PAS perlu buang ‘Amanat Hadi’, kata pemimpin agama PKR

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PKR hari inin berkata “Amanat Hadi” yang baru-baru ini timbul kembali perlu dijauhi PAS kerana ucapan itu boleh menyemai keganasan seperti yang dilakukan IS.

“Implikasi amanat itu banyak keburukan dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi ia bercanggah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan,” kata Ketua Biro Agama PKR, Wan Ji Wan Hussin, merujuk petikan ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih 3 dekad lalu yang antara lain mempersoalkan keimanan ahli Umno.

Isu “Amanat Hadi” kembali menarik perhatian selepas insiden berdarah Kampung Memali 1985 dibangkitkan baru-baru ini, di mana ada pihak yang mengaitkannya dengan seruan Hadi membidas ahli Umno.

Wan Ji yang juga bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor, berkata beliau pernah menyarankan ahli PAS mengabaikan Amanat Hadi.

Menurutnya, sikap kafir-mengkafir merupakan langkah awal sebelum keganasan berlaku.
“Ini kerana amanat itu bercanggah dengan Islam,” katanya.

Amanat Hadi adalah sedutan daripada ucapan Hadi di Kuala Terengganu pada 7 April 1981, yang kemudiannya dicetak dan disebarkan ke pelosok negara oleh PAS ketika itu.

Antara lain, ia membidas Umno kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, dan menganggap perjuangan PAS sebagai jihad yang menjanjikan syahid sekiranya mati dalam perjuangan itu.

“Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku,” menurut petikan ucapan itu.
Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1984 menyifatkan ucapan itu mendorong kafir-mengkafir dan bertentangan dengan Islam.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan