Bugis, Minang, Jawa, kita sama saja

Bugis, Minang, Jawa, kita sama saja

Oleh

ADA sebab orang keturunan Bugis berasa hati, dan marah pada Tun Dr Mahathir Mohamad. Rupa-rupanya tidak sahaja di Malaysia, kenyataan mantan PM itu merebak hingga ke luar negara – di Istanbul.

Isu berkenaan dibualkan pada jamuan makan tengah hari Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) yang dihoskan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Kata yang empunya cerita, hatta Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla pun tergores perasaan dengan kata-kata Pengerusi Pakatan Harapan itu.

 “...amat-amat tersinggung dengan ungkapan yang menghina orang Bugis sama ada di Malaysia atau di Indonesia khususnya Sulawesi...”

Harap maklum, ini bukan petikan Jusuf Kalla sendiri, tetapi dikatakan kepada media Malaysia oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Walaupun (menyatakan) bukan secara rasmi tetapi Jusuf memberitahu saya bahawa beliau amat-amat tersinggung,” kata Zahid seperti yang disebut Bernama, dan disiarkan akhbar perdana Kuala Lumpur.

Nasib baik Erdogan bukan keturunan Bugis. Kalau tidak pasti beliau pun naik angin dan marah pada Tun M.

Kenyataan Tun M pada him-punan ‘Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi’ anjuran Harapan itu dikontroversikan oleh pihak tertentu, sehingga menaikkan semangat warga Malaysia berketurunan Bugis.

Sana-sini NGO Bugis menyatakan bantahan dan menganggap kenyataan yang mengaitkan bangsa Bugis dengan lanun itu sebagai biadab.

Beberapa laporan polis dibuat terhadap pemimpin Pakatan Harapan. Ramai mendesak pihak berkuasa segera menyiasat laporan tersebut.

Ramai mahu Tun M memohon maaf secara terbuka atas alasan kenyataan yang mengaitkan keturunan pelaut dan pahlawan itu dengan lanun adalah satu penghinaan.

Setakat rencana ini ditulis yang empunya diri bertegas tidak berhasrat meminta maaf. Kata beliau seperti yang dipetik media: “Saya tak perlu minta maaf, sebab saya tak kata semua Bugis.”

Tambah beliau: “Ada (Bugis) yang baik, ada juga penyangak. Salahkah apa yang saya cakap, tak kan tak ada kalangan mereka jadi penyangak.”

Beliau memberitahu wartawan kenyataannya mengenai lanun itu tidak dituju kepada semua orang Bugis: “Saya hanya kata kepada seorang sahaja...”

Maaf cakap, saya Jawa bukan Bugis. Tetapi secara peribadi saya tidak suka mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang memperlekeh mana-mana kaum atau keturunan.

Lagi pun dalam suasana masyarakat majmuk, ungkit-mengungkit mengenai asal-usul keturunan, lebih-lebih lagi rasis, amat tidak digalakkan.

Kita telah merdeka lebih 60 tahun, fikiran-fikiran kuno mengenai asal-usul nenek-moyang sepatutnya tidak dibangkitkan lagi.

Tidak kira Melayu, India, Cina, Kadazan, Melanau, Murut, Iban, Bugis, Minang, Jawa, Panjabi, Baba, dan banyak lagi keturunan, semuanya adalah warga Malaysia. Kita telah sama-sama menyumbang kepada bumi tercinta ini.

Jadi apa perlunya disensitifkan dan diungkit-ungkit lagi hal-hal nenek moyang?

Tetapi, hendak menyalahkan Tun M sahaja pun tidak adil. Sebab sebelum ini pun ada pemimpin yang sengaja membangkitkan isu keturunan, malah lebih rasis.

Tentu semua masih ingat belum lama dulu apabila ada yang mempertikai asal-usul Tun M dengan mengungkit keturunan nenek-moyang beliau.

Seorang pemimpin kanan Melayu tergamak membuat kenyataan terbuka mengisytiharkan bahawa Tun Dr Mahathir adalah “anak lelaki Iskandar Kutty.”

Sedih, yang bercakap demikian ialah Dr Zahid Hamidi sendiri! Pada satu mesyuarat Umno, beliau malah menunjukkan salinan kad pengenalan asal mantan perdana menteri itu.

Ertinya, Timbalan Perdana Menteri yang juga orang No.2 Umno itu bukan terlepas cakap, sebaliknya sengaja mendedahkan kepada umum bahawa Tun M bukan Melayu tulen.

Ramai kesal dengan pendedahan tersebut yang bagi sesetengah orang dianggap rasis. Tetapi tidak ada pula siasatan dibuat terhadap Zahid. Tidak juga Menteri Dalam Negeri itu memohon maaf, walaupun ramai yang mendesak.

Malah, dipihak kerajaan, kenyataan dan pendedahan itu dianggap tidak salah. Kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, apa yang tercatat di atas kad pengenalan seseorang merupakan maklumat awam yang tidak sulit.

Nur Jazlan menegaskan, seperti yang disiarkan media: “Tindakan Zahid mendedahkan maklumat kad pengenalan Dr Mahathir adalah tidak menyalahi undang-undang.” Nur Jazlan hanya bercakap mengenai undang-undang tanpa mengira perasaan orang lain.

Apabila Tun M bercakap mengenai Bugis dan mengaitkan dengan seseorang, ramai yang melenting, dan menganggap Tun biadab. Tun seorang sajakah yang biadab? Fikir-fikirkan.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan