KLUANG, : Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) sewajarnya
menggunakan sejumlah RM80 bilion yang bakal dilaburkan di Amerika
Syarikat (AS) bagi membiayai projek infrastruktur air yang terbengkalai
di Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Ping berkata,
pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kahang dan Empangan Kahang perlu
dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Kluang.
“Kos pembinaan LRA Kahang dijangkakan memakan perbelanjaan RM125 juta
iaitu jauh lebih rendah berbanding dengan amaun pelaburan yang dibawa
ke Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah, katanya, projek permindahan air dari Empangan Kahang ke LRA
Sembrong Timor sementara menunggu LRA Kahang siap juga sehingga kini
masih tidak dijalankan meskipun telah diumumkan dalam pembentangan bajet
yang lepas.
“Projek yang dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM15 juta ini
telah diumumkan dalam Bajet 2017 namun masih belum dimulakan walaupun
tiga suku tahun telah berlalu,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP
Johor.
Tambah Hong Ping, pelaburan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak di AS itu jauh daripada mencukupi untuk membina 640 LRA
seumpamanya seperti yang dirancang di Kahang.
“Namun kerajaan hanya menangguh-nangguh projek-projek infrastruktur
yang berkaitan rapat dengan kehidupan harian rakyat seperti ini tetapi
membuat pelaburan berpuluh-puluh billion di luar negara.
“Daripada pelaburan berpuluh-puluh billion di Amerika Syarikat,
nampaknya kerajaan masih mempunyai dana yang mencukupi untuk
melaksanakan projek infrastruktur yang saya sebut di atas ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan UMNO-BN menunjukkan
kemahuan politik dalam menyelesaikan masalah gangguan bekalan air
berkenaan dengan mempercepatkan projek pembinaan infrastruktur air di
negeri itu
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan