Oleh SITI MARIAH MAHMUD
Saya bimbang melihat ada anggota parlimen bukan Melayu dan di Wilayah Persekutuan yang menyokong Better Beer Festival.
Saya fikir sebab utama bantahan mereka terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah kerana mereka merasakan sedang mempertahankan hak orang bukan Islam untuk meminum alkohol, dan kerana pihak yang membantah pesta itu menggunakan hujah-hujah agama.
Islam melarang umatnya meminum alkohol tetapi tidak mengganggu hak orang bukan Islam untuk meminumnya.
Asas bantahan saya terhadap Better Beer Festival adalah ia merupakan satu pesta untuk menggalakkan budaya meminum arak.
Ketika ia pertama kali dianjurkan, festival itu tidak begitu popular dan jumlah kehadiran tidaklah tinggi. Tetapi sejak ia dipolitikkan, ada segelintir yang mahu menghadirinya hanya kerana membantah apa yang mereka rasakan sebagai usaha orang Melayu-Islam untuk menyekat hak, serta memaksakan nilai kepada orang bukan Melayu.
Seperti rokok, minuman keras membahayakan kesihatan.
Para doktor tahu bahawa ketagihan alkohol akan membawa kepada masalah sirosis hati dan sama bahaya dengan ketagihan dadah.
Masyarakat India di negara kita juga telah melihat kesan negatif ketagihan alkohol dan kesannya ke atas keluarga.
NGO mereka telah pun mendesak agar penjualan alkohol dikawal dengan lebih ketat, termasuklah minuman bir memandangkan hari ini lesen tidak diperlukan untuk menjualnya.
Anggota parlimen sekalian, adakah anda mahu lebih ramai warga bukan Melayu menjadi ketagih alkohol? Jangan beri alasan kandungan alkohol dalam bir adalah rendah dan tidak akan membawa kepada ketagihan. Anda salah sama sekali.
Jika setiap tahun diadakan pesta arak ini, ia hanya menandakan semakin ramai rakyat yang meminumnya. Pastinya industri arak akan meraikannya. Ia adalah tentang keuntungan.
Adakah anda akan gembira apabila semakin ramai yang mula minum arak sebagai aktiviti sosial (social drinker), tetapi kemudian akan membawa kepada kemungkinan ketagihan?
Saya bimbang apabila semakin ramai rakyat kita yang menjadi ketagih, serta kesan kesihatan dan sosial yang berkaitan dengannya. Kalau boleh pada masa akan datang, saya mahu penjualan semua bahan berbahaya dikawal sama seperti rokok.
Ini tidak bermakna orang bukan Islam tidak lagi boleh mendapatkan minuman sosial mereka. Tetapi apabila kita melakukan promosi, itu bermakna kita menggalakkannya.
Sebagai anggota parlimen, adakah kita mahu mempromosikan minuman alkohol? Saya faham pesta ini tidak melibatkan orang Islam, tetapi orang bukan Islam juga rakyat kita.
SITI MARIAH MAHMUD merupakan Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) dan ahlli parlimen Kota Raja.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan