KAMI di pihak Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan
mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran yang berlaku di
Pusat Tahfiz Darul-Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur pada 14 September
yang lalu. Semoga Allah merahmati semua mangsa, dan mudah-mudahan
ditempatkan dalam kalangan para syuhada'.
Dalam pada itu, pihak Dewan Ulamak berharap kepada masyarakat awam
agar tidak mewujudkan pandangan-pandangan negatif terhadap institusi
agama khususnya, sebaliknya sama-sama memberikan bantuan agar institusi
agama terus maju dan membangun seiring dengan semangat perlembagaan yang
meletakkan islam sebagai agama persekutuan.
Mengambil iktibar daripada tragedi yang lalu, Dewan Ulamak PAS
Negeri Sembilan mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua
pusat-pusat tahfiz al-Quran, pondok-pondok agama, termasuk juga
pusat-pusat jagaan anak yatim, dan rumah-rumah anak yatim khususnya di
Negeri Sembilan agar :
a. Mengemas kini sistem pengurusan pusat tahfiz/pondok agama/pusat
jagaan anak yatim/rumah anak yatim masing-masing seperti mewujudkan
pangkalan data khas untuk pelajar-pelajar/penghuni masing-masing. Ini
bagi memudahkan urusan pendokumentasian pengurusan masing-masing.
b. Mengambil berat terhadap faktor keselamatan dengan mengadakan pemeriksaan ciri-ciri keselamatan secara berkala.
c. Mendaftarkan pusat tahfiz/pondok agama/pusat jagaan anak
yatim/rumah anak yatim masing-masing kepada pihak berautoriti seperti
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Majlis Agama
Islam Negeri Sembilan (MAINS) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
supaya pihak terbabit dapat mengambil berat terhadap premis
masing-masing.
Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan juga menyokong penuh usaha-usaha ke
arah mewujudkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan mengharapkan
agar perbincangan dalam merangka dasar ini dapat melibatkan semua pihak
yang layak dan berada dalam bidang tahfiz ini khususnya.
Semoga Malaysia dijadikan Allah sebagai sebuah negara yang sejahtera sebagaimana dicerminkan Allah dalam surah Saba', ayat 15 :
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ
آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِنْ رِزْقِ
رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Maksudnya:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda
(yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal
mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak
di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan
kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan
bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman
dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!."
Dewan Ulamak Pas Negeri Sembilan mengucapkan Takziah kepada keluarga
mangsa yang terlibat dalam kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran
Ittifaqiyah. Semoga Allah kurniakan kesabaran yang tinggi pada keluarga
yang terlibat dan mudah-mudahan Allah tempatkan mereka yang Syahid
bersama dengan para Syuhadak dan Solihin.
USTAZ ABDUL HADI MOHD ISA
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan