Oleh MUAMMAR QADDAFI
Membaca tulisan Naib Presiden Pas, Haji Idris Ahmad yang berasa pelik
apabila Pakatan Harapan ingin menawan Kelantan, bukan negeri lain yang
ditadbir Umno, saya juga turut berasa pelik bagaimana Idris boleh
membuat kesimpulan begitu, Pakatan Harapan telah bergerak pantas di
setiap negeri termasuk Johor, Kedah, Perlis , dan lain lain negeri dalam
usaha untuk merampas kekuasaan kerajaan negeri dari tangan Barisan
Nasional.
Disebut "hendak menawan Kelantan" adalah kerana majlis itu diadakan
di Kelantan dan dihadiri ramai pengunjung dari negeri Kelantan, maka
wajarlah disebut sebut dalam majlis itu, usaha Pakatan untuk menawan
Kelantan dari Pas, dan jika majlis itu diadakan di Johor, tentu sahaja
kita akan menyebut usaha dan hasrat kita untuk menawan Johor.
Idris juga membuat tohmahan DAP akan menentukan hala tuju Pakatan
Harapan berbekal ucapan Lim Kit Siang yang "istiharkan" Husam Musa,
bekas orang kanan almarhum Tuan Guru Nik Aziz, sebagai menteri besar
yang baru sekiranya Pakatan berjaya menawan Kelantan pada PRU yang akan
datang. Hakikatnya "pengistiharan" Husam sebagai Menteri Besar sekiranya
Pakatan menang di Kelantan adalah "sihir politik" sebagaimana telah
disebut penulis politik terkenal, Mohd Sayuti Omar.
Pengistiharan Husam sebagai menteri besar adalah sama seperti
pengistiharan Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah jika Umno
menangi Kedah pada PRU13, iaitu bertujuan untuk menarik sokongan dan
keyakinan rakyat dengan membawakan ikon besar sebagai pemimpin negeri,
strategi ini ternyata berjaya di Kedah apabila Umno berjaya menawan
Kedah kembali dari tangan Pas, maka bagaimana pembacaan politik Idris
begitu cetek untuk membaca tindakan Lim Kit Siang itu?
Tohmahan DAP yang menentukan hala tuju Pakatan adalah tohmahan
membabi buta yang dibuat dengan niat jahat demi kepentingan politik Pas
dan Umno, DAP adalah kompenen Pakatan Harapan yang meletakkan paling
sedikit calon dalam pilihan raya, tiada asas sedikit pun tuduhan itu
melainkan ia hanya mengulangi tuduhan Umno terhadap Pakatan Rakyat yang
disertai Pas satu ketika dahulu.
Idris turut persoalkan, adakah jika Pakatan Harapan menang di
Kelantan, adakah Pakatan akan kekalkan Enakmen Jenayah Syariah II 1993
(Pindaan 2015) dan adakah semua syiar islam dan program berciri islam
akan dikekalkan, atau sebaliknya menjadi seperti Terengganu selepas UMNO
merampas kerajaan Terengganu dari Pas pada 2004, Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 disimpan begitu sahaja.
Sebelum menyentuh persoalan itu, satu perkara yang saya ingin Haji
Idris dan pimpinan Pas Terengganu jawab, mengapa, apabila Adun Batu
Burok, Dr. Syed Azman mengemukakan notis usul supaya DUN Terengganu
membincang semula serta meneliti Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan
Qisas) Terengganu yang diluluskan dizaman Pas menjadi Kerajaan
Terengganu, mengapa tindakan murni itu dikecam oleh pimpinan Pas Negeri
bahkan tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila usul tersebut ditolak?
Mengapa yang dimarahi adalah Dr. Syed Azman bukan Speaker Dewan dari BN?
Berbalik pada soalan adakah Pakatan Harapan akan kekalkan Enakmen
Jenayah tersebut, katak bawah tempurung pun tahu bahawa wakil rakyat
Pakatan Harapan dari parti AMANAH, mereka sendiri berusaha untuk
memperkasa mahkamah syariah melalui usul yang dibawa ke parlimen namun
ditolak Speaker Dewan Rakyat, jadi tiada isu enakmen itu dihapuskan
bahkan penambahbaikan akan terus dilakukan agar mahkamah syariah bukan
sahaja akan diperkasa bahkan dilihat adil dan saksama di mata rakyat.
Satu hal yang saya setuju dengan Haji Idris adalah, kita percaya
rakyat Kelantan tidak akan rela pembangunan Islam yang dibina selama ini
dimusnahkan, pembangunan Islam yang dibina almarhum Tuan Guru Nik Aziz
tidak harus dirosakkan dengan kerakusan pihak tertentu yang merosakkan
alam melalui aktiviti pembalakan yang melampau, pembangunan Islam yang
dicemari dengan penindasan terhadap penduduk kampung, pembangunan islam
yang dirosakkan dengan bebanan hutang negeri yang melampau, maka Pakatan
Harapan akan membawa agenda, membangun Kelantan dengan islam, bukan
hanya pada slogan dan dijadikan tunggangan politik semata mata.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan