PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli akan kemukakan usul
kepada Dewan Rakyat supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
membentangkan kertas putih berhubung cadangan Penerbangan Malaysia
Berhad (MAB) untuk menggunakan RM50 bilion bagi pembelian pesawat
baharu.
Naib presiden PKR itu berkata, pembentangan kertas putih itu perlu
dilakukan supaya dana RM50 bilion yang bakal dibelanjakan MAB tidak
sia-sia.
“Saya akan menghantar satu usul ke Parlimen bagi sidang dewan akan
datang supaya satu kertas putih dibentangkan oleh Najib untuk
menerangkan bagaimana Khazanah dan MAB bercadang memastikan perbelanjaan
RM50 bilion ini tidak sia-sia,” kata Rafizi pada sidang media hari ini.
Rafizi bagaimanapun yakin Najib tidak akan melakukan perkara itu.
“Saya akan hantar usul itu walaupun besar kemungkinan Najib tidak berani bentangkannya di Parlimen,” katanya.
Rafizi tidak menghalang sebarang pelan perniagaan MAB, namun beliau bimbang kerana dana besar itu wang rakyat.
“Saya bukanlah mahu menghalang atau mempolitikkan pelan perniagaan
MAB, bagaimanapun, sebarang keputusan MAB yang membabitkan perbelanjaan
besar adalah isu awam yang mesti dikaji oleh ahli Parlimen seperti saya.
“MAS kini dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia melalui Khazanah
Nasional Berhad, iaitu badan pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya
oleh Kerajaan Persekutuan,” kata Rafizi.
Sehubungan itu, sebarang perbelanjaan besar oleh MAB akan menggunakan
dana Khazanah dan itu merupakan satu pelaburan awam, katanya.
Rafizi menyeru agar pengurusan Khazanah dan MAB mengesahkan secara
rasmi cadangan membeli 75 pesawat baharu yang menelan belanja sehingga
RM50 bilion dalam masa 2 tahun ini.
“Samalah seperti dana awam digunakan dalam 1MDB dan pelaburan lain sebelum ini.
“Rakyat berhak tahu, sebarang perbelanjaan besar akan mendatangkan pulangan,” katanya.
Selain itu, Rafizi berkata, sebarang usaha pengembangan MAB perlu
mengutamakan 6,000 bekas kakitangannya yang diberhentikan dalam pelan
rasionalisasi sebelum ini.
“Pelan rasionalisasi MAB sebelum ini menyaksikan seramai 6,000 orang
kakitangan MAS hilang pekerjaan atas alasan saiz MAB terlampau besar dan
kakitangannya terlalu ramai.
“Kerajaan kemudiannya membentangkan satu akta khas membolehkan MAB
dikecilkan sehingga menyebabkan 6,000 orang kakitangan MAB kehilangan
pekerjaan.
“Oleh itu, sebarang pelan perniagaan baru melibatkan penambahan saiz
operasi MAB secara besar-besaran perlu berlaku adil kepada pekerja MAS
yang dibuang kerja,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan