Pakatan umum janji 100 hari tawan Putrajaya

Oleh 

PAKATAN Harapan (PH) akan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), membaik pulih institusi kerajaan dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat 1MDB dalam 100 hari pertama, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin

“Kami berjanji dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan, Pakatan Harapan akan menghapuskan GST, menstabilkan harga petrol, memberi fokus kepada usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat, memulakan reformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah hingga ke akar umbi, menubuhkan Suruhanjaya DiRaja Skandal 1MDB dan memulihkan Felda," kata Muhyiddin dalam ucapan pada sambutan ulang tahun pertama Bersatu di Muar

"Tujuh perkara utama ini akan kita laksanakan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat, mengembalikan maruah negara yang tercalar di mata dunia dan meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul untuk mencapai kegemilangan buat bangsa dan negara kita," tambahnya.

Muhyiddin berkata Bersatu juga akan mencadangkan kepada PH untuk mengkaji semula dasar mengenai upah dan pengambilan pekerja asing  di Malaysia.

"Kemasukan pekerja asing secara haram yang dianggarkan berjumlah 6 juta orang pada masa ini atau 40 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara kita adalah antara punca kelembapan dalam peningkatan upah pekerja di Malaysia," kata Muhyiddin.

Katanya, dengan pengurusan ekonomi yang lebih cekap dan ketiadaan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan, berbilion ringgit wang negara dapat diselamatkan. Ia akan disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk subsidi untuk keperluan asas beras, minyak masak dan gas.

"Kami percaya ini akan memastikan harga makanan kekal rendah."
Menghadkan tempoh PM kepada 2 penggal

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata 1MDB telah menunjukkan yang institusi-institusi penting negara – Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)– gagal berfungsi secara bebas, adil dan saksama Ini kerana kesemua institusi ini berada di bawah pengaruh dan kuasa perdana menteri.

"Akibatnya, banyak kes-kes berprofil tinggi terutamanya yang melibatkan Perdana Menteri dan orang-orang sekelilingnya tidak diambil tindakan walaupun terdapat bukti kukuh untuk mensabitkan mereka dengan kesalahan jenayah di bawah undang-undang negara.
"Jadi Bersatu akan mencadangkan kepada PH untuk pinda Perlembagaan Persekutuan supaya perdana menteri ttidak mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat ketua-ketua institusi ini dengan sewenang-wenangnya.
"Di samping itu, tempoh seorang perdana menteri memegang jawatannya juga akan dihadkan kepada 2 penggal sahaja untuk memastikan perdana menteri tidak menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan peribadi."
"Selain itu, jawatan Perdana Menteri juga akan diasingkan daripada jawatan Menteri Kewangan untuk mengelakkan pemusatan kuasa mengurus kewangan negara pada seorang individu yang boleh membawa malapetaka kepada negara," katanya.
Beliau berkata ini adalah sebahagian tawaran PH kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.
"Banyak lagi tawaran lain dalam manifesto PH yang akan diumumkan tidak lama lagi. Pokok pangkalnya, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan bersungguh-sungguh untuk mewujudkan pentadbiran yang berintegriti dan membela nasib rakyat dan negara," kata Muhyiddin.
Tambah beliau lagi, rakyat Malaysia tidak ada pilihan lagi selain menukar kerajaan.
Terdahulu, Mukhriz Mahathir yang bertindak sebagai pengerusi penyelenggaraan ulang tahun memberikan ucapan ringkas namun penuh semangat. Beliau berkata Pakatan Harapan tidak akan berhenti sehinggalah berjaya menjatuhkan pentadbiran Najib.
"Kita tak akan berhenti sehingga Umno jatuh di Johor, kerajaan Barisan Nasional ditewaskan dan Perdana Menteri Najib Razak dipenjarakan," kata bekas menteri besar Kedah itu.
Mukhriz yang juga timbalan presiden Bersatu turut menyeru ahli Bersatu berdiri teguh menghadapi ancaman ke atas mereka, pembatalan perjanjian perniagaan, gangguan dan rasuah.
"Ada yang tergoda dengan tawaran wang supaya tinggalkan Bersatu. Tetapi saya yakin semua yang ada di sini tidak akan tunduk kepada tawaran-tawaran itu dan kekal dalam perjuangan ini."
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan