Oleh Hishamudin Rais
Merujuk kepada apa yang sedang berlaku dalam PKR sekarang, wujudnya
perbezaan pandangan di antara beberapa sosok pimpinan parti itu.
Perbezaan pendapat dalam parti politik, NGO atau dalam apa sahaja
badan atau persatuan adalah perkara biasa. Malah perbezaan pendapat
wajib digalakkan untuk melahirkan percambahan pendapat. Ini agak berbeza
daripada apa yang berlaku dalam PKR sekarang.
Perbezaan pendapat dan pandangan dalam PKR ini telah, sedang dan akan
mengganggu Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam saat dan masa yang amat
kritikal - ketika menghadapi PRU14.
Pada hemat saya perbezaan pendapat ini berpunca daripada cara dan
pendekatan atau metode Ketua Umum PKR, saudara Anwar Ibrahim mengendali
dan mengurus pimpinan.
Contohnya: Dalam satu perkara yang sama saudara Anwar Ibrahim telah
memberi pandangan, memberi arahan yang berbeza-beza dari satu sosok
kepada yang lain.
Misalnya
kepada si polan A Saudara Anwar telah memberi pandangan lain daripada
yang diberi kepada si polan B. Dan agak berbeza juga daripada yang
diterima oleh si polan C.
Agenda kerjasama PKR-PAS
Ini menimbulkan kekeliruan. Buktinya apa yang sedang berlaku sekarang
dalam agenda memutuskan kerjasama PKR dengan Parti Islam, PAS.
Cara atau metode dan pendekatan memimpin seperti ini tidak baik. Ia
tidak melahirkan keputusan yang kompak dan tuntas. Hasilnya ialah
cerai-berai.
Wajib disedari bahawa Najib memenjarakan Anwar untuk tujuan menafikan
PKR pimpinan dan buah fikiran Anwar. Penjara telah memisahkan Anwar
dari nadi fikrah rakyat yang sentiasa berubah dan bergerak setiap detik.
Penjara telah memustahilkan Anwar dari dapat membuat keputusan dan
mengeluarkan pandangan tentang politik harian yang betul dan tepat.
Dalam penjara Saudara Anwar tidak menerima semua pandangan dengan
jelas. Dalam penjara maklumat sampai terputus-putus. Pengalaman dalam
penjara membuktikan bahawa maklumat yang sampai bukan saja tidak tuntas
malah ada kemungkinan dimasuki oleh Ajinomoto.
Dalam penjara kita memiliki masa yang banyak. Justeru kita boleh
membaca. Kita boleh menulis. Malah berangan-angan dan berkhayal dalam
penjara bukan satu jenayah. Mengelamun dan bernostalgia juga boleh
dilakukan tanpa gangguan dalam penjara.
Pada hemat saya apa yang wajib dilakukan oleh saudara Anwar Ibrahim ialah menulis, berfikir, menulis dan berfikir.
Menulis dan berfikir tentang pandangan dan teori dan falsafah politik yang wajib diajukan oleh dirinya kepada rakyat Malaysia.
Antonio Gramci seorang ahli parlimen Parti Komunis Itali mengeluarkan
Prison Notebooks - hasil dari penjara. Menjadi rujukan ilmu hingga ke
hari ini.
Tan Malaka dari Parti Komunis Indonesia melahirkan Madilog dan buku
Dari Penjara Ke Penjara - hasil dari penjara- menjadi rujukan ilmu
hingga ke hari ini.
Nelson Mandela juga juga seorang komunis dari Afrika Selatan yang
melahirkan A Long Walk To Freedom- hasil dari penjara. Menjadi bacaan
wajib untuk aktivis politik hingga ke hari ini.
Atau seperti Kim Chi Ha - seorang patriot kiri dari Korea Selatan
terus menulis puisi dari dalam penjara. Menjadi rujukan seni hingga ke
hari ini.
Anwar Ibrahim wajib sedar tentang Julai 2018. Pada hari itu Anwar
wajib telah bersedia dengan Magnum Opus daripada dirinya untuk
dihadiahkan kepada rakyat Malaysia pada Julai 2018.
Magnum opus Anwar Ibrahim ditunggu oleh rakyat. Rakyat tidak mahu
lagi mendengar kisah dirinya disepak atau dirinya dibogelkan atau
dirinya dihina. Zaman kisah itu telah tamat.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan