POLIS menahan 10 suspek setakat ini yang ada kaitan dengan huru-hara
tercetus semasa forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam pada Ahad dengan
tumpuan digiatkan kepada usaha mencekup dalang kekecohan berkenaan.
Siasatan awal mendedahkan beberapa remaja yang terlibat dibayar RM50
untuk memulakan kekacauan pada forum anjuran Bersatu itu, dengan
membaling kasut dan membakar suar ke pentas tempat Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berucap.
Dalam kekecohan itu, mereka juga kemudiannya membaling kerusi ke arah hadirin.
The Malaysian Insight difahamkan susulan penahanan tiga remaja
selepas huru-hara itu, polis Selangor memburu sampai ke Kangar, Perlis
untuk menahan suspek yang terlibat.
“Seorang ditahan di Kangar manakala enam lagi ditangkap di beberapa
lokasi di Lembah Klang semalam,” kata
Tujuh suspek itu berumur antara 20 hingga 30 tahun.
Ketua Jabatan Penyiasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmad malam tadi mengesahkan semua dalam tahanan polis.
“Kita bukan saja cari mereka yang buat kacau tetapi juga dalang di
belakang remaja ini. Itu sebahagian daripada siasatan kita,” kata Fadzil
Difahamkan juga, polis merampas semua telefon genggam milik suspek.
Kesemua 10 suspek itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,
Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta
Kanun Kesiksaan bagi kesalahan merusuh.
Pemimpin PH menyalahkan Umno manakala pegawai kanan perdana menteri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad menuduh Dr Mahathir punca kekacauan.
Tengku Sariffuddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata hadirin
pada forum itu marah apabila Dr Mahathir gagal menjawab soalan yang
dikemukakan kepadanya.
Dr Mahathir sempat menjawab lapan soalan sebelum selipar mula "terbang" diikuti kasut dan botol air serta kemudiannya kerusi dan suar yang dibakar.
Antara soalan itu termasuk yang menyentuh tentang anaknya Mukhriz
menjadi perdana menteri, moral Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat, Azmin
Ali dan PAS, serta peristiwa berdarah Memali.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengundi Melayu Berdaftar
Malaysia Nazilah Idris menggambarkan mereka yang ditahan polis itu
sebagai mangsa keadaan kerana nampak jelas diperalatkan.
Nazilah menggesa polis mengesan dalang yang mengambil kesempatan ke
atas remaja terlibat dan memperdayakan mereka untuk datang ke majlis
itu, dan seterusnya membuat huru-hara.
“Mereka tidak bersalah. Dalangnya yang sepatutnya polis cari,” katanya.
Nazilah menambah berdasarkan maklumat yang beliau terima, remaja
terlibat dijanjikan RM50 untuk hadir pada forum berkenaan dan akan
mendapat bonus sekiranya mereka mencetuskan kekacauan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan