, kelas pemerintah telah juga
berkerjsama dengan kelas feudal dan kelas agamawan.
Justeru, anak semua bangsa di Tanah Melayu dan Sabah Sarawak wajib
memahami bahawa Pakatan Harapan ialah sambungan dari perjuangan
PUTERA-AMCJA, sambungan perjuangan gerakan Reformasi, sambungan
perjuangan parti politik menuntut keadilan dan perjuangan pelajar anak
muda untuk menjatuhkan rejim Najib-Rosmah.
Selama lebih dari 60 tahun anak semua bangsa di Tanah Melayu bangun berjuang untuk kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan.
Pengisytiharan darurat
Sejarah telah menunjukkan kepada generasi hari ini bagaimana
perserikatan barisan bersatu PUTERA-AMCJA ditumpaskan oleh penjajah
British pada tahun 1948 dengan pengisytiharan darurat. Gerakan Reformasi
1998-2005 dimandulkan oleh United Malays National Organisation melalui
ISA. Kemenangan rakyat dalam PRU13 dinafikan melalui tipu helah lembaga
dan aparachik negara miliki parti ketuanan Melayu.
Menyusun, berjuang, rebah terbarai, menyusun kembali, ditumpaskan lagi,
disusun kembali - tanpa henti-henti. Sama seperti meledakkan Kota
Bastille, perjuangan ini berjangka panjang dan memerlukan pengorbanan
sebelum tercapainya harapan untuk mewujudkan dunia baru.
Sebelum wujudnya secara resmi Pakatan Harapan, sebelum dimasyhurkan
logo Pakatan Harapan, sebelum 14 Julai 2017, suasana politik bangun
melawan kelihatan berjaya dimandulkan oleh Najib-Rosmah.
Secara bijak, secara terancang dengan menggunakan perangkap politik
dan taburan dedak, Najib telah berjaya menarik keluar parti Islam PAS
daripada barisan bersatu Pakatan Rakyat. Parti Islam PAS yang dikepali
oleh Hadi kini kelihatan sampa larau - terumbang ambing tidak tahu
hendak pergi atau hendak datang. Hendak ke hulu atau ke hilir. Hendak
terkentut atau hendak sendawa.
Menjadikan parti Islam PAS tak tentu hala ini - kentut salah sendawa
pun salah - adalah kejayaan besar Najib-Rosmah. Ini kejayaan kedua
Najib-Rosmah setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di
Perak pada tahun 2009.
Kejayaan agung Najib-Rosmah apabila Hadi Awang melantik dirinya
sendiri sebagai penasihat kepada Najib dan gerombolan parti ketuanan
Melayu.
Perbuatan, kelakuan dan perangai Hadi ini samalah seperti apa yang
dilakukan oleh kaum paderi dan pemilik gereja di Perancis sebelum leher
Louis ke-14 dan isterinya Marie Antoinette dipenggal dalam Revolusi
Perancis.
Para agamawan walau pun berkiblat menuju ke Syurga tetapi hakikatnya
akidah mereka masih lagi kepada Audi Q7, Vellfire dan Mini Cooper. Fatwa
fatwi dan ayat suci itu hanya jampi serapah untuk menipu dan mengaburi
mata mak cik dan pak cik Felda.
Pakatan Harapan tanpa parti Islam PAS menyenangkan lagi perjuangan
anak semua bangsa untuk menjatuhkan Najib-Rosmah. Jika parti Islam PAS
turut bersama Pakatan Harapan pastilah amat susah dan amat berat
perjalanan politik harapan baru ini.
Dari pengalaman dalam Pakatan Rakyat, bukan sahaja presiden PAS tidak
datang bermesyuarat tetapi apabila keputusan telah diambil, parti Islam
ini akan melakukan kerja politik yang bertentang dengan keputusan yang
telah diambil secara konsensus.
Dari zaman Revolusis Perancis hingga ke hari ini, tugas dan kerja
para agamawan masih belum berubah. Kalau dahulu fatwa fatwi dikeluarkan
dari dalam gereja, hari ini fatwa fatwi muncul melalui Whatsapps dan
Twitter. Karutnya masih karut.
Menggalang perserikatan barisan bersatu ini bukan mudah. Satu kerja
politik yang sulit. Yakinlah bahawa dalam politik Malaysia kesulitan ini
bertampuk-tampuk. Bertimbun tambah. Terlalu banyak ranjau yang wajib
ditumpulkan.
Pencapaian maha agung
Dengan wujudnya parti politik berasaskan bangsa dan kaum, dengan
wujudnya parti politik yang berasaskan agama dan mazhab menjadikan kerja
politik di Malaysia ini sulit.
Justeru mari kita melihat sejarah. Wujudnya Angkatan Perpaduan Ummah
1990, wujudnya Gagasan Rakyat 1990, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan
Harapan adalah satu pencapaian yang maha agung.
Di Malaysia, malah di mana-mana pun dalam alam ini, untuk mencari
kesepakatan fikrah bukan satu tugas yang enteng. Lihat sahaja babak
babak politik sebelum lahirnya Pakatan Harapan.
Sesudah wafatnya Pakatan Rakyat, kita melihat bagaimana suasana
politik bangun melawan Najib Rosmah mengendur. Kita melihat dan
merasakan bahawa Najib-Rosmah akan kekal hingga dunia kiamat. Apabila
parti Islam PAS berjaya dipengaruhi oleh Najib-Rosmah ramai yang melihat
keadaan ini seperti kita semua tersangkut dalam gua tanpa jalan keluar.
Tetiba pada 20 Julai 2016 keluar berita New York Times tentang
kes 1MDB. Tetiba kita semua mula mengenal Jho Low. Tetiba mak cik dan
pak cik Felda telah pandai menyebut nama Leonardo DiCaprio. Tetiba kita
diberitahu bahawa Rosmah pernah berlaki sebelum Najib dan anaknya dengan
laki pertama bernama bernama Reza. Semua ini adalah rempah rampai yang
menjadi adunan Pakatan Harapan.
Walaupun rempah rampai ini wujud, tetapi suasana politik melawan
masih lagi belum kompak dan jitu. BERSIH4 berjaya memanggil 500,000
warga untuk turun ke jalan raya menuntut Najib-Rosmah berundur. Tapi ‘ambience politik’ masih belum lagi menjanjikan apa-apa kemungkinan.
Sesudah BERSIH4, suasana berubah sEdikit. Ketika warga berdemo di
jalan raya dalam BERSIH4, Mahathir Muhamad yang satu ketika dahulu amat
amat benci dengan politIk jalan raya tetiba turun ke jalan raya untuk
menjatuhkan Najib-Rosmah.
Ini perkembangan politik baru. Mahathir Muhamad yang menentang
politik jalan raya kini telah menerima hakikat bahawa jalan raya juga
adalah garis politik yang tepat dan betul.
Para aktivis NGO dan politik mula berbincang. Tetapi masih tidak ada
kesatuan fikrah untuk menerima dan mengalu-alukan secara spontan dan
terbuka tidakan positif Mahathir turun ke jalan raya. Suara sinis
kedengaran di sana sini. Mahathir masih dianggap musuh ketat untuk
sebahagian para aktivis NGO dan pekerja politik.
Tetiba pada petang Jumaat 4 Mac 2016 muncul Deklarasi Rakyat. Ini
satu dokumen yang amat penting. Ini adalah permulaan perseragaman NGO,
pemimpin parti politik dari semua garis dan mazhab. Deklarasi Rakyat
adalah penggalangan fikrah dengan hanya satu tujuan yang tuntas -
menjatuhkan Najib-Rosmah daripada tampuk kuasa.
Deklarasi Rakyat berjaya mengumpul 1.2 juta tanda tangan warga
Malaysia yang sehati sejiwa bersetuju dengan cita-cita dan niat untuk
menjatuhkan Najib-Rosmah.
Sayangnya Deklarasi Rakyat tidak sampai ke kemuncak yang
dicita-citakan , turun ke jalan raya untuk menyampaikan niat bantahan
mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Lekeh, sumbang, dendam
Suara lekeh dan suara sumbang dan suara dendam dan suara bebal politik
pada ketika itu telah membantutkan satu gerakan ampuh untuk menjatuhkan
Najib-Rosmah.
Ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa dalam salah satu
mesyuarat Deklarasi Rakyat Mahathir sendiri secara terbuka telah
menyatakan yang dia sendiri bersedia untuk memandu lori membawa 1.2 juta
tanda tangan ini untuk disampaikan kepada Agong.
Para aktivis NGO dan parti politik walau pun ada yang merasa kecewa
kerana Deklarasi Rakyat tidak sampai ke kemuncak, tapi mereka tidak
berhenti untuk mencari kesepakatan fikrah.
Sayugia diingatkan bahawa sebelum presiden Mubarak diturunkan
daripada takhta, sebelum Zainal Abidin lari ke Mekah, sebelum Suharto
ditangkap dan didakwa dan sebelum Marcos cabut lari ke Hawaii, rakyat
Mesir, Tunisia, Indonesia dan Filipina telah bertahun-tahun turun ke
jalan raya berjuang dan berkorban.
Sebelum Bastille diledakkan pada 14 Julai 1789, ribuan kaum tani
Perancis telah bangun berjuang dan berkorban. Sebelum leher Louis ke -14
dan Marie Antoinette dipenggal, telah banyak pembelotan berlaku.
Justeru sebelum Najib dan Rosmah dihambat keluar dan sebelum Najib
dan Rosmah ditangkap dan didakwa, sebelum Pakatan Harapan berjaya ke
Putrajaya, perjuangan dan pengorbanan akan diteruskan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan