Oleh Dr Azman Ibrahim
WALAU dimomokkan dengan pelbagai tuduhan, fitnah dan
persepsi negatif, fakta dan realitinya jelas menunjukkan bahawa PAS
telah jauh meninggalkan semua pesaing politik dalam membudayakan politik
matang dan sejahtera.
Ketika perhimpunan anjuran parti lain seperti DAP, PKR, MIC, MCA,
Bersatu, PAN dan Umno masih diselitkan dengan tentatif selingan acara
baling kerusi, terbalik meja, baling kasut, baling mikrofon dan
sebagainya, seingat saya sejak mula mengenali politik PAS dari tahun
80-an lagi, tak pernah kedengaran dalam PAS berlakunya insiden sebegini.
Bukti
yang nyata bahawa politik Islam yang dibawa PAS berjaya mengasuh dan
mendidik ahli serta penyokong berfikiran dengan cara yang bertamadun
berbanding dengan parti lain. Kalau ada insiden baling membaling yang
pernah berlaku sebelum dari tahun 80-an, mereka yang lebih lama dalam
politik boleh menceritakannya.
Yang biasa saya dengar dan alami sendiri ialah peristiwa orang PAS
kena baling. Penceramah PAS dibaling dengan telur busuk, dibaling batu
dan kayu, dibaling dengan kapak, dibaling bom asap malah ada yang pernah
terkena balingan najis.
Itupun parti PAN belum lagi berjaya mengadakan perhimpunan agung
parti mereka walau cakapnya berdegar-degar. Kalau berjaya buat, kita tak
tahu apa yang akan mereka baling sebab jika seorang presiden parti yang
berucap di atas pentas boleh baling mikrofon, bagaimana pula dengan
pengikut?
PAS dengan budaya politik bertamadun yang penuh kematangan dan
kesejahteraan menolak sepenuhnya budaya politik kasar, beremosi tanpa
didasari dengan hujah dan fakta. Bagi PAS hujah perlu dibalas hujah. Di
sini bukan medan untuk kita beradu kekerasan fizikal.
Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tubuhnya tak besar kalau
dibandingkan dengan orang lain, tetapi telah berjaya memimpin Kelantan
selama 23 tahun. Sebabnya Almarhum Tok Guru memimpin bukannya dengan
cara nak ajak Umno berlawan gusti! Kekuatan Almarhum Tok Guru adalah
akal yang dipandu dengan pertunjuk wahyu.
PAS berada di medan ini untuk merubah masa depan negara dengan
politik aman serta bertujuan bagi mengajak rakyat mencari kesejahteraan
bersama Islam. Berlakunya acara baling membaling, pukul memukul, tumbuk
menumbuk, kejar mengejar serta yang sewaktu dengannya dalam sebarang
program politik adalah reflek dan cerminan kepada cara berfikir yang
masih ketinggalan. Kita menuntut budaya politik primitif sebegini
dihentikan segera walau dengan apa alasan sekalipun.
Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan