Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN
ANTARA
cara musuh matikan peranan amilin PAS adalah dengan kuasa duit.
Pertama mereka tawarkan kerja dengan gaji yang tinggi. Dengan gaji
tersebut amilin PAS yang menjadi pekerja mereka mula membuat pinjaman
kereta dan rumah.
Apabila amilin PAS itu mula terikat dengan hutang,
atau mula mengecap kemewahan, mereka mudah diugut. Kalau tak ikut cakap
majikan, mereka akan diberhentikan, dinafikan itu ini dan seumpamanya.
Mereka akan kehilangan kemewahan, bahkan akan hidup dengan belenggu
hutang yang menyeksakan.
Berapa ramai amilin PAS menjadi
mandul setelah berkhidmat di sektor kerajaan? Tanpa dinafi masih ramai
yang aktif dalam keterbasan yang ada, tetapi hakikat kemandulan yang
wujud tidak boleh dinafi. Mereka yang bijak di sektor kerajaan tidak
akan meletakkan diri dalam keadaan terikat, samada bebas dari hutang
atau memiliki sumber pendapatan sampingan.
Selain itu, wang juga
digunakan untuk mengikat amilin PAS bekerja dalam parti mengikut
telunjuk dan kawalan musuh. Contoh paling dekat kita boleh lihat dalam
peristiwa penghijrahan besar-besaran bekas pimpinan PAS dan pengikut
mereka ke wadah politik lain termasuk menubuhkan parti baharu.
Semasa
di dalam PAS, sebahagian mereka didanai oleh pihak tertentu untuk
bergerak dalam parti.
Umum mengetahui pergerakan pemimpin hatta
ahli bawahan PAS memerlukan belanja yang besar.
Kos perjalanan,
penginapan, penganjuran program, makan minum dan semuanya bukan
sedikit. Bagi mereka yang jadi YB, belanjanya lebih besar bagi
menyaingi kuasa wang daripada parti pemerintah.
Tidak cukup dengan
elaun bulanan yang diperuntukkan kerajaan sahaja. Bagi kepimpinan pusat
mahupun negeri, lebih terbeban. Mereka tidak memiliki elaun dari
jawatan. Mengharap sumbangan atau hasil dari pekerjaan lain.
Justeru
apabila pemberi sumbangan tetap kepada amilin PAS bertukar arah,
mereka akan memaksa amilin mengikut mereka juga. Jika tidak, pergerakan
mereka akan terbantut. Inilah antara jawapan mengapa mereka yang sudah
mengikut jalur tarbiah PAS secara solid pun boleh terpesong ke sana.
Walaupun tidak pernah terlibat dengan ABIM, JIM, IKRAM atau apa-apa,
tetapi boleh terikut dengan mereka kerana telah berjaya dipegang dengan
wang.
Kerana itulah Syeikh Mustafa Masyhur menulis di dalam
bukunya Durus Min Sirah Nabawiyah, juga Fiqh Sirah nukilan as-Syahid Dr
Ramadhan al-Buthi serta beberapa tokoh lain, antara hikmah baginda
berniaga adalah supaya pejuang Islam mencari sumber kewangan sendiri
dan tidak bergantung dengan sesiapa. Berniaga adalah contoh terbaik
bagi diri seorang pejuang.
Saya pernah bertanya Tuan Guru Ayah
Chik apakah boleh PAS terima bantuan dari pihak luar, untuk membantu
perjuangan kita? Ayah Chik menjawab biarlah PAS usaha sendiri. PAS
ramai korporat dan ahli perniagaan. Jana pendapatan dengan keupayaan
sendiri. Tidak perlu bergantung dengan pihak luar yang pasti beragenda.
Ayah
Chik kemudian bercerita di awal dia balik dari pengajian di Saudi
dahulu, negara tersebut pernah tawarkan bantuan bagi membangunkan
Maahad Darul Quran milik beliau. Namun beliau menolak kerana dapat
menghidu agenda di belakang.
Pihak Saudi juga pernah menawarkan
tajaan perubatan kepada beliau. Entah kenapa Saudi begitu baik dengan
beliau. Ironinya dalam tulisan-tulisan beliau konsisten mengkiritk
langkah politik negara tersebut. Pemimpin beberapa negara lain turut
menawarkan bantuan. Tetapi Ayah Chik menolak semuanya.
Ayah Chik
tegas membawa prinsip menolak sebarang unsur mempengaruhi diri melalui
wang ini bukan sekadar dalam PAS, malah dalam Kesatuan Ulama Islam
Sedunia sendiri. Dalam sebuah mesyuarat, salah seorang anggotanya
meminta KUIS agar lebih cermat dalam memberikan apa-apa pandangan,
supaya tidak bertembung dengan polisi pemerintah Qatar. Ini kerana
operasi KUIS banyak dibantu oleh kerajaan Qatar.
Ayah Chik cukup
pantang dengan sikap ini. Beliau terus menjawab dengan keras kepada
yang berkata itu. Tegasnya, bantuan yang KUIS terima tidak boleh
mengikat pertubuhan tersebut dari berpandangan bebas mengikut lunas
ilmu agama Islam.
Pemikiran Ayah Chik ini perlu dihadam
sebaiknya. Bukan sekadar untuk PAS, tetapi juga untuk diri sendiri.
Pepatah moden Inggeris yang menyebut cash is king, adalah realiti yang
perlu diwaspadai.
Amilin PAS perlu berhati-hati dengan dana atau
sumbangan sama ada dari luar mahupun dari dalam, khususnya daripada
individu yang boleh menimbulkan wasangka. Ancaman ini akan sentiasa
wujud, selagi mana duit masih bernilai. Jika belum terjebak, jangan
sesekali bermain api. Jika sudah terjebak, maka bersedialah menunggu
masa untuk memilih antara wang dan prinsip.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan