Polis yang terbunuh juga ada keluarga, kata Dr M kepada Hadi

Oleh Nawar Firdaws 

PUTRAJAYA: Presiden PAS DAtuk Seri Abdul Hadi Awang mesti ingat ada 2 pihak dalam semua peristiwa, termasuk peristiwa Memali, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau akui 14 orang kampung terbunuh dalam tragedi 19 November 1985, tetapi 4 anggota polis yang turut terkorban itu sekadar menjalankan tugas, kata Dr Mahathir mengingatkan presiden parti Islam itu.

“Masyarakat mahu PAS berlaku jujur dengan ahli mereka, yang ada 2 pihak dalam peristiwa Memali ini. Antaranya ialah pembunuhan anggota polis.

“Berapa ramai anggota polis yang sengaja dibunuh? Hampir tidak ada. Tetapi pada peristiwa itu, ada anggota polis dibunuh.

“Mereka juga mempunyai isteri dan berkeluarga.”

Pengerusi Pakatan Harapan itu bercakap  dalam satu temu bual di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, beliau berulang kali dan dengan sabar mempertahankan tindakan polis dalam tragedi itu, yang berlaku di Kampung Memali di Baling, Kedah, semasa beliau menjadi perdana menteri.

Insiden itu menyaksikan konfrontasi antara polis dan para penyokong seorang guru agama, Ibrahim Libya, yang melawan cubaan menangkapnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Hadi pada Selasa mengucapkan terima kasih kepada peserta wacana yang menimbulkan isu 3 dekad itu dalam forum “Nothing to Hide 2.0” Ahad lepas.

Seorang peserta mengajukan soalan mengenai tragedi itu kepada Dr Mahathir, dan bekas perdana menteri itu secara tenang mengatakan polis sekadar mempertahankan diri apabila penduduk kampung datang dengan parang.

Tetapi tidak lama selepas beliau menjawab soalan itu, sekumpulan pengacau mencetuskan kekacauan dengan membaling selipar, kerusi dan suar ke arah pentas.

Dengan bahang pilihan raya umum (PRU) ke- 14 yang semakin terasa, timbul persoalan sama ada isu Memali akan menjejaskan peluang pembangkang pada pilihan raya nanti.

Dr Mahathir kata tidak.

“Ia tidak akan memberi kesan kerana sebelum ini, walaupun mereka cuba menyalahkan Umno, ia tidak berjaya,” katanya.

“Dan saya katakan kepada mereka, 4 anggota polis dibunuh dengan parang. Untuk membunuh dengan parang, kamu mesti berada sangat dekat dengan polis.

“Dan sudah tentu, apabila kamu membunuh seorang anggota polis, polis mempunyai hak untuk membalas. Kita perlu ingat anggota polis hanya menjalankan tugas.”














Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan