Oleh
KETAKSUBAN terhadap agama yang semakin meningkat hanya satu rancangan
politik untuk menjadikan umat Islam rasa terancam dan bagi memancing
undi mereka pada pilihan raya umum akan datang, kata tiga bekas ahli
Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).
Mereka menyalahkan ahli politik dan pemimpin Islam yang selalu
mencari cara untuk membangkitkan dan mempromosikan perbezaan dalam
masyarakat Malaysia, berbanding dengan apa persamaan yang ada pada
rakyat.
Mereka – Saifuddin Abdullah, Marina Mahathir dan Dr Mujahid Yusof
Rawa – antara 30 ahli MKPN yang dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak
pada 2013 untuk menangani isu seperti polarisasi kaum dan agama,
perpecahan dan diskriminasi sebagai usaha mencapai perpaduan negara.
Ketakutan mendorong umat Islam ke arah eksklusif
Saifuddin berkata umat Islam ditakutkan oleh pentadbiran kerajaan
Barisan Nasional (BN) supaya rakyat rasa tidak selamat dan curiga dengan
mereka yang berbeza kaum dan fahaman.
“Sindrom ketakutan digunakan oleh BN supaya umat Islam rasa mereka hanya selamat kalau BN terus menjadi pemerintah.
“Lebih malang lagi, sebahagian besar isu ini ditimbulkan orang Islam.
Ini boleh membawa tanggapan seolah-olah Islam itu bersifat eksklusif
atau orang bukan Islam adalah rakyat kelas yang berlainan dengan orang
Islam,” katanya yang juga menjadi ahli Umno ketika dilantik dalam MKPN
pada 2013. Beliau keluar Umno pada 2015.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden terbaru membabitkan dobi
yang dibuka hanya untuk umat Islam di Johor, larangan memakai seluar
pendek di tempat umum di Kelantan dan laporan polis dibuat terhadap satu
video lama yang mendakwa Kristian akan mengambil alih di dalam negara.
Insiden terbaru ialah seorang pemilik kedai dobi di Muar, Johor
meletakkan papan tanda di luar premisnya, “untuk Muslim saja”, satu
tindakan yang menyebabkan istana Johor turut marah.
Saifuddin berkata dobi untuk Muslim saja itu menjadi simptom kepada
“masalah lebih besar”, seperti kes sebuah sekolah di Hulu Langat yang mengasingkan cawan untuk pelajar Muslim dan bukan Muslim, baru-baru ini.
“Budaya ketakutan diserap sehingga orang Islam berasa tidak selamat,
lalu melakukan perkara tertentu untuk menyelamatkan dirinya,” kata
Saifuddin yang kini ketua setiausaha Pakatan Harapan.
Politik menyebabkan rakyat berpecah
Sementara itu, Marina berkata politik yang berpecah akan mendorong
kepada jurang lebih besar antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Kepimpinan kita sama ada ahli politik atau ulama sentiasa mencari
dan mempromosikan kelainan dan bukan kesamaan antara kita, khususnya
yang bukan Islam itu bukan saja lain daripada orang Islam tetapi juga
inferior,” kata anak kepada pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad itu.
Aktivis sosial itu juga mengecam pemimpin dalam negara kerana membisu dalam isu dobi untuk umat Islam saja.
Marina berkata jika dibiarkan, isu itu boleh membawa kepada diskriminasi secara sistematik di dalam negara ini.
“Saya rasa memang bagus teguran Sultan Johor
tapi sayang sekali pemimpin politik kita tidak berani hendak menegur
walaupun jelas ini bukan perkara yang membawa ke arah 1Malaysia, malah
kemungkinan membawa kita ke arah Apartheid, “ katanya merujuk kepada
pengasingan bangsa dan sistem diskriminasi di Afrika Selatan antara 1948
dan 1991.
Mujahid, yang juga ahli PAS ketika berada dalam MKPN menyentuh
mengenai insiden di Pulau Pinang di laporan polis dibuat oleh beberapa
kumpulan NGO Melayu yang mendakwa wujud konspirasi dan agenda Kristian.
“Dakwaan itu dimainkan berulang kali, menyebabkan umat Islam risau dan takut sehingga ada yang rasa terancam.
“Tindakan seperti itu menyebabkan perpecahan antara orang Islam dan
bukan Islam selama beberapa tahun kini,” katanya yang kini naib presiden
Amanah.
Mujahid berkata tuduhan terhadap Kristian tidak disokong dengan
bukti, dengan kumpulan NGO itu hanya mengambil petikan daripada video
berkenaan dan mendakwa wujud agenda Kristian dalam negara yang
majoritinya beragama Islam.
Katanya, kumpulan NGO Melayu itu juga mengheret pemimpin DAP ke dalam laporan polis mereka.
Mujahid berkata semua isu itu, termasuk kes lelaki yang memakai seluar pendek di tempat awam di Kelantan, berunsurkan politik.
Helah politik untuk raih undi
“Pilihan raya umum semakin dekat. Mereka juga sedang mendapatkan undi umat Islam.
“Ini sangat bahaya, menggunakan agama untuk kepentingan politik. Pada
masa sama, mereka mungkin mencetuskan prejudis dan kebencian kaum dan
agama,” kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Mujahid berkata dengan kekecohan kes dobi itu ia sepatutnya tidak
menjadi isu langsung kerana Islam tidak pernah ada perintah yang umat
Islam dan bukan Islam tidak boleh berkongsi mesin basuh.
Katanya, sesetengah pihak menggunakan Islam untuk melakukan perkara yang tidak diajar dalam agama itu.
“Ramai ulama ketawakan perkara ini. Ia seperti isu asingkan cawan untuk pelajar Islam dan bukan Islam,” katanya.
Beliau juga memetik isu Festival Better Beer, yang dibatalkan selepas
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) enggan memberikan permit kepada
penganjur untuk mengadakan pesta itu awal bulan depan.
PAS membantah penganjuran acara itu, mendakwa ia akan menjadikan
Malaysia sebagai pusat maksiat Asia. Ramai pengguna media membantah
acara itu dan berkata ia tidak sepatutnya dibenarkan di negara Islam.
“Sekarang ini, setiap isu bukan Islam disimpulkan sebagai sesuatu
yang menghina Islam. Pihak tertentu mengkritik dan mempertikaikan moral
bukan Islam, dengan semuanya mendakwa ia dibuat atas nama Islam.
“Jangan cuba hendak buktikan anda lebih Islamik daripada orang lain.
Anda hanya mencetuskan ketegangan antara Islam dan bukan Islam, dan
dalam kalangan umat Islam sendiri,” katanya.
Mujahid juga melihat tindakan terhadap lelaki Islam yang memakai seluar pendek di tempat awam di Kelantan sebagai “melampau”.
Saifuddin, Marina dan Mujahid turut terbabit ketika MKPN merangka
rang undang-undang (RUU) Jenayah Kebencian Kaum dan Agama berkaitan
ucapan kebencian; RUU Perdamaian untuk mengharamkan diskriminasi; dan
RUU Keharmonian Nasional dan Suruhanjaya Perdamaian, pada 2014.
Majlis itu dibubarkan pada pertengahan 2016
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan