Oleh Steven Sim
Semalam merupakan hari terakhir Khalid Abu Bakar sebagai ketua polis negara.
Bekas Pengarah Cawangan Khas, Mohamad Fuzi Harun akan menggantikan beliau sebagai ketua polis negara yang baru.
Dalam saya mengalu-alukan ketua polis negara yang baru, saya juga
ingin memohon agar beliau segera melaksanakan lima tugasan penting dalam
minggu pertama menyandang jawatan baru ini, agar mengembalikan
keyakinan rakyat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM):
1. Selesaikan kes penculikan Pastor Raymond Koh dan kes orang hilang yang lain
Seluruh negara telah menonton dengan perasaan ngeri rakaman CCTV
penculikan Pastor Koh yang berlaku di siang hari. Operasi penculikan
tersebut nampaknya seakan-akan dilakukan oleh sekumpulan anggota yang
mempunyai latihan khas, sekaligus menimbulkan syak bahawa ada
penglibatan agen pengganas (terror agents).
Selepas lebih 200 hari, pihak polis masih gagal menyelesaikan kes ini
mahupun memberikan penjelasan yang memuaskan terhadap penculikan Pastor
Raymond Koh.
Tiga orang lagi juga dilaporkan hilang: Joshua dan Ruth Hilmy dan Amri Che Mat.
Kita tidak tahu jika kes kehilangan ini juga berhubungkait dengan kes
Raymond Koh, namun rakyat Malaysia akan terus hidup dalam ketakutan
bahawa ada aktiviti keganasan telah berlaku di tengah-tengah masyarakat
kita selagi kes ini belum mendapat penyelesaian.
2. Tumpaskan sindiket judi haram
Aktiviti judi haram terutama di kawasan kejiranan, menggunakan
peralatan komputer dan mesin elektronik semakin berleluasa di negara
kita. Saya sendiri telah berulang kali membangkitkan tentang kewujudan
pusat judi haram di kawasan saya.
Dalam tempoh setahun ini, pihak polis aktif menjalankan serbuan di seluruh negara.
Namun, kita mendapati bahawa selepas setiap kali serbuan polis, pusat
judi haram yang baru akan dibuka di tempat yang lain, sehingga ada yang
membuka sarang judi dalam hutan seperti yang diakui oleh PDRM sendiri.
Gejala ini bukan sahaja membawa kepada masalah-masalah sosial malah
menimbulkan persoalan sama ada sindiket judi haram ini mempunyai
perlindungan daripada “pihak berkuasa” sehingga begitu berani meneruskan
operasi walaupun selepas diserbu polis.
Ketua polis negara yang baru perlu menumpaskan sindiket judi haram
ini sama sekali tanpa membenarkan mereka bangkit semula selepas ini.
3. Hentikan kes kematian dalam tahanan polis
Menurut jawapan parlimen oleh Menteri Dalam Negeri kepada Ahli
Parlimen Puchong pada 21 Mac 2017, terdapat 110 kes kematian dalam lokap
polis antara 2010 dan 2016.
Dalam jawapan Menteri yang sama kepada Ahli Parlimen Sungai Siput
pada 30 Mac 2017 pula, beliau menyebut bahawa terdapat 1,619 kes
kematian dalam penjara antara 2010 dan 2016.
Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sudah berlaku tiga (3) kes kematian dalam tahanan polis.
Kes kematian dalam tahanan perlu dihentikan. Ia bukan sahaja
merupakan satu kezaliman terhadap mangsa dan keluarga mereka malah
mendedahkan perbuatan salahguna kuasa oleh pihak berkuasa.
4. Nyahpolitikkan (depoliticise) pasukan polis, laksanakan Laporan Suruhanjaya DiRaja Tun Dzaiddin 2005
Khalid Abu Bakar telah mencipta rekod tersendiri sebagai KPN yang
paling politikal dalam sejarah Malaysia. Beliau telah dikenali sebagai
KPN yang sanggup memantau media sosial untuk mencegah sebarang pandangan
yang bertentangan dengan parti pemerintah.
KPN yang baru haruslah “membebaskan” pasukan polis daripada pengaruh
politik kepartian dan menumpukan segala kekuatan polis terhadap melawan
jenayah.
Tragedi kematian seorang anggota polis yang ditembak dalam balai
polis hanya beberapa hari sebelum persaraan Khalid Abu Bakar merupakan
suatu tanda hitam dalam kepimpinan ketua polis negara lama yang
mengabaikan tugas melawan jenayah.
Situasi ini mestilah ditangani serta merta.
Semasa beliau mula-mula menyandang jawatan KPN, Khalid Abu Bakar
pernah menyatakan bahawa seorang pegawai penyiasat (IO) terpaksa
mengendalikan sehingga 19 kes sebulan manakala IO di kawasan hot spot berjenayah tinggi terpaksa mengendalikan antara 20-30 kes sebulan.
Bebanan kerja yang terlalu banyak bukan sahaja mengurangkan kecekapan
malah merbahayakan nyawa anggota polis kita yang melawan jenayah.
Saya telah beberapa kali menggesa kerajaan agar perlu mengupayakan
Jabatan Penyiasatan Jenayah yang merupakan tunggak utama PDRM melawan
jenayah dan bukannya unit Cawangan Khas, yang antara lain melakukan
kerja intipan politik.
KPN yang baru patut menyokong perlaksanaan sepenuhnya
cadangan-cadangan Suruhanjaya DiRaja Tun Dzaiddin untuk Pembaharuan PDRM
2005 bagi mengembalikan kewibawaan pasukan polis kita.
5. Siasat MO1
Akhir sekali, KPN baru mestilah bertindak dengan tegas, adil dan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Ini termasuklah melakukan siasatan terhadap Malaysian Official 1 (MO1).
MO1 telahpun disebut oleh Jabatan Kehakiman (Department of Justice)
Amerika Syarikat pada Julai 2016 dalam satu kes mahkamah untuk menyita
USD1 billion wang dan aset berkaitan 1MDB yang didakwa terlibat dalam
aktiviti pengubahan wang haram.
Selain kerajaan Amerika Syarikat, 1MDB juga disiasat di
sekurang-kurangnya enam (6) negara di seluruh dunia atas pelbagai
dakwaan jenayah kewangan termasuk pengubahan wang haram.
Pada Jun 2017 pula, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan
bahawa sebahagian wang yang digelapkan daripada 1MDB telah digunakan
untuk membeli barang-barang kemas termasuk berlian bernilai RM120 juta
untuk isteri MO1.
Walaupun disiasat di Amerika Syarikat dan serata dunia, di Malaysia
pula, Khalid Abu Bakar sebelum ini bukan sahaja enggan menyiasat MO1 dan
isteri malah telah mengenepikan kes Jabatan Kehakiman tersebut sebagai
“kes sivil” semata-mata.
KPN yang baru haruslah bertindak profesional dan melakukan siasatan terhadap MO1 serta merta.
Rakyat Malaysia dan anggota parlimen pembangkang akan memberikan
sokongan sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara yang baru untuk memulihkan
semula maruah dan profesionalism Polis DiRaja Malaysia.
STEVEN SIM merupakan Anggota Parlimen Bukit Mertajam.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan