Oleh Yasmin Ramlan
IBU bapa di sesetengah sekolah awam terpaksa membayar lebih untuk
pendidikan anak-anak mereka, malah ada sekolah yang terpaksa meminta
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membiayai kos percetakan kertas
peperiksaan.
Beberapa ibu bapa yang ditemubual wartawan, menyifatkan
masalah ini berlaku disebabkan kekurangan peruntukan daripada
Kementerian Pendidikan. Ibu bapa juga merasakan mereka semakin sukar
untuk membayar yuran tahunan PIBG.
Menurut kajian Invoke Centre for Policy Initiatives yang
dijalankan pada 10 Jun hingga 14 Julai lalu, perbelanjaan sekolah
semakin meningkat saban tahun. Kajian itu juga mendapati yang ibu bapa
daripada tiga kaum terbesar negara- Melayu, Cina dan India- mengatakan
kos perbelanjaan sekolah anak mereka meningkat 10%.
64% responden lagi mengatakan perbelanjaan sekolah anak mereka
meningkat lebih 10% berbanding sebelum ini. 27% lagi mendapati
perbelanjaan sekolah meningkat antara 6% hingga 10%, dan hanya 19% ibu
bapa merasakan perbelanjaan sekolah hanya naik antara kadar 1%-5%.
Bagi Azman Ahmad, 40, yang menyekolahkan anaknya di kawasan luar
bandar di Sepang, katanya perkara ini lebih dirasai apabila saban tahun
lebih ramai ibu bapa di sekolah itu gagal membayar yuran PIBG.
Mempunyai empat orang anak dan tiga darinya masih bersekolah, Azman
yang juga ahli PIBG sekolah anaknya, mengakui perbelanjaan bulanannya
sedikit terjejas 10%-20% apabila pihak sekolah kadang-kala tanpa diduga
memerlukan bantuan kewangan dari pihak PIBG.
“Kalau nak ikutkan memang terjejas. Dari belanja sekolah anak saya,
yang nasi lemak sebungkus pun RM1.50 sama macam kat luar, duit fotostat
lagi dan derma untuk program aktiviti sekolah.
“Contohnya untuk sambutan merdeka hari tu, sekolah perlu adakan
sambutan merdeka, tapi nak anjur tak ada duit sebab tak dapat bajet yang
cukup dari kementerian. Jadi, sekolah minta dana dari PIBG,” katanya
Tak cukup duit cetak kertas ujian
Azman bekerja sebagai seorang pemandu berkata, dek kerana tidak
mempunyai dana yang mencukupi, pihak sekolah pernah meminta bantuan PIBG
untuk mendermakan wang untuk mencetak kertas ujian peperiksaan akhir
tahun.
“Ini bukan benda baru. Bila saya buat dengan group PIBG dari sekolah
lain di Sepang ni juga, mereka hadapi benda sama. Ada sekolah yang
sampai buat program kumpul kertas A4 – satu murid, sehelai kertas A4
untuk kertas soalan peperiksaan,” katanya.
Katanya, kebanyakan ibu bapa dari sekolah itu dari kalangan mereka
yang gaji di bawah RM3,000 dan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Tambahnya, sekolah itu mengalami kesempitan peruntukan apabila lebih
ramai ibu bapa tidak membayar wang PIBG, iaitu sekitar RM50 setiap tahun
untuk setiap keluarga di sekolah itu.
“Yuran PIBG ni tak wajib sebenarnya. Hanya sumbangan. Tetapi bila tak
cukup wang nak buat program sekolah dan tak ada tajaan daripada
mana-mana pihak, sekolah kena cari dana sendiri, minta datuk sana sini,”
katanya.
Sekolah di bawah kerajaan negeri Selangor dipinggirkan
“Apa yang buatkan kami lagi tertekan bila kami di bawah kerajaan negeri pembangkang.
“Isu tak cukup dana sepatutnya hal kerajaan persekutuan. Kami memang
boleh minta bantuan dari kerajaan negeri tapi mereka tak boleh masuk
sekolah,” katanya.
Menurut Azman, apa yang lebih memeranjatkan, mereka juga perlu menanggung kos pembayaran gaji guru gantian.
“Tapi ini mungkin tak berlaku di negeri lain seperti di Melaka dan
Negeri Sembilan contohnya kerana kawan saya mengajar di Negeri Sembilan
dan Melaka, saya tanya, mereka kata tak ada jadi sampai macam tu
sekali,” katanya.
Ketua Invoke dan juga Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, hasil
kajian memberi gambaran awal kepada tindakan pemotongan bajet yang
dilakukan Kementerian Pendidikan sehingga mengurangkan peruntukan kepada
sekolah.
Tuisyen anjuran sekolah bukan untuk semua peringkat murid
Berbeza pula dengan Syaliza Shapiansuri, 37, yang menghantar anaknya
yang berusia lapan tahun ke sekolah kebangsaan jenis cina (SJKC), dimana
dia perlu membayar yuran PIBG dan pelbagai sebanyak RM500 setiap
semester.
“Saya memang tahu sekolah Cina yuran PIBG lebih mahal berbanding sekolah kebangsaan,” katanya.
Menurut Syaliza, tahun ini merupakan tahun pertama anaknya memulakan sekolah di SJKC.
Sebelum ini anaknya memulakan persekolahan di sekolah kebangsaan di
Kuala Lumpur dengan bayaran PIBG sebanyak RM95 – merangkumi bayaran
seperti tuisyen anjuran sekolah, penghawa dingin dan kos bayaran
pengawal keselamatan.
“Tapi sekolah sekarang hanya anjurkan tuisyen untuk darjah empat dan enam saja.
“Jadi dari segi perbelanjaan saya terkesan dengan tuisyen. Saya kena
hantar anak saya tuisyen untuk basic Mandarin dan tuisyen untuk
pelajaran lain. Yuran di situ memang mahal,” katanya.
Dia berkata, jumlah RM500 tersebut merangkumi bayaran kemudahan sekolah anaknya tetapi tidak aktiviti-aktiviti lain.
“Cikgu tak minta bayaran tambahan lain selepas itu. Cuma kalau fotostat tu cikgu suruh buat sendiri saja.
Syaliza yang merupakan seorang suri rumah itu berkata, setakat ini
sekolah anaknya belum lagi meminta wang tambahan yang tidak berkenaan
dengan sekolah.
“Kalau ada pun dalam 5 ke 20 ringgit. Buat beli hadiah guru besar
besara contohnya. Selalunya cikgu bagi pilihan. Nak bagi boleh, tak bagi
pun boleh.
Belanja naik 5-10% pada awal sesi sekolah
Bagi Khoo Li Ying,44, dia melihat terdapat peningkatan perbelanjaan sekolah anaknya sebanyak 5-10% berbanding tahun lalu.
Satu dari tiga orang anaknya merupakan murid di SJKC.
“Secara kasar, lebih kurang sama. Cuma ada naik 5%-10% pada awal
tahun. Sebab sekolah ada yuran komputer dan pelbagai buku untuk dibeli.
“Saya tidak terasa banyak sangat (peningkatan). Dan mereka (sekolah) tunjukkan mana duit dibelanjakan.
“Mungkin perlu bayar lebih sedikit tapi saya tidak kisah asalkan
sekolah tunjukkan mana duit itu pergi dan ia berbaloi untuk wujudkan
suasana yang selesa untuk murid belajar,” katanya.
Namun, Khoo seorang pekerja bebas berkata, sememangnya terdapat ibu
bapa yang perlu membuat bayaran tambahan untuk anak mereka yang berada
di SJKC.
Katanya, ia bergantung kepada kemudahan sekolah yang disediakan itu.
Kajian Invoke juga mendedahkan peningkatan perbelanjaan itu tinggi
dalam kalangan responden Cina kerana 92% daripada mereka menghantar anak
mereka ke SJKC kerana peruntukan kerajaan untuk sekolah jenis itu hanya
untuk gaji guru dan bil kemudahan sekolah, seterusnya memaksa sekolah
bergantung kepada sumbangan PIBG.
Pada 2012 dan 2013, pentadbiran Najib memperuntukkan RM100 juta untuk pembangunan atau penyeliaan sekolah Cina tetapi jumlah itu dikurangkan kepada RM50 juta sejak 2014
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan