BENARKAH Pilihan Raya Umum ke-14 akan diadakan selepas berakhirnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017? Ramalan ini berdasarkan kepada telahan politik yang kini hangat diperbincangkan terutama dalam kalangan pemerhati dan penganalisis politik tanah air.
Ada yang meramalkannya pada September
dan tidak kurang juga yang mengandaikan pilihan raya akan berlangsung
sama ada Oktober atau November tahun ini. Sejauh mana kebenarannya sukar
hendak dipastikan kerana kuasa untuk membubarkan Parlimen terletak di
tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setakat ini Perdana Menteri belum memberi
bayangan kepada kita bilakah PRU-14 akan diadakan. Apa pun penulis
seratus peratus percaya Perdana Menteri telah mempunyai tarikh yang
paling sesuai untuk diadakan pilihan raya umum tersebut dan hanya akan
diumumkan apabila tiba masanya kelak.
Untuk
rekod, tarikh luput mandat Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini
adalah pada 24 Jun 2018 iaitu berasaskan tarikh persidangan pertama
selepas PRU-13 yang lalu. Yang pasti, dalam tempoh berbaki kira-kira 11
bulan lagi, BN perlu lebih bersedia untuk berhadapan dengan cabaran
Pakatan Harapan yang kini dianggotai oleh DAP, PKR dan PAN dalam PRU-14
akan datang.
Cabaran
dilihat semakin hebat apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan
bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil
keputusan menyertai Pakatan Harapan selepas mereka tidak lagi bersama
UMNO.
Namun begitu tidak pula dinafikan
kerjasama Pakatan Harapan dilihat agak rapuh meskipun Dr. Mahathir sudah
ada bersama mereka. Antara puncanya adalah perbezaan agenda perjuangan
masing-masing dan tidak terkecuali isu pemilihan Perdana Menteri yang
masih belum selesai sehingga sekarang.
Kata
orang pedulikanlah. Biarlah mereka berebut jawatan Perdana Menteri
sesama mereka. Apa yang lebih penting BN tidak boleh sesekali leka dan
lalai. Sebaliknya, dalam tempoh kira-kira 11 bulan ini BN perlu
mempersiapkan jentera pilihan rayanya untuk menghadapi PRU-14 tidak lama
lagi.
Dalam tempoh ini juga, segala
permasalahan yang berlaku dalam BN khususnya UMNO perlu diselesaikan
segera bagi mengelakkan berlakunya sabotaj pada pilihan raya umum
tersebut. Tiada istilah ‘cah keting’ dengki mendengki dan
cantas-mencantas di saat-saat kritikal ini, Semua pihak wajib berpadu
demi kemenangan UMNO dalam PRU-14.
Begitu
juga dengan permasalahan yang berlaku dalam parti-parti komponen BN.
Jika ada mohon selesaikan segera kerana tarikh PRU-14 sudah semakin
hampir. Rakyat di luar sana sentiasa memerhatikan perkembangan yang
berlaku dalam UMNO dan BN .
Difahamkan
lobi-melobi untuk menjadi calon BN juga giat berlaku di saat ini.
Masing-masing berusaha menonjolkan diri agar pucuk pimpinan terutama
Perdana Menteri melihat mereka layak menjadi calon.
Tidak
terkecuali mereka yang melobi ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin
yang sepatutnya telah lama bersara. Sebaik-baiknya mereka ini perlu
mengundurkan diri dan kemudian beri peluang kepada calon wakil rakyat
yang lebih muda dan bertenaga. Cukup-cukuplah dengan jawatan wakil
rakyat yang disandang selama ini.
Berhubung
dengan calon, seorang penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim
Sidek ketika dihubungi baru-baru ini mengakui bahawa faktor calon akan
menentukan kemenangan bagi sesebuah parti yang bertanding.
“Oleh
itu pemilihan calon oleh pucuk pimpinan hendaklah dilakukan dengan
bijak, telus dan bertanggungjawab agar calon yang dipilih benar-benar
berkualiti dan diterima oleh rakyat. Kita perlu letakkan calon yang
boleh menang (winnable candidate) untuk bertanding dan bukan calon yang
pandai melobi. Inilah langkah yang perlu diambil perhatian oleh UMNO dan
BN jika mahu kekal berkuasa,” ujarnya.
Beliau
berkata, semua pihak perlu terima hakikat bahawa trend pengundi
sekarang sudah jauh berubah dan kegagalan meletakkan calon yang betul
akan menyebabkan parti tersebut tewas dengan pihak lawan meskipun di
kawasan tradisi.
“Sebab itu saya ingin
mengesyorkan mana-mana komponen BN yang merasakan kawasan mereka hitam
disebabkan masalah calon atas isu majoriti Melayu tolong serahkannya
kembali kepada UMNO. Contoh terbaik seperti kawasan Telok Kemang.
“Disebabkan
isu calon, Telok Kemang terus dikuasai oleh PKR hingga sekarang
sedangkan potensi untuk BN menang amat cerah jika kita letakkan calon
Melayu. Bagi saya tiada salahnya parti komponen ini berkorban demi
kemenangan BN,’’ katanya lagi.
Dalam pada
itu ketika ditanya apakah kriteria calon boleh menang, Abdul Halim
berkata, terdapat empat sifat utama yang mesti ada iaitu agama,
integriti, latar belakang pendidikan dan keperibadian.
“Keempat-empat
kriteria ini diperoleh dalam satu tinjauan yang kami lakukan
membabitkan 2,000 pelajar universiti pada 2009, setahun selepas PRU
2008. Ketika itu saya bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Institut
Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia,” katanya.
Amat
diharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak boleh dijadikan sebagai
panduan kepada kita dalam usaha mencari calon yang benar-benar layak
sekali gus mampu menghadiahkan kemenangan kepada BN. Sesungguhnya
PRU-14 bukannya platform untuk dibuat uji kaji sebaliknya pilihan raya
umum tersebut disifatkan sebagai penentu kepada kelangsungan UMNO dan BN
dalam bidang politik negara ini.
0 comments:
Catat Ulasan