Oleh Timmy Say
Datuk Seri Najib Razak akan ke Washington DC, Amerika Syarikat pada 12 September depan.
Menurut kenyataan Putrajaya, ia atas jemputan Presiden Donald Trump.
Media tempatan dan juga AS sedang menjana tekanan agar lawatan ini
dibatalkan. Kebetulan pula, semua tekanan ini menggunakan skandal 1MDB
sebagai alasan.
Dalam kolum New York Times, Gardiner Harris berkata lawatan ini akan
memberikan kelebihan kepada Najib kerana ia akan mematikan khabar angin
beliau akan ditangkap sekiranya melangkah ke AS kerana isu penyelewengan
1MDB.
Khabar angin yang disebut oleh Gardiner seiras dengan amaran yang
diberikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada
2015 bahawa Najib mungkin akan ditahan oleh Interpol sekiranya beliau
keluar dari Malaysia.
Dr Mahathir membuat ramalan itu ketika isu 1MDB rancak disiasat oleh Switzerland, Britain dan AS.
Selain NYT, The Wall Street Journal juga menempelak Trump kerana menjemput Najib ke AS.
“Sebarang kesipuan adalah lebih baik daripada memberikan suatu
photo-op kepada pemimpin yang sedang berdepan dengan skandal ini,” kata
WSJ.
Ahli politik pembangkang juga bernada sama menggesa agar Najib menolak jemputan Trump ke AS.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata lawatan Najib ke AS memalukan
negara selagi Najib tidak membersihkan diri setelah dicap sebagai
seorang kleptokrat dengan dirujuk sebagai “MO1” dalam saman pelucuthakan
kleptokratik terbesar DOJ.
Cynthia Gabriel, Pengarah Eksekutif kumpulan anti-rasuah C4, turut
mempertikaikan jemputan Trump kepada Najib dan berkata jemputan itu
sebagai satu langkah buruk.
Tanpa 1MDB
Namun begitu, jika isu 1MDB dikeluarkan daripada persepsi lawatan
Najib ke AS ini, sebenarnya lawatan ini amat penting bagi Malaysia. Dari
sudut kedaulatan dan ekonomi negara, banyak yang perlu dibincangkan di
antara Malaysia dan AS.
Antaranya, mengimbangi pengaruh China ke atas Malaysia.
Melalui lawatan Najib ke AS, mesej yang tersirat kepada China ialah
meskipun banyaknya pelaburan mereka di negara kita, Malaysia tetap
sebuah negara yang berdikari yang boleh berkawan dengan sesiapa sahaja.
Lawatan ini juga dapat mengurangkan sedikit tekanan daripada China di dalam pergelutan kuasa ke atas Laut China Selatan.
Lawatan ke AS ini juga penting untuk memberitahu AS bahawa mereka
tidak dilupakan meskipun Malaysia sedang berduyun-duyun menerima
pelaburan dari China, termasuklah projek Landasan Keretapi Pantai Timur
(ECRL).
Selain itu, Malaysia perlu menggunakan peluang ini untuk mematikan
persepsi bahawa Malaysia adalah lubuk bisnes kepada Korea Utara ekoran
terdedahnya syarikat menjual peralatan perang beroperasi dari pejabatnya
di Kuala Lumpur, yang dikaitkan dengan kegiatan intipan bagi pihak
Korea Utara.
Awal Februari lalu, Reuters memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) mengenai kewujudan pejabat syarikat bernama Glocom itu di
tingkat 2 sebuah bangunan usang di Brickfields.
Reuters turut mendapati Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio
untuk organisasi “tentera dan separa tentera” menerusi laman webnya di
Malaysia, glocom.com.my, yang kini tidak boleh dicapai.
Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang mempunyai
hubungan baik dengan Pyongyang. Bagaimanapun, hubungan itu menjadi
tegang selepas Kim Jong Nam – abang sebapa kepada diktator Korea Utara,
Kim Jong Un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2
(klia2), pada 13 Februari lalu.
Bukan itu sahaja, Malaysia perlu mencari hala tuju ekonomi yang
baharu bersama AS selepas perjanian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP)
dibunuh Trump.
Trump pernah berkata beliau akan berunding “satu ke satu” dengan
negara terlibat dalam TPP untuk mencari syarat lebih “menguntungkan” AS.
Kita perlu mengakui, ekonomi dunia hari ini dikuasai China dan AS
yang saling sangsi antara satu sama lain. Dalam dunia sedemikian,
Malaysia tidak perlu bermusuh dengan sesiapa.
Adalah lebih baik, hubungan yang baik antara Malaysia dengan
kedua-dua gergasi tersebut dijaga demi masa depan negara dan menggunakan
saling sangsi antara AS dan China untuk menjaga kepentingan negara.
Oleh itu, meskipun Najib mempunyai kepentingan peribadi untuk
memenuhi lawatan ini, tapi gesaan menolak jemputan Trump adalah tidak
baik untuk Malaysia. Kepentingan negara mengatasi segalanya.
Apapun, lawatan Najib ke AS tiada kesan pada isu 1MDB. Skandal itu
tetap wujud dan persepsi terhadap skandal itu tidak akan terbatal hanya
kerana adanya lawatan Najib ke AS.
Kepada pembangkang yang risaukan rakyat tidak akan mempercayai isu
1MDB lagi atau lawatan ke AS ini akan memalukan negara, saya cuma nak
bertanya: apa lagi yang boleh dimalukan lagi dalam isu 1MDB ini?
Jika difikirkan sejenak, sekiranya Riza Aziz masih boleh bebas
bergerak di AS, manalah ada orang percaya cakap-cakap Najib akan
ditangkap setibanya di AS melainkan penyebar khabar angin ini?
Oleh itu, usahlah risau isu 1MDB ini akan hilang dengan lawatan Najib ke AS.
Yang hilang bukan isu 1MDB, tapi mungkin cerita-cerita ajinomoto berlebihan mengenai 1MDB, itu sahaja.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan