Oleh Al-Abror Mohd Yusuf
Pagi masih basah ketika itu. Kami
'bermalam' di luar rumah kampung dua tingkat di Cherok Tok Kun itu.
Kata bermalam itu tidaklah bermaksud tidur, sebaliknya menghabiskan
malam itu di situ.
Ada yang tidur, ada yang tidak. Tapi yang ramainya ialah tidur-tidur
ayam. Kami percaya polis - pada bila-bila masa saja - mungkin tiba-tiba
menderu ke rumah itu untuk membuat tangkapan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam berkenaan berceramah di Pondok
Tuan Guru Niamat Yusoff di Derang, Pokok Sena di Kedah. Selain ulama,
tokoh itu - juga dikenali dengan nama Ustaz Niamaty - adalah seorang
'seniman'. Beliau adalah penulis.
Kepulangan Anwar dari Derang disambut dengan debar. Tapi malam itu berlalu dengan tidak ada apa-apa berlaku.
Paginya seorang peguam - berseluar jeans, berkemeja T lengan pendek
dan berketayap - keluar dari rumah itu ke tempat kami berkampung di
depannya.
Dia ialah peguam yang dikenali serta dikagumi ramai. Namanya Zulkifli
Nordin. Kami bertegur seadanya. Bayang polis berpakaian seragam atau
menyarung balaclava tidak ada. Kalau polis cawangan khas, kami yakin
sudah lama ada.
Berbaris dengan Anwar
Akhirnya kami dibenarkan masuk ke rumah itu. Kami masuk ke dapur. Ada
meja dengan hidangan sarapan di situ. Juga sofa sederhana di tepinya.
Kami menemu bual Anwar. Sudah tentulah di sana ada juga isterinya
yang setia itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kebanyakan wartawan sekadar
duduk di lantai.
Soalan ditanya, soalan dijawab. Anwar adalah Anwar. Cekap dan petah
memberikan pandangan dan kami mencatit. Keluar atau tidak berita itu, ia
adalah hal yang lain.
Kami kemudian bergambar beramai-ramai dengan Anwar. Untuk makluman,
1998 bukanlah zaman kamera digital. Dia berdiri di tengah kumpulan
wartawan pelbagai akhbar.
Secara berseloroh dan dengan senyumnya yang tersendiri, dia
mengisyaratkan ia mungkin kesempatan terakhir kami bergambar dengannya.
"Saya pun tak tau apa akan jadi lepas ni," katanya - lebih kurang - disambut ketawa kami.
Anwar ketika itu adalah musuh kerajaan. Dalam keadaan begitu dia
terus melawan dengan gerakan reformasi. Detik-detik awal pelawanan Anwar
ramai juga penyokong kerajaan di belakangnya.
Masih
terbayang semasa Anwar berucap dari bawah beranda rumahnya itu ada
bekas exco Pulau Pinang di kerumunan belakang. Ada Dr Toh Kin Woon dan
Datuk Abdul Latiff Mirasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ketika itu ialah ACP Ismail Omar (foto, atas, kiri) yang kemudian menjadi ketua polis negara.
Namun Anwar kemudian pulang ke
Kuala Lumpur tanpa ditahan.
Selebihnya adalah sejarah yang lebam.
Meletakkan garis pemisah
Kini hampir 20 tahun kemudian susuk Anwar yang bebas tidak ada buat
masa ini. Apa yang wujud adalah namanya yang disebut-sebut dari semasa
ke semasa.
Pada sesetengah keadaan, Anwar yang satu itu menjadi lembaga keramat yang diletakkan pada dua sisi yang sangat bertentangan.
Jika
istilah "komunis" "mengancam keselamatan negara" pernah menjadi serapah
paling mujarab untuk menahan seseorang, bagi PKR ungkapan "Anwar"
adalah serapah sangat mujarab untuk mengabsahkan perbuatan
masing-masing.
Dan itulah yang nampaknya berlaku sekarang.
Pertembungan antara kumpulan Rafizi Ramli dan Datuk Seri Azmin Ali
bukanlah rahsia lagi. Suatu ketika dulu ia menjadi rahsia umum.
Maksudnya rahsia yang bukan rahsia. Hinggalah Rafizi menulis kenyataan
panjang dan meletakkan garis pemisah antara dia dan kumpulan digelar
"kartel" itu.
Dan di tengah mereka ialah Wan Azizah. Seorang wanita bernama Azizah
itu adalah suatu kekuatan buat PKR. Namun dalam lingkaran dalaman parti
Wan Azizah sekali gus kelemahan.
Sebagai seorang presiden - di mata umum - Wan Azizah adalah simbol
ketabahan seorang wanita merangkap isteri dan ibu. Namun dalam lingkaran
dalaman parti wanita yang sama itu sesekali dianggap beban.
Justeru, khabarnya sudah ada cakap-cakap dalaman untuk menggerakkan usaha mencari presiden baru buat PKR.
Dan ketika nama Anwar dijadikan azimat, difahamkan sebahagian
daripada pimpinan atasan PKR sudah pernah meminta beliau bersara saja
daripada politik supaya ada orang lain boleh mengambil tempatnya.
Tapi itulah, biasanya maklumat itu akan dinafikan banyak pihak. Politik, biasalah dan begitulah.
Bukan minta jadi diktator
Dalam keadaan kalut begitu tidak nampak bagaimana Wan Azizah
menggunakan ketegasan bagi mengawal keadaan partinya yang ketika ini
diperlukan benar-benar kompak dan boleh diyakinii.
Memanglah
dalam ilmu komunikasi - mengambil semangat Aristotle - emosi selalu
boleh mengatasi logik. Kebenaran kadang-kadang diperdaya oleh sentimen
dan perasaan.
Namun ia bukanlah jaminan, selain boleh dipatahkan sama ada dengan fakta benar-benar kukuh atau melalui mainan emosi juga.
Untuk memimpin seseorang perlukan keyakinan daripada orang yang
dipimpin. Ia perlu diolah dengan betul dan teguh. Itu yang diperlukan
Wan Azizah - sama ada sebagai ketua pembangkang atau presiden sebuah
parti yang sekarang mengalami pertembungan aliran ketara.
Dan sesuai dengan sifat semula jadi politik itu sendiri setiap
pemainnya mempunyai langkah dan silat yang tertentu. Umumnya ia
diatasnamakan dengan perkataan "rakyat". Tapi tanpa menafikan bahawa
masih ada segelintir yang berjuang untuk masyarakat, sebahagian lain
yang lebih ramai adalah pejuang tembolok sendiri.
Untuk bertegas dengan lawan politik Wan Azizah terlebih dulu perlu
bertegas dengan orangnya dalam parti. Bukan meminta dia menjadi kuku
besi, jauh sekali bertukar menjadi diktator.
Wan
Azizah seorang presiden dan ketua pembangkang. Jangan biarkan
perjuangan untuk memerdekakan rakyat yang dibawanya ditukar menjadi
perjuangan peribadi atau sekadar mengintai peluang menjadi perdana
menteri. Oleh sesiapa pun.
September pada 1998, rakyat diajar dengan perkataan yang agak baru
kepada mereka ketika itu - reformasi. Ia adalah detik antara Tun Dr
Mahathir bermesyuarat untuk memecat Anwar, dan sekumpulan polis bertutup
muka dari unit tindakan khas menyerbu sebuah rumah di Bukit Damansara.
Sebagai doktor mata Wan Azizah perlu menjadi jauhari. Lincah menilai
antara kaca dan permata termasuk dalam lingkungan partinya sendiri.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan