Oleh DINSMAN
Apabila Dr
Mahathir memperlihatkan dirinya memihak kepada pihak-pihak pembangkang
dalam politik Malaysia dan tindakannya itu disambut positif oleh
pihak-pihak pembangkang berkenaan, di peringkat awalnya saya tidaklah
begitu memberi perhatian. Mengenali Mahathir dan perjalanan hidupnya
yang penuh liku dan warna-warni itu, saya menganggap itu adalah
sebahagian daripada liku-liku dan warna-warni itu.
Dia cuba
melakukan sesuatu untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib Tun Razak,
kerana sebab-sebab tertentu yang menyebabkan dia tidak berkenan Najib
jadi Perdana Menteri Malaysia. Apakah sebab-sebab itu, usahlah kita
bincang di sini. Boleh jadi kita suka, boleh jadi kita tak suka.
Sebelum
ini dia berusaha menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi yang dia sendiri
melantiknya menggantikan dia apabila dia meletak jawatan Perdana
Menteri. Dan dia berjaya, tanpa perlu bersusah-payah sangat. Tetapi kali
ini nampaknya segala usaha susah-payah dia hendak menjatuhkan Najib itu
belum berjaya. Namun dia tidak berputus asa.
Pelbagai inisiatif
untuk berpakat dengan pihak pembangkang dibuatnya. Sanggup turun ke
jalanraya dalam demo Bersih, berjumpa dengan Anwar Ibrahim di mahkamah,
dan sebagainya. Salah satu inisiatif pentingnya ialah mewujudkan
Deklarasi Rakyat, bersama pihak-pihak pembangkang. Dan saya pun turut
sama menandatangani deklarasi itu
Bukanlah saya suka atau
tertarik sangat dengan inisiatif tersebut. Tetapi entah bagaimana tokoh
besar DAP, Lim Kit Siang menelefon dan berjumpa saya di Shah Alam,
bercerita mengenai deklarasi tersebut dan meminta saya berfikir apakah
saya mahu menurunkan tandatangan menyetujuinya.
Setelah berfikir
dua atau tiga hari saya pun hadir dan tandatangan. Pertamanya kerana
saya menghormati kesungguhan Lim Kit Siang berikhtiar untuk
mengembalikan kehormatan kepada masyarakat dan negara ini; dan kedua,
kerana dia (Lim Kit Siang) bersusah payah datang sendiri berjumpa dengan
saya.
Ketiga, kerana saya percayakan hujah Lim Kit Siang bahawa
hanya Mahathir yang mampu menarik orang Melayu di dalam Umno untuk
bersama-sama menyokong usaha bagi mengembalikan kehormatan yang disebut
tadi.
Dan kemudian, Mahathir menubuhkan parti baru, Bersatu. Ini
usaha yang tak pernah dilakukannya sepertinya, sebelum ini. Menunjukkan
betapa sukarnya usaha yang sedang diikhtiarkannya kali ini. Dan saya
mendengar berita bahawa mutakhir ini kehadiran dialah yang paling
mendapat sambutan ramai apabila diadakan apa-apa majlis yang di luar
kerajaan.
Maka orang pun mulalah menyebut nama Dr Mahathir
sebagai Perdana Menteri yang akan mengambilalih pimpinan kerajaan
Malaysia selepas PRU-14 sekiranya Barisan Nasional kalah. Bukan lagi
Anwar Ibrahim. Buat pertama kalinya nama Anwar Ibrahim digugurkan oleh
penyokong-penyokong Reformasi sendiri (walau ada juga yang menentang),
demi semangat muafakat untuk “selamatkan Malaysia”.
Sampai di
peringkat ini saya agak tergamam dan terkedu. Amboi, tak ada orangkah
lagi di negara ini yang layak dan mampu memimpin rakyat/masyarakat
Malaysia yang lebih baik daripada Dr Mahathir, hingga kita terpaksa
mengangkat dia untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri, setelah
dulunya kita sendiri ‘bermati-mati’ berjuang bagi menjatuhkan dia?
Di
manakah ketokohan Anwar Ibrahim? Di manakah ketokohan Abdul Hadi Awang?
Di manakah ketokohan yang lain-lain? Dan apakah maknanya Reformasi 1998
yang untuknya Anwar Ibrahim sanggup berkorban menjalani hukuman penjara
5 tahun dan sekali lagi sekarang pun masih di dalam itu sudah 2 tahun 5
bulan?
Dan ramai lagi yang sanggup bersusah dan berkorban
begitu-begini bersama di belakang Anwar Ibrahim sejak Dr Mahathir
sendiri menyingkirkannya daripada arus perdana kepemimpinan Malaysia,
September 1998 itu. Berapa ramai yang menjalani hukuman penjara,
dilokap, diberhentikan kerja, dinafikan peluang dan kemudahan itu dan
ini, dan sebagainya.
Apakah maknanya sejarah yang berlalu selama kira-kira 18 tahun itu?
Dan
saya tiba-tiba teringat kepada sebuah sajak yang saya bacakan kepada
khalayak penyokong Reformasi di Pasir Salak (Perak) dan di Subang Jaya
pada September 1999, berjudul “Semua Orang Diperbodohkannya”.
Sajak
ini mengenai Dr Mahathir yang enggan berundur atau meletak jawatan
walaupun banyak desakan supaya dia berbuat demikian, dengan menyatakan
alasan-alasan yang bagi saya ‘memperbodohkan’ rakyat/masyarakat waktu
itu. Antara isinya:
“Mahathir kata dia sorang saja pandai/ Sebab
tu dia kena terus juga jadi PM/ Kalau tidak, siapa nak selamatkan
Malaysia/ daripada dijajah?/ Orang lain tak mampu/ Orang lain kalu:
Huru-haralah Malaysia/ Rosak jahanam porak peranda habis.”
Memang
itulah gaya bahasa sajak saya waktu itu, supaya orang mudah faham
maksudnya. Sekali dengar sahaja sudah faham. Mahathir memperbodohkan
semua orang waktu itu. Hanya dia seorang sahaja yang layak jadi Perdana
Menteri.
Di para yang lain pula, sebelum itu, sajak itu berkata:
“Tak ada sorang pun pandai/ Kecuali Dr Mahathir. Dia pandai/ Lain
semuanya tak guna/ Tak layak jadi Perdana Menteri/ Hinggakan Dr Mahathir
dah tua-tua pun/ terpaksa juga batalkan lagi/ niat dia hendak bersara.”
Memang
kasar bahasanya. Dan itulah ‘mood’ khalayak ramai yang beribu-ribu
hadir pada majlis-majlis ceramah politik waktu itu. Adapun yang
mengingatkan saya kepada sajak itu ialah isi atau mesejnya: Mahathir
memperbodohkan rakyat/masyarakat Malaysia kerana mengatakan hanya dia
seorang saja yang layak jadi Perdana Menteri dan orang lain semuanya tak
layak.
Pada tahun 1999 itupun saya kata “dah tua-tua pun/
terpaksa juga batalkan lagi/ niat dia hendak bersara.” Maka apatah lagi
sekarang, tahun 2017! Namun realiti kehidupan masyarakat Malaysia hari
ini nampaknya masih memerlukan dia untuk sekali lagi menjadi Perdana
Menteri.
Ini sesuatu yang sangat menarik. Saya akan tulis lagi mengenai perkara ini.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan