PAKATAN Harapan (PH) dapat merasakan betapa sukarnya untuk meraih
undi Melayu luar bandar semasa dua acaranya baru-baru ini di Pulau
Pinang.
Sebelum Hari Raya, para pemimpin DAP pergi ke kampung di kawasan
Melayu di Pulau Pinang untuk menyampaikan sumbangan. Ahli PAS yang
mereka temui, menolak tawaran ini.
Dan selepas Hari Raya, ketika PH mengadakan ceramah pertama mengenai
1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diadakan khas untuk masyarakat
luar bandar di Penaga, tiada penyokong PAS kelihatan.
Memastikan mereka yang mengundi PAS untuk beralih arah kepada PH
adalah satu daripada syarat untuk gabungan itu memenangi kerusi Parlimen
yang mencukupi, seterusnya mengambil alih Putrajaya.
Tetapi kedua-dua majlis ini menunjukkan, kemampuan PH untuk meraihnya
sangat meragukan apatah lagi dengan tempoh Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) bakal diadakan kurang daripada setahun lagi.
Pengaruh PAS
Penganalisis politik selalu berpendapat apabila dua parti pembangkang
menentang Barisan Nasional (BN), undi mereka berpecah yang akhirnya
memberi kemenangan kepada BN.
Oleh kerana PAS mengumumkan ia akan bertanding menentang PH dan BN,
peluang PH menang tipis melainkan ia boleh mencuri pengundi daripada PAS
dan BN.
Satu sebabnya mengapa ia mencabar ialah kerana Umno dan PAS mempunyai sejarah mendalam berdekad lamanya dalam komuniti Melayu.
Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata rakyat
Malaysia cenderung mengundi berdasarkan kaum pada setiap pilihan raya
untuk parti yang dianggap menjaga kepentingan mereka.
Bagi orang Melayu, terutama penduduk luar bandar, ia sentiasa sama ada Umno atau PAS, kata Ibrahim.
"Dalam keadaan tertekan, pengundi akan kembali kepada sikap berpuak
mereka dan menyokong kebiasaan. Oleh itu, sukar bagi orang baru, pihak
ketiga untuk masuk dan meraih kepercayaan mereka."
Di kalangan orang Melayu Pulau Pinang ini sangat sukar. Mohamad Sabu,
bekas pemimpin kanan PAS, pernah berkata komuniti ini berbeza daripada
negeri lain.
"Mereka sangat sensitif dengan ketakutan hak diambil kerana mereka
adalah minoriti di Pulau Pinang. Tetapi bukan minoriti kecil," kata
Mohamad, yang kini menjadi presiden Amanah.
Justeru, meraih kepercayaan masyarakat Melayu Pulau Pinang terhadap PH yang bersekutu dengan DAP majoriti Cina hampir mustahil.
PH terdiri daripada parti pelbagai kaum DAP dan PKR, serta dengan
majoriti Melayu, Amanah dan Bersatu. PAS adalah bekas sekutu DAP dan PKR
tetapi berpisah pada 2015.
Malah PAS, yang bersekutu dengan PKR dan DAP pada Pilihan Raya Umum
2013, berdepan kesukaran meyakinkan orang Melayu Pulau Pinang. Ia
memenangi satu daripada enam kerusi yang dipertandingkan, semuanya
majoriti Melayu.
Berkongsi matlamat
Apabila membandingkan kemampuan PH untuk menarik undi orang Melayu di
luar bandar berbanding PAS, Pesuruhajaya PAS Pulau Pinang, Muhammad
Fauzi Yusoff, memberikan contoh luar biasa.
Ceramah 1MDB di Penaga pada 6 Julai, hanya menarik segelintir
penyokong PAS. Dua hari kemudian, ribuan orang muncul di rumah terbuka
PAS Pulau Pinang di Bertam, juga di Kepala Batas.
"Sokongan yang kita peroleh di Pulau Pinang melebihi jangkaan," kata
Fauzi ketika menjawab dakwaan parti itu kehilangan sokongan selepas
berpecah dengan DAP dan PKR.
Penyokong PAS yang menghadiri ceramah 1MDB melakukan secara sembunyi
dan tidak memasuki dewan komuniti di mana ia diadakan, kata seorang
penganjur acara itu, Ahmad Fahmi Abu Bakar.
"Saya mengenali sebahagian daripada mereka sebagai penyokong PAS
kerana saya juga pernah berada di dalam parti. Mereka duduk di tepi
jalan di luar dewan komuniti. Tetapi sekurang-kurangnya mereka
diberitahu tentang 1MDB," kata Fahmi yang kini pemimpin Amanah Tasik
Gelugor.
Fahmi mengakui PAS masih kuat di Pulau Pinang tetapi berhujah yang
sikap mesra yang diperlihatkan parti Islam itu terhadap musuh
tradisionalnya, Umno, menganggu sebahagian penyokong dan ahlinya.
"Mereka tidak selesa dengan pendirian PAS mengenai 1MBD dan kami
berharap boleh memperoleh undi senyap daripada mereka. Mereka tidak akan
meninggalkan PAS kerana hubungan keluarga dan kampung. Tapi semoga
mereka mengundi kami."
Pemimpin DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari menganggarkan satu
daripada lima penyokong PAS adalah ahli tegar yang tidak akan mengundi
mana-mana parti lain.
Tetapi empat yang lain mungkin boleh diyakinkan untuk mengubah
fikiran mereka, kata Zairil, yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera dan
bertanggungjawab terhadap jelajah 1MDB untuk orang Melayu Pulau Pinang.
Dan untuk melakukannya, program jelajah dibuat untuk menerangkan yang
pemimpin tertentu dalam PAS melindungi pentadbiran Najib daripada
pendakwaan dalam isu 1MDB, kata Zairil.
"Kami percaya penyokong PAS ingin perubahan rejim, tetapi beberapa
pemimpin PAS tidak menyokong matlamat itu. Justeru, kami berharap
mendapat sokongan mereka dengan menunjukkan yang matlamat PH dan mereka
adalah sama."
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan