Oleh Muhammad Syafiq Azmi
Saya kini sedang membaca sebuah buku yang kritikal mengkritik bangsa
Melayu. Dan mungkin telah menjawab beberapa persoalan yang selama ini
saya cari-cari. Rupanya sudah lama perangai Melayu seperti hari ini.
Bukan baru semalam, bukan baru seminggu, apa lagi sepurnama, yang
nyata ia sudah berlangsung berabad lamanya. Maknanya sikap itu sudah
bersarang dijiwa dan raga yang namanya Melayu hingga menjadi sifat.
Permasalahan ketirisan ekonomi dan moral pimpinan negara kita sering
diamkan. Datang cerita yang berkait dengan agama dan bangsa mulalah
berani tunjuk lagak. Lebih menjengkilkan, kita tiba-tiba jadi mufti
tanpa tauliah.
Mengapa bila datang bab nak urus negara dan negeri, diam menikus dan
jadi pemalas (untuk berfikir)? Sebab itu saya sering menulis cara paling
mudah untuk orang politik mendapat undi adalah dengan berlegar kisah
bangsa dan agama dalam lingkup sentimen semata.
Tidak mustahil suatu hari nanti akan ada yang mengesyorkan
pengeluaran “wang Muslim” dan “wang bukan Muslim”. Walhal anda lupa apa
yang penting adalah mengajar sesama rakyat untuk saling menghormati
tanpa perlu diselongkar apa yang ada dalam hati mereka.
Pernah dulu saya menulis bahawa makanan tidak halal bukan sahaja
bersebabkan tiada logo halal. Berketayap atau bertudung labuh juga bisa
menyebabkan makanan atau minuman menjadi tidak halal. Bukan kerana
adanya babi atau alkohol didalamnya, tetapi kerana unsur kebersihan yang
tidak diurus dan dijaga.
Cuma saya tidak berasa pelik kenapa Melayu yang saya juga lahir dari
rumpunnya menjadi seperti ini, semuanya sudah diatur dan dicatur oleh
mereka yang berada dalam kerangka feudalisme.
Kalau dahulu pada abad dan zaman Kesultanan Melayu Melaka, sistem
feudal itu sudah tentu merujuk institusi istana. Hari ini istana itu
tidak lebih dilihat sebagai tempat penganugerahan darjah kebesaran
semata oleh rakyat jelata.
Feudalisme hari ini dibimbing oleh kerajaan yang memerintah. Mereka
berlagak bak raja yang bersemayam disinggahsana. Ada yang wataknya mirip
Hang Tuah dan ada yang serupa Hang Jebat. Itu belum dihurai tajuk yang
mewarisi sikap dan perangai Sultan Mahmud.
Mengikut Abdullah bin Abdul Kadir Munshi atau lebih dikenali dengan
nama Abdullah Munshi, masyarakat Melayu pada abad ke-19 mempunyai
masalah yang tidak sihat. Ada yang menghisap candu, berjudi dan berlaga
ayam.
Bagi Abdullah Munshi masyarakat Melayu feudal tidak menitikberatkan
pendidikan yang sihat. Kalaulah Abdullah Munshi hidup sehingga saat ini,
dia akan perlu dikurniakan darjah kebesaran dek kerana telahannya yang
tepat dan kekal hingga ke hari ini.
Orang Melayu perlu jadi berani untuk membidik sasar perubahan. Bukan
terus bergantung harap kepada mereka yang di atas. Mereka menganggap
kita anjing, dalam masa sama juga kita menjerit mereka anjing. Tapi yang
terus kenyang dan memboyot adalah perut dan kantung mereka.
Jika ada orang politik jujur dan bijak pada zaman ini, dia pasti akan
dihabiskan seperti Hang Kadim yang dibunuh kerana kebijakan.
Justeru, untuk kita sama-sama memastikan masa depan anak nusa dan
bangsa Malaysia ini beransur ke arah yang lebih matang dan sedar,
mengamalkan demokrasi yang sebenar, kita perlu jadi pemulanya.
Kita ajar mereka yang kononnya menjadi pembela Melayu dan Islam.
Mereka terus beromantisan dengan pemimpin yang kononnya baik walhal
perompak, mereka terus hidup dalam sindrom penafian hanya kerana
kepentingan mereka.
Melayu boleh berubah jika mereka tidak merayu dan me-layu. Jika tidak, teruslah hidup merempat dinegara sendiri.
Saya mencabar semua yang berstatus warganegara tanah air tercinta ini
membuktikan telahan Abdullah Munshi dan saya sebenarnya salah dan tidak
terguna pakai dizaman anda.
Muhammad Syafiq Azmi adalah Presiden Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan