PAS mahu bawa RUU355 ke Parlimen selepas PRU14

GOMBAK: PAS yang mengusulakan undang-undang persendirian berkaitan usaha menaik taraf bidang kuasa Mahkamah Syariah mahu membawa rang undang-undang berkaitan ke Parlimen hanya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, partinya perlu mengambil kira beberapa aspek dalam isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) memandangkan PRU14 juga semakin dekat.

“Kalau boleh kita bentang mahu menang. Kita kena buat perkiraan, sekarang ini beberapa orang Umno bahkan penganut agama Islam lain tidak sokong, lebih baik kita tangguhkan dahulu.

“Lepas pilihan raya, selepas banyak kerusi yang kita menang, barulah (bawa semula RUU355 ke Dewan Rakyat),” katanya sewaktu ditemui di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), hari ini.

RUU 355 tidak dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat yang bersidang Julai lalu atas faktor kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Parlimen Ke-13 akan bermula 23 Oktober ini.

Tambahnya, dalam usaha memastikan RUU355 diluluskan di Dewan Rakyat, PAS bertekad untuk bertanding lebih banyak kerusi parlimen berbanding sebelum ini. Parti itu mahu bertanding di 100 kawasan.

Bahkan Mahfodz berkata, parti Islam itu kini dalam rangka usaha memperkasakan jentera bagi menakluk dan merampas semula beberapa negeri di Semenanjung.

“PAS yakin menang lebih kerusi daripada Amanah. Sasaran kita adalah kekalkan kerusi di Kelantan dan Selangor, ambil semula Terengganu dan Kedah serta menambah beberapa kerusi lain.

“Kita selesa dengan blok kita, yang terdiri daripada beberapa parti dan badan bukan kerajaan. Kita setakat ini langsung tidak pernah berbincang dengan Umno untuk perkongsian kerusi di Pantai Timur ” katanya.

Pada 6 April lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan perbahasan RUU 355 ditangguh ke sidang Dewan Rakyat seterusnya selepas dibentangkan Hadi.

Pandikar memberi alasan beliau menggunakan kuasanya untuk menangguhkan sesi perbahasan itu kerana kakitangan Parlimen tidak cukup rehat memandangkan pada 5 April, sehari sebelum RUU 355 dibentangkan, persidangan Dewan Rakyat berlangsung hampir 20 jam.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Hadi pada Mei 2016 dan kali ke-2 pada November lalu yang mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan