Oleh Zin Mahmud
Kekecohan dalam forum “Nothing to Hide” di Shah Alam Ahad lepas
berlaku apabila terdapat usaha yang boleh mencederakan Pengerusi Pakatan
Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tindakan yang menyebabkan kekecohan itu sememangnya tidak wajar.
Proses politik dalam demokrasi berlaku dalam suasana aman dengan usaha
meyakinkan orang ramai dibuat melalui hujah. Semua pihak wajar mendengar
hujah secara tenang dan bertamadun, bukannya beremosi dan membaling
kerusi serta melancarkan suar.
Adanya suar itu menunjukkan terdapat niat untuk melakukan kekecohan.
Forum “Nothing to Hide” anjuran sayap pemuda PPBM, iaitu Angkatan
Bersatu Anak Muda (Armada). bermaksud “tiada apa yang disembunyikan”,
merupakan aktiviti soal jawab terbuka di mana hadirin boleh tanya apa
saja kepada pemimpin di pentas.
Asalnya, ia dicadangkan supaya menjadi suatu majlis debat antara Dr
Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi
Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno.
Tentunya dapat difahami bahawa debat seumpama itu tidak berlaku.
Amalan debat secara berhemah belum menjadi budaya politik sivil. Maka
program itu menjadi majlis dialog.
Dalam hal ini, pemimpin yang berada di pentas ialah Dr Mahathir yang
berusi 92 tahun dan memerintah negara selama 22 tahun, tetap aktif
selepas 14 tahun melepaskan jawatan perdana menteri. Tentulah banyak
perkara boleh ditanya dan dijawab beliau.
Kekecohan berlaku ketika beliau menjawab mengenai peristiwa Kampung
Memali, dan dikatakan orang yang bertanya tidak berpuas hati. Polis
mengarahkan supaya program itu dihentikan apabila kekecohan berlaku dan
memanggil penganjurnya untuk siasatan.
Pada 5 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi juga menimbulkan peristiwa Memali ketika beliau berucap di
Baling. Zahid adalah juga menteri dalam negeri.
32 tahun lalu
Peristiwa Memali berlaku pada 1985, iaitu 32 tahun lalu. Ketika itu
Dr Mahathir ialah perdana menteri, pengerusi BN dan presiden Umno. Tun
Musa Hitam pula timbalannya dan menteri dalam negeri yang
bertanggungjawab ke atas peristiwa itu. Musa juga timbalan pengerusi BN
dan timbalan presiden Umno.
Ketika peristiwa Memali berlaku, Zahid ialah ketua Pemuda Umno Bagan
Datoh dan merupakan seorang ahli perniagaan yang mengetuai beberapa
syarikat berhad dan sendirian berhad.
Sementara Najib pula ialah menteri besar Pahang dan menyandang
jawatan naib ketua Pemuda Umno, di mana ketuanya ialah Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang juga merupakan menteri pertanian. Maka ketiga-tiga mereka,
Anwar, Najib dan Zahid adalah satu pasukan.
Pada 1985, saya seorang pemberita am untuk akhbar Utusan Melayu dan
Utusan Malaysia dengan banyak membuat liputan mengenai politik negara.
Saya hadir di galeri akhbar Dewan Rakyat untuk membuat liputan ucapan
Musa mengenai peristiwa Memali pada hari ia berlaku.
Beberapa hari kemudiannya, penulis turut hadir dalam perbualan dengan
timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad
bersama pemberita lain di kafe Parlimen. Pihak media dahagakan kisah
sebenar mengenai peristiwa, iaitu di sebalik kenyataan rasmi kerajaan
dan khabar angin yang tersebar, antaranya berpunca dari kalangan PAS.
Tanggapan saya ketika itu, setelah menghadiri perbualan tersebut,
ialah pihak keselamatan menjalankan tugas sewajarnya walaupun keputusan
akhir tindakan terletak pada ahli politik yang mempunyai kuasa. Namun
apa yang penulis faham dari perbualan itu, hujah daripada kerajaan
adalah menjurus untuk meraih mata politik dengan menggambarkan PAS dan
pengikutnya golongan ekstrem yang boleh menimbulkan kekacauan.
Pembangkang utama di Dewan Rakyat pada masa itu adalah DAP dan PAS.
Ketua pembangkang ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang. PAS pula
hanya mempunyai seorang wakil, iaitu Datuk Nik Andul Aziz Nik Mat bagi
kawasan Parlimen Pengkalan Chepa.
Di luar dewan ketika itu, kedudukan pembangkang amat lemah dan
berpecah belah. PAS dan DAP tidak boleh bekerjasama. Sementara Parti
Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) terlalu kecil untuk memberi sebarang
kesan. DAP pula terpecah dengan adanya Parti Sosial Demokratik (SDP)
walaupun kesannya amat kecil.
Dalam suasana menjelang pilihan raya umum ke-7, BN pimpinan Dr
Mahathir berada dalam kedudukan kukuh. Walaupun politik Sarawak dan
Sabah mempunyai dinamiknya tersendiri tetapi keadaan di Semenanjung
Malaysia terkawal. Sebarang perpecahan di MCA dan MIC dapat dikawal dan
parti Gerakan tidak mengalami sebarang masalah.
Tetapi apa yang penting ialah perpaduan Umno. Walaupun sebelum
terdapat pertandingan sengit antara Musa dan Tengku Razaleigh Hamzah
bagi jawatan timbalan presiden Umno amat ketat, tetapi ia tidak
menjejaskan perpaduan parti.
Ancaman besar bagi Umno datangnya dari PAS yang sedang bersemangat
tinggi ekoran pembaharuan pucuk pimpinannya melalui apa yang disebut
sebagai proses Kepimpinan Ulama. Walaupun Yang Dipertua Agung PAS ialah
Yusof Rawa tetapi pemimpin yang mendapat tarikan orang ramai ialah
timbalannya, Datuk Fadzil Nor, naibnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan
Nik Aziz sebagai ketua Dewan Ulama PAS.
Dua aktivis Pemuda PAS yang dapat menarik orang ramai ke ceramah
mereka ialah Mohamad Sabu dan Khalid Samad. Tetapi ketika peristiwa
Memali berlaku, Mat Sabu berada dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA).
PAS sendirian bela Memali
PAS membela Ibrahim Libya dan pengikutnya di Kampung Memali. Tetapi
pendirian PAS hanya boleh disampaikan melalui ceramah, kaset rakaman dan
risalah fotostat.
Sementara kerajaan menguasai semua saluran media, khususnya akhbar,
televisyen dan radio. TV1 menyiarkan dokumentari khas Memali yang
memberi gambaran buruk bukan saja pada pengikut Ibrahim Libya tetapi
juga PAS sendiri. Menteri penerangan ketika itu ialah Tan Sri Rais
Yatim.
Umumnya, orang ramai menyokong kerajaan BN dalam hal peristiwa itu.
Ahli dan pemimpin Umno secara keseluruhan menyokong Dr Mahathir dalam
isu ini. Pihak yang mempersoalkannya hanya PAS dan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia dan seringkali
memihak pada pembangkang.
Mata politik
Tetapi isu Memali ini tidak relevan ketika negara menghadapi pilihan
raya umum ke-7. Kini, ia ditimbulkan sekali lagi untuk digunakan bagi
mendapatkan mata politik.
Kali ini ia digunakan oleh pihak BN untuk memberi gambaran buruk pada Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Dr Mahathir.
Kaedah ini juga boleh sedikit sebanyak mengalih fokus orang ramai
daripada isu 1MDB yang menjadi punca Dr Mahathir menyertai pembangkang
melalui PPBM dan PH.
Tetapi tidak seperti tahun 1985, pihak pembangkang mempunyai laluan
media yang lebih meluas iaitu Internet. Walaupun kerajaan masih boleh
mengawal Internet tetapi ia tidaklah dapat melakukannya ketika mana
orang ramai hanya boleh dapat maklumat daripada akhbar, radio dan
televisyen.
Kali ini PAS pimpinan Hadi mempunyai hubungan baik dengan BN pimpinan
Najib dan Zahid. Sementara Dr Mahathir, Anwar, Mat Sabu dan Khalid
Samad berada pada pihak PH.
Tidak seperti pada 1985, penyokong Umno sudah tidak padu. Begitu juga dengan PAS.
PKR dan PPBM akan menarik sebahagian daripada penyokong Umno
sementara Amanah menampung suara penyokong PAS yang mahu bersama PH
untuk menimbulkan isu 1MDB.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan