Oleh Diyana Ibrahim
PAKAIAN sukan tidak pernah jadi isu semasa era Allahyarham Nik Abdul
Aziz Nik Mat jadi menteri besar Kelantan, kata ketua jurulatih pasukan
bola sepak Kelantan, Zahasmi Ismail.
Katanya, selama ini tidak pernah ada sebarang arahan kepada pemainnya
untuk menutup aurat walaupun kebanyakan mereka sukarela memilih
mengenakan seluar ketat di dalam.
Jelas beliau, pihaknya kini menunggu arahan daripada pihak atasan berhubung isu tersebut.
"Macam mana pun kita tunggulah arahan daripada presiden. Cuma iyalah perkara ini tidak berlaku dulu pada zaman Tok Guru.
"Dulu tok guru tak nak menguatkuasakan peraturan cuma dia ada juga
bersuara kalau boleh katanya, tapi tidaklah sampai mengatakan mesti
pakai (begitu)."
Nik Aziz meninggal dunia pada Februari 2015 selepas 23 tahun jadi menteri besar.
Tokoh politik itu merupakan seorang yang sangat dihormati oleh kawan
dan lawan serta rakyat Malaysia kerana sifatnya yang merendah diri serta
dianggap sebagai antara suara sederhana dalam parti Islam itu.
Isu pakaian sukan patuh syariah di Kelantan yang kini jadi perhatian
selepas seorang lelaki berdepan denda RM1,000 oleh pihak berkuasa agama
Islam di negeri itu kerana berseluar pendek ketika hendak pergi bermain futsal.
Wan Khairul Hayye Wali diberikan notis itu pada jam 10.45 malam
semalam dan diarahkan menghadiri sesi kaunseling bulan depan. Sekiranya
gagal berbuat demikian, dia akan dihadap ke mahkamah Syariah dan boleh
didenda RM1,000 sekiranya didapati bersalah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang
baru dipilih, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pihaknya sedia berbincang
dengan kerajaan negeri PAS berhubung isu pakaian sukan patuh syariah ke
atas pemain mereka.
Namun Bibi masih belum dapat mengesahkan bila perbincangan tersebut
mahu diadakan kerana buat masa ini beliau mahu memberi tumpuan penuh
pada prestasi pemain skuad Kelantan untuk menghabiskan perlawanan pada
musim ini yang hanya berbaki tiga bulan saja.
"Isu ini kita akan bincangkan kemudian sebab fokus kita sekarang
adalah pemain, untuk beri prestasi terbaik mereka dalam perlawanan.
"Apabila kita sudah ada pengesahan (perbincangan) dengan kerajaan
negeri baru kita akan buat sidang media umumkan," katanya
Bibi juga mengakui tiada arahan daripada kerajaan negeri sebelum ini untuk pemainnya mengenakan pakaian yang menutup aurat.
Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan yang dipetik oleh The
Star berkata kod pakaian itu hanya terpakai pada orang Islam sahaja.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan