PPBM Menuju Kehancuran

Oleh Zulkifli Jalil

PERHIMPUNAN haram Pakatan Harapan dike­tuai DAP di Padang Ti­mur, Petaling Jaya gagal.

Jika inilah sahaja bilangan khalayak ‘beberapa kerat’ yang mampu dikumpulkan oleh Pakatan Harapan, ketua-ketua parti dalam pakatan itu sebenarnya sudah boleh ‘berkira-kira’ dah persaingan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.
Pakatan Harapan dikepalai DAP sepatutnya bersyukur kerana nasib baiklah PRU-14 tidak diadakan bulan ini (Oktober) atau seawal November depan.
Kalau diadakan seperti mana ramalan ketua-ketua pakatan itu, tak terkubur peluang mereka untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN)? 
Bukan kerana apa. Kalau ­penanda aras Pakatan Harapan cukup gah, tengoklah apa sudah jadi dengan himpunan di Padang Timur ini. 
Tinjauan akhbar ini semasa himpunan tersebut kelmarin mendapati pengerusi pakatan itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi Pakatan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah boleh mencongak nasib mereka atau parti masing-masing di tangan pengundi.
Suasana hambar himpunan yang diuar-uarkan khalayaknya mampu mencecah 100,000 orang tetapi hanya menyaksikan kelibat kira-kira 2,000 hingga 3,000 sahaja telah memalit malu yang cukup besar.
Umpama ‘langit dan bumi’ dengan himpunan rakyat kelolaan kerajaan Barisan Nasional (BN), himpunan haram yang diketuai DAP itu tidak ubah seperti festival itu yang diselangi dengan muzik sambil makan-makan.
Hanya dua peratus sahaja yang hadir daripada jumlah sasaran yang ditetapkan - menyaksikan kegagalan pakatan itu untuk menarik sokongan dan simpati rakyat.
Peserta yang datang kebanyakannya lebih tertumpu di dalam Amcorp Mall serta restoran makanan segera A&W.
Kegagalan ini suatu malapetaka buruk kepada Dr. Mahathir yang dikaitkan dengan skandal kerugian Bank Negara Malaysia akibat urus niaga mata wang asing (Forex) pada awal 90-an.
Kelibat pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bersama presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PAN, Mohamad Sabu serta Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mampu menarik sokongan kaum Melayu ke himpunan itu.
Jika diambil kira siapa master mind himpunan itu, tidak dapat dinafikan Dr. Mahathirlah yang diharapkan oleh Kit Siang dan Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi tarikan orang Melayu ke Padang Timur. Tapi malangnya perkembangan beberapa bulan ini dalam PPBM amat menyedihkan. Baru setahun beberapa hari diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), banyak pemimpin kanan telah keluar dari parti itu.
Parti yang jumlah ahlinya pun enggan diumumkan berapa ramai ini hanya memfokuskan satu matlamat sahaja - untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menjadikan anak pengerusi parti sebagai ‘PM ke-7’. 
“Sesetengah pimpinan PPBM terlalu pentingkan jawatan perdana menteri,” kata bekas ahli majlis tertinggi parti, Kamarulazman Habibur Rahman, April lalu.
Kamarulazman adalah salah seorang daripada tujuh pengasas PPBM, dan antara terawal memimpin Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), iaitu kumpulan penentang presiden dalam UMNO memberitahu:
“Saya juga mula bimbang dengan tindak tanduk segelintir dalam kalangan ahli yang sanggup melakukan apa saja demi menjatuhkan kerajaan sedia ada dengan fakta tidak sahih dan bersandarkan fitnah yang tidak logik akal,” katanya.
Kalau mendengar keluhan mereka yang cabut lari dari PPBM ada ketikanya agak menggeli hati, namun penuh dengan mesej yang harus diambil iktibar.
Sebelum ini mungkin ramai tak mahu percaya bahawa PPBM diurus secara diktator atau kuku besi. Namun pengasasnya sendiri ak­hirnya tampil membuka pekung di dada dengan menceritakan se­gala-galanya.
Ini sehinggakan digelar ‘cara pentadbiran lanun’ dan umpamakan mereka yang ada dalam PPBM ‘seperti anjing, keldai dan lembu’ - ini sudah gaduh besar. 
Selepas mengumumkan keluar parti kerana kecewa dengan pentadbiran 3M iaitu Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz dalam PPBM, bekas Ketua Srikandi Anina Saadudin turut menceritakan perkara yang sebenar.
Beliau merujuk kepada cara ‘kejam’ pemecatan ke atas dirinya daripada jawatan Ketua Srikandi PPBM dan kemudian digugurkan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dengan ‘menendangnya’ daripada kumpulan WhatsApp MPT PPBM tanpa sebarang notis rasmi.
Tidak setakat itu sahaja, kepemimpinan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) turut berpecah. Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikatakan memecat beberapa exconya hanya melalui Twitter sahaja.
Insiden hitam semasa Nothing To Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Shah Alam Ogos lalu yang mengakibatkan Dr. Mahathir di atas pentas dibaling kerusi, suar, botol dan kasut amat menyedihkan buat sesiapa yang melihat detik itu.
Ini antara kemuncak kegagalan Syed Saddiq. Tiada UMNO dalam kisah itu.
Perubahan dan pertukaran ­ketua-ketua bahagian, ketua armada, ketua srikandi serta pengerusi perhubungan negeri PPBM antara lain membawa Dr. Mahathir, Muhyiddin, Mukriz serta Sanusi Junid sakit kepala memikirkan masa depan parti itu.
Ini sekali gus mendekatkan PPBM ke ambang kehancuran.

Sumber:Utusan Malaysia
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan