Berakhirnya era Petronas Malaysian F1 Grand Prix terkuburnya penjenamaan Malaysia

OLEH TARIQ ISMAIL 

Tanggal 1hb Oktober 2017 ini, akan berakhirlah suatu era dalam pemodenan Malaysia ini apabila Petronas Malaysian Formula 1 Grand Prix akan dianjurkan buat kali terakhirnya di Sepang. Bermula dari tahun 1999, apabila perlumbaan yang pertama di anjurkan di Sepang International Circuit, penganjuran ini telah berjaya melonjakkan nama Malaysia di persada dunia.

Sememangnya penganjuran perlumbaan ini pada zahirnya adalah suatu inisiatif penjenamaan Malaysia. Tetapi ramai di kalangan rakyat dan pemimpin sekarang lupa bahawa penjenamaan ini lebih dari suatu taktik pemasaran pelancongan ke Malaysia.

Penjenamaan yang dianjurkan adalah bagi meletakkan Malaysia sebagai sebuah kuasa dalam arena teknologi permotoran dunia. Ini sesuai dengan strategi otomotif negara ketika itu yang bercita-cita menguasai segala aspek pembuatan kereta dan kenderaan bermotor serta industri-industri berkait seperti industri petroleum.

Penganjuran perlumbaan F1 ini memangkinkan perkembangan teknologi bagi industri-industri tersebut, setidak-tidaknya pada taraf dunia. Hasilnya berlipat kali ganda bagi Malaysia bukan sahaja dari segi ekonomi pelancungan, tetapi juga melalui jalinan kerjasama teknikal seperti di antara Petronas dan AMG Mercedes. Ianya juga melahirkan ramai jurutera tempatan yang berkemampuan dalam bidang sains dan teknologi permotoran dan petroleum.

Strategi yang sebegini canggih tentunya hanya mampu diilhamkan mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliaulah yang digelar “Chief Marketing Officer” Malaysia ketika itu, kerana bijak mengatur strategi pemasaran yang sangat berkesan dengan penganjuran perlumbaan F1 ini. Sedar tak sedar, Tunlah penaung perlumbaan F1 ini. Kedudukan beliau dihormati dengan jemputan yang dibuat setiap tahun sebagai mengenang jasa beliau selama ini.

Tetapi tahun ini, entah kenapa Tun tidak diberi penghormatan yang sama, terutama sekali memandangkan tahun ini merupakan perlumbaan akhir di Malaysia. Saya tahu kalau diminta penjelasan, ada yang akan mengatakan bahawa Tun bukan lagi selaku penasihat Petronas, atau juga kerana mantan Perdana Menteri selama ini tidak wajib diberi penghormatan serupa.

Dengan penuh istighfar saya ingin mengingatkan mereka yang bertanggungjawab bahawa penghormatan yang harus diberi kepada Tun adalah sebagai penaung dan sebagai pendorong pembangunan negara. Tun bukan ibarat badai yang lebih angin dari hujan tetapi merasakan diri beliau seperti Taufan Kategori 5.

Tun adalah Bapa Pemodenan Malaysia yang pencapaian pemodenan beliau dilambangkan melalui penganjuran perlumbaan ini. Jasa Tun dalam memodenkan Malaysia berdekad lamanya, dan bukannya berkesekejapan. Kebanyakan usaha kerajaan sekarang takkan terbina tanpa asas kukuh yang dibina Tun dan pemimpin-pemimpin lalu.

Sebagai rakyat Malaysia, susahkah kita hendak menunjukkan tanda berterima kasih hanya dengan jemputan tetamu kehormat? Atau kita sanggup menyerah kepada kebencian yang meluap akibat perpecahan politik sehingga buta kepada adab dan ketamadunan Melayu?

Kalau ikutkan, Tun lebih dari mampu untuk beli tiket ke perlumbaan tersebut. Tetapi ini soal prinsip. Atau mungkin saya yang naif kerana menganggap pihak berkaitan berpegang kepada prinsip?

*Penulis Tariq Ismail adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan