KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Isu
penganjuran festival ‘Better Beer’ telah dijadikan senjata politik untuk
menyerang DAP dan PKR tanpa membincangkan keputusan Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) yang melarang penganjuran festival itu yang dijadual
berlangsung pada 6 dan 7 Oktober hadapan.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP
Johor, Sheikh Omar Ali berpandangan, isu ini perlu ditangani menerusi
ruang perbincangan yang rasional, tidak emosi dan menghormati
kepelbagaian budaya negara ini.
“Sebagai seorang warganegara yang
mendukung hak bersuara dan hak untuk berbeza pendapat, saya secara
peribadi tidak menyokong penganjuran Better Beer Festival 2017 yang
dijadualkan diadakan di sebuah kawasan hipster kelas menengah di Kuala
Lumpur dengan promosi besar-besaran.
“Apatah lagi bagi saya seorang
Muslim, gandingan istilah ‘pesta’ dan ‘arak’ memberi konotasi yang
negatif,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, DBKL perlu mengadakan
sesi perbincangan dan penerangan sebelum mengambil sebarang tindakan
kerana sikap sedemikian amat penting demi memupuk perpaduan dalam
masyarakat berbilang pandangan dan kebudayaan.
Perkara ini katanya boleh
diselesaikan melalui semangat saling-menghormati asalkan tiada pihak
yang sengaja menyemai kebencian dan prejudis.
“Jika kita gagal mengamalkan toleransi, kita akan turut gagal memupuk perpaduan.
“Lebih malang jika pihak berkuasa
tempatan yang dibiayai wang cukai rakyat pelbagai agama dan bangsa
dilihat berat sebelah dan gagal menjalankan tugas mengambil kira
kepentingan pelbagai pihak secara rasional dan professional,” katanya.
Bagi Sheikh Omar, dalam sebuah negara demokrasi, pandangan yang berbeza tidak wajar disekat.
“Ia perlu disantuni dengan penuh
berhemah. Isu seperti ini perlu ditangani menerusi ruang diskusi yang
rasional, tidak emosi dan menghormati kepercayaan serta kepelbagaian
budaya di negara kita,” katanya.
Apa yang penting tambah beliau, isu
ini amat tidak wajar dijadikan alat untuk menunjukkan ‘siapa lebih
juara’ sebaliknya perlu dilihat dari pelbagai aspek yang memerlukan
pendekatan profesional termasuk dari kacamata undang-undang tempatan dan
sebagainya.
“Sebarang bentuk tindakan
memanipulasi isu ini untuk menjolok sensitiviti di kalangan rakyat bagi
mencapai kepentingan tertentu samada oleh individu mahupun mana-mana
parti politik adalah tidak wajar sama sekali dan perlu dihentikan
segera,” katanya lagi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan