Perisytiharan PAS Bertanding Tiga Penjuru Di Dun Dan Parlimen Kuantan


Kami mengambil maklum tentang keputusan PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang disebutkan, termasuklah Parlimen Kuantan.

Walaupun keputusan ini sudah dijangkakan, namun kami turut merasai kekecewaan rakyat yang mehukan seluruh barisan pembangkang dapat disatukan bagi mengalahkan UMNO-BN.

Kami tidak pelik kerana sejak polemik RUU355 dimainkan dan turut diulit oleh UMNO, PAS nampaknya tidak lagi berminat untuk menyerang BN, termasuk dalam isu-isu besar seperti 1MDB.

Pintu rundingan pernah dibuka seluas-luasnya untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru. Kita sedar, pertembungan tiga penjuru akan menyebabkan undi kepada blok pembangkang akan berpecah.

Banyak siri rundingan cuba dijayakan oleh pelbagai pihak, namun ia menemui jalan buntu. Rakyat perlu sedar bahawa HARAPAN sentiasa mencuba untuk menggarap seluruh kekuatan rakyat daripada NGO-NGO dan parti politik, termasuk PAS, untuk bekerja sebagai satu pasukan.

PAS terus-menerus menolak usaha ini dengan pelbagai alasan yang diada-adakan.

PAS perlu sedar bahawa mereka tidak akan mampu menjadi kerajaan dengan sendirian. Mereka mahu menjadi ‘King Maker’, sedangkan jika berlaku tiga penjuru, bukan sahaja ‘King Maker’, suara mereka pun mungkin tidak akan sampai ke parlimen.

Kekuatan hanya hadir dengan Jemaah (kerjasama). HARAPAN akan terus berusaha memperkukuh Jemaah kami walaupun jika terpaksa untuk berhadapan dengan PAS.

PAS juga perlu sedar bahawa banyak kajian yang telah dijalankan menunjukkan sokongan terhadap HARAPAN semakin tinggi. Jika ini berlaku, PAS akhirnya akan menjadi parti kecil.

PAS bukan sahaja sukar untuk mendapatkan kemenangan, bahkan ada kemungkinan mereka akan kehilangan Kelantan. Banyak kajian yang sudah memberikan petunjuk begitu.

Bagi kami, pengumuman ini hanyalah untuk memecahkan undi blok pembangkang. Ia tidak akan menjadi halangan kepada kami untuk mempertahankan setiap kerusi yang akan ditandingi oleh HARAPAN.

Tindakan Parti PAS ini telah mengecewakan penyokong agenda Reformasi yang telah memberi undi kepada parti PAS di DUN Beserah, Tanjung Lumpur dan DUN Inderapura atas semangat Pakatan Rakyat dalam PRU-13.

Dengan pelbagai isu kepincangan UMNO Barisan Nasional dalam isu 1MDB dan kegagalan Kerajaan BN dalam urus tadbir negara, kami yakin bahawa sokongan rakyat kepada barisan pembangkang akan bertambah, dan Pakatan Harapan akan menjadi pilihan mereka.
Parti yang menghalang kemaraan Pakatan Harapan ini akan dianggap bersekongkol dengan kleptokrat UMNO-BN dan akan disisihkan oleh rakyat.

Akhir sekali, kami ingin menyatakan bahawa kami tidak gentar dengan pengumuman PAS itu. Sebaliknya, kami berdoa agar PAS akan menilai kembali pendirian mereka terhadap Pakatan Harapan.

Kami juga berdoa agar rakyat tidak akan terpedaya dengan permainan sentimen agama dan bangsa demi mengaburi mata rakyat. Kerajaan kleptokrat UMNO-BN perlu dikalahkan habis-habisan, manakala sesiapa yang bersekongkol dengan mereka pasti akan dihukum oleh rakyat.

MEMBUJUR LALU, MELINTANG PATAH.
LAWAN TETAP LAWAN!

MOHD KHALIL ZAIDI
Ketua Pemuda AMANAH Kuantan
TOMMY LEE
PEMANGKU Ketua AMK Kuantan
MOHD ASYRAF MUHAMMAD ASRI
Ketua ARMADA Kuantan
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan