OLEH DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Saya telah meneliti kenyataan Rafizi Ramli, Naib Presiden dan
ahli-ahli yang melahirkan keresahan kerana corak cadangan kerjasama PKR
dengan PAS yang dianggap samar dan berlarutan tanpa dimuktamadkan.
Keadaan sedemikian dianggap mengelirukan dan dikhuatiri akan
menjejaskan muafakat Pakatan Harapan. Pimpinan Pakatan Harapan juga
telah menjelaskan pendirian menolak kerjasama dengan PAS.
Pimpinan PKR bergerak atas prinsip musyawarah dan harus menangani
kegelisahan yang disuarakan dan sentimen umat dengan penuh hikmah.
Namun saya perlu menjelaskan bahawa komitmen PKR teguh dan kukuh
bersama Pakatan Harapan seperti mana yang dizahirkan Presiden PKR Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sejak awal lagi.
Apa yang diusulkan dan dipersetujui Biro Politik sebelum ini adalah
tidak memusuhi PAS, mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan tiga
penjuru. Pertimbangannya adalah menggembeleng seluruh kekuatan dalam
menghadapi Umno-BN dalam PRU-14.
Garis yang ditetapkan dengan jelas adalah kerjasama tersebut,
seandainya berlaku, tetap dalam kerangka komitmen PKR dengan Pakatan
Harapan.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diminta
menerajui inisiatif ini sedar bahawa yang disarankan adalah strategi
nasional dan tidak terbatas kepada Selangor sahaja. Wajar ditegaskan
semula bahawa ikhtiar PKR adalah bagi menjernihkan suasana dan merangkul
kekuatan rakyat.
Pertemuan Wan Azizah dan Azmin dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga telah mengundang pelbagai reaksi.
Saya alu-alukannya dengan maksud menziarah sahabat lama dan
bersilaturrahim sambil menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas
pemulihan kesihatan beliau.
Abdul Hadi juga menerima kami dengan semangat kekeluargaan yang baik.
Malangnya, terdapat kecaman dan serangan kasar dari beberapa pimpinan
PAS terhadap PKR.
Nasihat saya kepada pimpinan adalah untuk mengenepikannya kerana
tumpuan kita adalah terhadap kerakusan dan rasuah pemerintahan Umno-BN.
Saya tidak menghalang sebarang penjelasan dari pimpinan untuk meluruskan
kekeliruan yang timbul, termasuk dalam isu RUU 355.
Menyingkap pengalaman saya berbincang dengan pimpinan PAS dan DAP
secara berasingan sebelum pembentukan Pakatan Rakyat, perlu diperjelas
bahawa ia didasarkan kepada beberapa prinsip yang dipersetujui bersama.
Kerumitan dirungkai, walaupun pada peringkat awal dilakukan secara berasingan.
Saya akui keadaan sekarang lebih rumit dan mencabar, kerana PAS telah mengambil keputusan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan.
Akan tetapi, hampir dua tahun lalu saya menyarankan PKR tidak
semestinya memutuskan hubungan dengan PAS selagi ada kesediaan di pihak
PAS untuk meneruskan perbincangan.
Secara konsisten saya telah suarakan pendirian tersebut kepada
pimpinan PKR, DAP, BERSATU dan AMANAH. Pimpinan berhak membuat penilaian
dari semasa ke semasa.
Maka saya tidak dapat meremehkan kerisauan yang disuarakan oleh
rakan-rakan. Pertama, kerana timbul persepsi kemungkinan kerjasama PAS
dan Umno, tetapi ura-ura tersebut telah dibantah keras oleh Timbalan
Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kedua, tempoh yang lama dan berlarutan dianggap akan menjejaskan
ikhtiar parti dalam mengemaskini jentera pilihanraya; malah berisiko
tinggi seandainya terdapat kejutan!
Ini dapat dihindari seandainya seluruh pimpinan dan jentera PKR
bergerak pantas sebagai satu pasukan padu, menyemarakkan gema Reformasi
dan agenda perjuangan rakyat, kebebasan dan keperitan hidup mereka.
Kita tidak pernah berganjak dari tekad menentang kezaliman, perkauman dan rasuah.
Secara peribadi, memahami semangat demokrasi PKR, saya tidak keberatan jika ingin dikendali Kongres Khas.
Kemusykilan saya adalah keperluannya memandangkan tiada perubahan
dasar yang berlaku. Malah dengan kemungkinan PRU 14 diadakan dalam
tempoh terdekat, segala keputusan perlu dimuktamadkan segera.
Dengan penjelasan ini, saya mohon pertimbangan dan kerjasama
rakan-rakan untuk memberikan sedikit ruang kepada presiden dan pimpinan
untuk memberi penjelasan dan menentukan dasar dan arah selanjutnya
selaras dengan pendirian PKR dan muafakat Pakatan Harapan.
Semua tindakan seterusnya harus diadakan menurut saluran parti.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan