Mufti WP tak sokong dobi ‘mesra Muslim’

PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata tidak wajar pengusaha dobi mewujudkan diskriminasi dengan mengutamakan pelanggan Islam berbanding bukan Islam menggunakan perkhidmatan mereka.

“Kami memandang tidak sewajarnya wujud bentuk diskrimasi bahkan diizinkan untuk sama menggunakannya.

“Ini menatijahkan perasaan yang tenang dalam masyarakat dan keharmonian yang hendak dicapai akan terhasil,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan pengusaha dobi di Muar, Johor dan Kangar, Perlis yang mengutamakan pelanggan Islam berbanding bukan Islam menggunakan perkhidmatan mereka.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, di dalam Al-Quran, Allah memerintahkan umat Islam melakukan kebaikan kepada orang yang tidak seagama dengan mereka.

“Yang tidak membawa kepada kehinaan atau peperangan dan juga bencana. Demikian itu, selaras dengan apa yang sepatutnya dilakukan setiap warganegara daripada semua agama dan juga semua warganegara yang bukan beragama Islam,” katanya.

Zulkifli juga berkata pihaknya memahami hasrat dan matlamat baik yang mahu disampaikan pengusaha dobi berkenaan.

“Namun, dalam konteks dan situasi kita di Malaysia yang hidup dengan berbilang bangsa atau masyarakat majmuk, sikap meraikan antara satu sama lain adalah penting dalam fiqh al-ta’ayusy.
“Bahkan dalam fiqh muamalat itu sendiri, asal suatu hukum itu adalah harus,” katanya.

24 September lalu dilaporkan sebuah kedai dobi layan diri di Muar Johor, melaksanakan dasar “mesra Muslim” dengan menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan beragama Islam sahaja.

Bagaimanapun Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas langkah kedai dobi tersebut dan mengarahkan pemiliknya membuat permohonan maaf atau berdepan penutupan.

“Saya mahu pemilik kedai meminta maaf kepada saya dan rakyat Johor. Dia membuat rakyat Johor marah dan berasa malu kerana ini bukan Johor yang kita mahu,” kata Sultan Ibrahim.

Seminggu kemudian, di Perlis juga didapati mempunyai sebuah kedai dobi layan diri yang hanya membuka pintunya kepada umat Islam.

Selepas ditegur kerajaan negeri dan mufti, pemilik dobi “konsep dobi Islam” itu, Shalihuddin Naharuddin, 36, masih memikirkan sama ada akan menerima pakaian orang bukan Islam.

Shalihuddin menjelaskan beliau cuma mahu mengekalkan “konsep komuniti Islam” tanpa niat mendiskriminasikan agama atau kaum lain, dan berharap akan dapat mencapai penyelesaian “menang-menang” untuk menjaga hati semua pihak.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan