Dengan mengambil perhatian kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Keadilan Kelantan Ab Aziz Kadir hari ini yang menerima keputusan Biro Politik parti itu agar beliau dan anggota Keadilan kekal dengan jawatan dalam kerajaan Kelantan, saya mengira elok kalau Pakatan Harapan (PH) mengambil ketetapan tegas sama ada untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu atau pun membuat satu sikap tegas.
Bagi PH tidak fasal-fasal lagi untuk terus bersama dengan Keadilan kerana parti itu sudah tidak menunjukkan semangat untuk bersama. Kenyataan yang dibuat oleh Aziz itu jelas bahawa parti itu dan ahlinya di Kelantan lebih mementingkan kepuasan mereka daripada kepuasan rakan komponen PH. Mereka sudah hilang nilai setiakawan.
Ab Aziz Kadir |
Mungkin pandangan saya ini berat untuk dilaksanakan dan bersifat tidak bijak politik. Namun yang pentingnya PH tidak perlu bermain tarik tali terlalu lama kerana akhirnya yang boleh memedihkan jari jemari dan telapak tangan. Politik ada kalanya perlu kepada "ding dong ding", adakalanya memerlukan ketegasan.
Sikap PKR Kelantan bagi saya bukan suatu kebijaksanaan tetapi sikap yang boleh memberi kemarahan kepada orang ramai. Ia boleh melemahkan PH sendiri dalam bergerak untuk memperkasakan PH itu. Sikap PKR itu menjejaskan kerja PH untuk menguruskan jentera pilihan raya dan menyusunkan organisasi PH di semua peringkat di Kelantan.
Memadangkan pilihan raya sudah hampir tiba Pakatan Harapan tidak perlu menyelesaikan masalah dibikin Keadilan itu kerana ia semacam "Kokiok" (white ant) yang sudah terpisah kepala dengan tubuh saja. Tubuhnya sudah hilang ke mana yang terlekat di betis hanya kepala saja. Pakatan Harapan harus bergerak ke depan dengan penuh yakin dan geserkan kepala "Kokiok" tu. Apa dilakukan oleh PKR di Kelantan, semacam sengaja menaruh ulat bulu di kaki dan mahu melihat rakan Pakatan Harapan mengelupur kegelian. Walhal perbuatannya mencemarkan dan menyebabkan musuh Pas akan ketawa bergerekek.
Kenyataan dikeluar oleh Ab Aziz hari ini, juga seakan merombak semula simpulan PH yang dilihat sudah mulai mahu kejap sebelum ini. Kalau sebelum ini Aziz kelihatan waspada untuk mendekati podium Pakatan Harapan, tetapi akhir-akhirnya dia sudah berani mendekatinya.
Perkembangan itu disambut baik oleh rakyat yang mahu melihat Pakatan Harapan menjadi juara baharu di Kelantan. Dan Pas sendiri yang sebelum ini "agah" dan sombong juga mula sudah sedikit mengendur. Tiada kenyataan-kenyataan keras dan bengis lagi dikeluarkan. Ini kerana Pas sudah mula menyedari kekuatan yang ada kepada dirinya dan sudah merasai langit tinggi dan rendah.
Namun kenyataan Aziz hari ini seakan mengembalikan semula keadaan kepada sebelum ini yang celaru dan membimbangkan. Bagi orang atau parti yang tiada pendirian tegas begitu tidak boleh dijadikan rakan dalam sebuah pasukan.
Jadi moleklah kalau Pakatan mengambil perhatian dan meneliti buruk baik kenyataan Ab Aziz itu. Pakatan tidak perlu bersibuk dengan Keadilan lagi. Dan Keadilan sendiri juga bebas untuk membuat keputasan kontradik dengan kehendak umum. Sebagai sebuah parti yang berdaftar dan tidak terikat dengan sesiapa parti itu berhak membuat keputusannya sendiri. Apapun sikap diambil akan dihormati dengan syarat tidak bersikap cocoh jilat.
Betapa kata Husam Musa, walaupun Keadilan dianggap kecil dan kurang berpengaruh di Kelantan namun melihat Keadilan ada nilainya sendiri. Dalam satu ucapan beliau tidak mudah menolak Keadilan walaupun parti itu seakan masih belum membuat ketetapan.
Bagi saya kenyataan Aziz itu bukan setakat menyinggung, PH sebaliknya mempersendakan kepercayaan yang diberikan oleh PH kepadanya.
Mungkin kalau PKR tiada ia boleh menjejaskan kekuatan PH. Tetapi dengan menyimapan duri dalam daging, atau membiarkan kepala Kokiahk mengetik betis menyebabkan seluruh anggota berdenyut. Selama mana ditahan akhirnya ia perlu dicabut juga. Jadi kepala Kokiak Keadilan itu perlu dibuang segera.
Dibawah disertakan kenyataan dikeluarkan oleh Ab Aziz Kadir.
KENYATAAN MEDIA
MPN KELANTAN
16 OGOS 2017
Saya dan wakil Majlis Pimpinan Negeri Kelantan (MPN) termasuk Ketua Angkatan Muda dan Ketua Wanita telah hadir dalam Mesyuarat Biro Politik Pusat pada 15 Ogos 2017. Biro Politik telah dimaklumkan dan diberikan penjelasan mengenai senario politik semasa di Negeri Kelantan.
Biro Politik Pusat mengambil maklum dengan maklumbalas yang telah dikemukakan oleh saya dan bersetuju dengan perkara-perkara berikut :
- Saya, Haji Ab. Aziz bin Ab. Kadir dikekalkan sebagai Pengerusi MPN Kelantan.
- Lantikan politik kepada anggota KEADILAN oleh Kerajaan Negeri Kelantan dikekalkan atas alasan Menteri Besar Negeri Kelantan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan masih memerlukan kerjasama KEADILAN dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.
Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Presiden KEADILAN dan Biro Politik Pusat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus memimpin MPN Negeri Kelantan.
Saya bersama MPN Negeri Kelantan akan terus komited untuk memperkukuh kedudukan KEADILAN di Negeri Kelantan khususnya dalam menghadapi PRU-14.
HAJI AB AZIZ BIN AB KADIR
Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.
0 comments:
Catat Ulasan