Aku, Pas dan AMANAH

Oleh Muhammad Faeez Azahar

16 September 2017 genap dua tahun umum Parti Amanah Negara yang aku dukungi. Banyak onak dan ranjau sepanjang berada di dalam parti ini.

Semasa AMANAH ditubuhkan pada 16 September 2015, Aku pada ketika itu masih berkhidmat bersama Harakah, namun intima' aku sudah sepenuhnya bersama AMANAH bermula daripada Harapan Baru lagi.

Aku membantu dari aspek publisiti pelancaran itu. Banner, poster dan sebagainya. Dan aku menyatakan kesediaan bertugas sebagai jurufoto pada hari pelancaran itu biarpun aku masih bertugas di dalam Harakah.

Pelancaran itu berlangsung dengan gilang gemilang. Aku bertemu sahabat-sahabat seluruh negara yang mana aku sudah biasa bertemu dan berjumpa. Muka-muka ini bukan hanya menyokong, tetapi pendokong tegar kepada gerak kerja parti sebelum ini.

Apabila kita bersama dalam perjuangan itu kerana hati dan perasaan, rasa takut itu hilang dan yakin biarpun berisiko untuk kehilangan mata pencarian. Dan itulah yang aku terima.

Beberapa jam sesuai program pelancaran, gambar aku berpakaian baju petugas tersebar. Ya, aku telah bersedia untuk menghadapi saat ini. Sememangnya aku bertalu-talu dihubungi dan berpuluh-puluh SMS masih menghentam tindakan aku.

Bos aku di Harakah masa itu, Ustaz Idris Ahmad turut whatsapp menyatakan ketidakpuashatiannya pada saya. Beliau dilihat emosi biarpun secara peribadi aku sangat rapat dengan beliau. Aku terima dengan lapang dada kerana aku tahu kehadiran aku itu sangat tidak disenangi oleh majikan aku.
Seminggu selepas itu, aku menerima surat tunjuk sebab daripada Harakah. Aku tidak fikir panjang, aku terus meletakkan jawatan sebagai wartawan Harakah. Biarpun pada ketika itu, aku tidak ada mata pencarian. Namun aku tekad dan yakin aku mampu survive hidup biarpun tidak ada pendapatan yang tetap.

Di wadah baru ini, kita punyai suasana yang berbeza. Dalam masa yang sama jangan kita lupa pengalaman kita yang lampau.

Aku minat dalam politik ini sejak umur 14 tahun. Aku mengenali Pas tanpa melalui mana-mana agen. Entah macam mana aku boleh minat, sedangkan persekitaran hidup aku langsung tidak selari dengan minat aku. Mungkin segala ini Allah yang takdirkan.

Aku aktif dalam media baru melalui laman blog dan Myspace pada ketika itu. Blog www.demokrasi93.blogspot.com adalah medan aku berpolitik. Setiap hari aku akan ke kafe siber untuk update perkembangan terkini politik di dalam blog aku.

Aku tak pernah turun mana-mana program politik, program yang mula aku turun kalau tak silap Muktamar Pas di Stadium Indera Mulia Ipoh. Masa tu kerajaan Pakatan Rakyat memerintah. Itu aku aku singgah di gerai jualan bersama keluarga. Pada ketika itu minat aku kepada politik yakni Pas khususnya mula bertunas.

Aku mula bergerak aktif dengan Pas bermula daripada Himpunan Mansuh ISA. Pada ketika itu, aku berumur 15 atau 16 tahun, aku bertindak nekad seorang diri ke KL menaiki keretapi. Biarpun mak melarang keras, tapi aku degil! aku tetap pergi. Aku bertemu peggerak-penggerak Pas kawasan di dalam keretapi, daripada itu aku diajak untuk bersama setiap program parti.

Di sekolah, cikgu-cikgu dan kawan-kawan semua kenal aku ni orang kuat Pas. Pernah aku 'hasut' kawan-kawan sekolah aku ramai-ramai naik satu bas ke Himpunan Pemuda Pas Perak di Larut pada ketika itu. Itu antara pengalaman yang sukar aku lupakan.

Aku mula bekerja sepenuh masa dengan Pas semasa berumur 18 tahun. Semasa itu, aku sambung belajar di tingkatan 6 di SMK Sultan Yussuf Batu Gajah setelah aku gagal untuk melanjutkan pelajaran di universiti mahupun politeknik. Hatta kolej komuniti pun aku gagal mendapat tawaran biarpun keputusan aku tidaklah mengecewakan, 3A dan semua lulus dengan baik. Mungkin itu bukan rezeki aku.

Semasa aku di Tingkatan 6, aku menghadiri Himpunan Bersih pada tahun itu dan aku dimaklumkan oleh cikgu, ada pihak polis datang bertanya tentang aku di sekolah. Aku semakin tidak selesa dan rasa menjadi bebanan pada sekolah pada ketika itu. Kebetulan pada ketika itu, ada yang menawarkan aku untuk 'interview' sebagai Pegawai Media Pas Perak dan aku menerima baik tawaran itu.

Daripada itu, aku banyak belajar tentang pelbagai kemahiran khususnya media baru. Aku belajar menulis, aku sering menghantar laporan berita program-program Pas di Perak pada ketika itu di Harakah. Akhirnya aku ditawarkan oleh Ketua Pengarang Harakah pada ketika itu, Ahmad Lutfi Othman untuk menjadi wartawan separuh masa sebelum diserap sepenuh masa.

Aku terima tawaran itu walaupun zero dalam pengetahuan penulisan, namun daripada situ aku belajar dan terus belajar. Aku menjalankan dua kerja dalam satu masa. Sebagai pegawai media dan wartawan Harakah.

Sepanjang hampir 5 tahun pengalaman bekerja dalam Pas, ia sungguh mematangkan aku. Universiti politik sangat rencam dan memberi ruang dan peluang untuk aku belajar banyak perkara. Aku tidak ada lupa pengalaman itu.

Kini aku mengaplikasikan pengalaman itu di dalam AMANAH. Peranan aku tetap sama seperti di dalam Pas, jadi khadam kepada perjuangan!
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan