Bangsa Johor lawan CAT: Siapa sebenarnya beretorik?

Oleh Azman Jaafar 

Saya amat kesian dengan Mahdzir Ibrahim, yang dilantik oleh DAP sebagai Pengarah Pendidikan Politik.

Seakan-akan tiada calon yang lebih berwibawa sehingga mereka melantik seorang anak muda yang masih berhingus untuk mengganggu gugat keutuhan kepimpinan Umno Johor.

Semakin dia bersuara, semakin terserlah akan kedangkalan serta kecetekan ilmu beliau tentang politik negara.

Maka tidak hairanlah, jika DAP menang di Pulau Pinang dan Selangor sebagai contoh serta Perak suatu ketika dahulu, orang seumpama ini akhirnya hanya layak sebagai alat pembesar suara DAP untuk menyerang Umno/BN.

Untuk makluman Mahdzir  dan seluruh rakyat bangsa Johor, kejayaan DAP memenangi Penang, Selangor dan Perak serta menambah kerusi Parlimen sewaktu PRU ke-12 dan 13 adalah kerana beberapa faktor.

Pertama, kerana faktor Tun Dr Mahathir Mohmad. Beliau telah menyerang kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan menuduh kerajaan Abdullah sebagai kerajaan yang lemah, lembab, korup dan dikuasai oleh keluarga.

Kemuncak penentangan Mahathir terhadap Abdullah adalah isu pembatalan pembinaan jambatan bengkok oleh bdullah sebaik sahaja memegang tampuk kepimpinan negara.

Faktor lain adalah kejayaan DAP menanamkan sifat kebencian dan membakar perasaan orang-orang Cina terhadap kerajaan BN yang ditunjangi oleh Umno dengan melabelnya sebuah kerajaan yang korup serta anti-Cina.

Selain dari itu, kemelut kepimpinan parti komponen BN, khasnya MCA, MIC serta Gerakan menyebabkan pengundi-pengundi Cina dan India beralih angin memberikan sokongan kepada DAP dan PKR.

Slogan DAP seperti “Ini kali lah”, “Ubah” serta janji untuk memerangi rasuah habis-habisan telah berjaya memikat hati pengundi-pengundi muda Cina khasnya dan akhirnya berlakulah tsunami Cina.
Penulis masih ingat sewaktu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berjaya menambat hati rakyat Pulau Pinang serta Malaysia dengan menggunakan slogan CAT yang membawa maksud “Competency, Accountability and Transparency”.
Namun, setelah hampir dua penggal

menerajui Pulau Pinang, tembelang Lim akhirnya terbongkar dengan sendirinya. Pembaziran serta penyalahgunaan kuasa berleluasa.

Banyak kampung-kampung Melayu dan India dimusnahkan atas nama pembangunan. Janji-janji manis untuk menutup tol di Sungai Dua serta menyelesaikan masalah banjir dan air hanya janji manis belaka.

Tarif air naik sehingga 200 peratus, perumahan untuk rakyat menjadi rumah mampu tengok, rasuah berlaku sehingga melibatkan dirinya sendiri. Kehidupan harian rakyat Pulau Pinang semakin terhimpit. Pelabur mula keluar. Defisit kerajaan negeri semakin meningkat.

Hutang juga menimbun, perbelanjaan kerajaan negeri semakin boros dan yang paling ketara adalah pembaziran tentang kajian terowong yang menelan ratusan juta ringgit! Hilangnya peruntukan tambatan banjir yang diberi oleh kerajaan pusat pimpinan BN!

Akhir sekali, exco kerajaan negeri dituduh rasuah dan wujudnya kilang-kilang haram secara berleluasa. Lebih menggerunkan adalah terdapatnya sebuah kilang yang mengancam nyawa penduduk setempat!

Tidak seperti Lynas yang menurut Lim amat merbahaya kepada penduduk setempat! Sehingga kini tiada kes kematian di Lynas berbanding dengan kes kilang haram di Penanti!

Pemerintahan ala diktaktor yang dilakukan oleh Lim semakin jelas dengan terpecatnya beberapa pemimpin DAP sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri (contohnya di Melaka).
Sesiapa sahaja yang menentang Lim akan dikenakan tindakan! Apakah Mahdzir lupa bagaimana Lim memperlakukan penganiayaan terhadap ADUN Penanti dan pengundinya?

Sehingga waktu ini ADUN tersebut mendakwa diugut kerana membongkar kes kilang haram yang menyebabkan kematian serta penyakit kanser kepada penduduk setempat!
Inikah jenis tokoh pemimpin yang amat disanjungi oleh manusia yang bernama Mahadzir! Maka inikah manusia durjana, kejam serta tiada perikemanusiaan yang Mahadzir mahu Khaled ikuti?
Lupakah Mahdzir bagaimana kuatnya penentangan DAP terhadap RUU 355?

Mereka juga mempersoalkan larangan murtad, khutbah Jumaat serta menghina dan mempersendakan hukum Islam.

Atas dasar itulah ulama PAS pernah mengeluarkan fatwa bahawa orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya tidak akan berwalikan DAP.

Persoalan terakhir saya kepada Mahdzir, apakah kebaikan yang telah DAP lakukan dan apakah sumbangan yang telah mereka berikan kepada pembangunan negara Malaysia ini?

DAP parti yang telah mensabotaj ekonomi negara apabila mereka menghasut beberapa pelabur China, Taiwan dan Hong Kong agar membatalkan atau menarik balik pelaburan mereka dari Malaysia!
Untuk rakyat bangsa Johor, ya saya akui bahawa kerajaan negeri ini memang ada kelemahannya.

Namun kepimpinan Datuk Seri Khaled Nordin tidak menghalau dan memusnahkan kawasan serta perkampungan mana-mana bangsa. Kepimpinan beliau prihatin dengan pelbagai masalah rakyat dan sedang berusaha memakmurkan negeri Johor dengan sebaik mungkin.

Masalah perumahan rakyat sedang giat diselesaikan dengan pembinaan rumah mampu milik. Ekonomi negeri berkembang di luar daerah bandaraya dan sekitar Johor Bahru seperti di Mersing, Batu Pahat dan Pengerang.

Gandingan mantap serta kerjasama yang erat di antara pihak kerajaan dan istana semakin kukuh. Keyakinan pelabur terhadap kepimpinan kerajaan negeri semakin menebal.

Apa yang jelas, semua tohmahan dan fitnah yang Mahdzir lemparkan seperti kleptokrasi, korupsi dan sebagainya adalah sebenarnya ditujukan kepada DAP dan kepimpinan parti itu.

Kepimpinan DAP yang sebenarnya mengamalkan rasuah, penganiayaan, penipuan, kleptokrasi dan sebagainya.

Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim; Ahli Parlimen Kepong, Ahli Parlimen Kota Melaka dan beberapa ADUN DAP Melaka sendiri keluar parti kerana telah hilang kepercayaan mereka terhadap kepimpinan Lim dan keluarga!

Hanya mereka-mereka seperti Mahdzir yang buta mata dan hati jua yang masih memberikan wala dan berwalikan DAP!
Nasihat saya, bertaubatlah Mahdzir sebelum terlambat! Hidup ini tidak lama. Jika Mahdzir tidak boleh jadi garam, maka janganlah jadi langau! Jika hidup tidak tahu berbudi, janganlah jadi pengkhianat!

Akhir sekali, saya menyeru kepada semua rakyat bangsa Johor agar kita sama-sama benam dan kuburkan DAP kerana mereka bukan ingin memperjuangkan rakyat, tetapi melebihi kroni dan amat jelas mengamalkan rasuah serta penipuan.

Ayuh, kita sama-sama bangkit dan bersama-sama dengan pimpinan negeri untuk membangunkan negeri Johor yang kita sayangi. Kita tolak politik perkauman dan kebencian dan kita bertindak matang dengan benar-benar menabur bakti kepada negeri Johor bumi bertuah ini.


AZMAN JAAFAR adalah Ketua Pemuda, Umno Bahagian Pasir Gudang.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan